-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan SPM

Gejala Ponteng Sekolah

SOALAN: Gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah semakin membimbangkan. Bincangkan punca-punca yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah.

     Berita tentang gejala ponteng sekolah dalam kalangan pelajar terutamanya pelajar sekolah menengah sering menghiasi dada-dada akhbar sejak kebelakangan ini.Isu ini telah hangat dibincangkan oleh orang ramai di kedai-kedai kopi sehinggalah di Parlimen.Walaupun pelbagai langkah telah diambil bagi membanterasnya, gejala ini tetap berlaku dan semakin membimbangkan.Terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan gejala ini semakin berleluasa dalam kalangan pelajar.

     Sikap ibu bapa yang kurang prihatin merupakan faktor utama mengapa pelajar sekolah sering ponteng sekolah.Hal ini demikian kerana terdapat dalam kalangan ibu bapa yang begitu sibuk dengan urusan keduniaan sehingga melupakan tanggungjawab mereka sebagai ibu bapa.Oleh itu, anak-anak mereka bebas melakukan apa sahaja perkara yang negatif kerana mengetahui pergerakan mereka tidak dipantau oleh ibu bapa mereka. Sebagai contoh, terdapat dalam kalangan ibu bapa yang bekerja sehingga lewat malam dan hanya bertemu dengan anak-anak mereka pada keesokan paginya sahaja.Jelaslah bahawa faktor kealpaan ibu bapa memberikan impak yang besar kepada peningkatan gejala yang tidak sihat ini.

     Selain itu, pengaruh rakan sebaya merupakan antara faktor yang menyebabkan pelajar ponteng sekolah. Hal ini demikian kerana rakan sebaya mempunyai pengaruh yang kuat dalam kehidupan seseorang pelajar itu.Justeru, mereka akan mengikut sahaja perlakuan yang negatif ini bagi membuktikan kesetiaan mereka kepada rakan baik mereka itu.Tamsilannya, pelajar-pelajar tersebut akan melakukan aktiviti yang tidak bermoral yang telah diatur oleh ketua dalam sesuatu kumpulan itu bagi memenuhi masa yang terluang itu. Sememangnya rakan sebaya memainkan pengaruh yang besar dalam pembentukan nilai negatif dalam jiwa pelajar tersebut.

     Dalam pada itu, faktor guru juga menjadi penyumbang kepada gejala yang tidak sihat ini.Hal ini demikian kerana terdapat segelintir guru yang tidak mampu menarik perhatian pelajar untuk belajar.Lantaran itu, pelajar akan berasa bosan semasa berada di dalam kelas.Tamsilnya, terdapat dalam kalangan guru yang masih mengamalkan kaedah pengajaran dan pembelajaran yang sudah tidak sesuai pada masa ini. Sesungguhnya kaedah pengajaran guru yang membosankan menyumbang kepada peningkatan kes ponteng di sekolah.

     Intihanya, terdapat banyak faktor lain yang menjadi penyebab kepada permasalahan ini. Oleh itu, pelbagai pihak perlulah memberikan komitmen bagi membanteras gejala yang tidak sihat ini dan janganlah bersikap seperti enau dalam belukar,melepaskan pucuk masing-masing.Sekiranya semua pihak memberikan kerjasama yang mapan, sudah tentu gejala negatif ini dapat kurangkan.Jelaslah bahawa gejala ini jika dibiarkan akan menyebabkan kesan yang lebih buruk berlaku kepada generasi muda yang akan datang.
(366 patah perkataan)
Back to Top