-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan SPM

1)    Masa depan negara memerlukan generasi muda yang berilmu pengetahuan agar pembangunan dan kemajuan dapat dikecapi.

Huraikan pendapat anda tentang cara-cara untuk menjadi remaja yang berilmu.
          
          Dunia semakin berubah dan pesat membangun hari demi hari. Hal ini menunjukkan bahawa betapa pentingnya bekalan ilmu pengetahuan dalam diri setiap remaja agar tidak ketinggalan dalam arus modenisasi. Nabi Muhammad s.a.w. juga turut berpesan kepada umat akhir zaman supaya menuntut ilmu hingga ke negeri China kerana proses pemelajaran itu sebenarnya bermula dari alam buaian hinggalah ke liang lahad. Hal ini membuktikan bahawa ilmu pengetahuan sangat penting bagi membentuk insan yang kamil. Bagaimanakah untuk menjadi remaja berilmu? Oleh itu, segala persoalan tentang cara-cara untuk menjadi remaja berilmu akan dikaji dengan teliti hingga ke akar umbi.

          Sebagai pembuka tirai perbincangan yang pertama, cara utama yang dapat dikenal pasti untuk menjadi remaja berilmu ialah setiap remaja perlu mengunjungi perpustakaan awam atau sekolah pada masa lapang. Hal ini perlu diberi keutamaan kerana remaja dapat menimba ilmu pengetahuan daripada hamparan ilmu yang terhidang luas di dalam buku yang terdapat di perpustakaan. Perkara ini perlu direalisasikan dengan sentiasa menggunakan khidmat pinjaman buku yang disediakan untuk membaca buku cerita atau merujuk buku rujukan untuk menjawab latihan yang diberikan oleh guru. Sebagai contohnya, remaja boleh menggunakan kemudahan yang kondusif di Perpustakaan Awam Sultan Ismail, Johor Bahru atau mencari maklumat yang dikehendaki di Perpustakaan Negara Malaysia yang menghimpunkan lautan ilmu yang dalam tidak terduga. Melalui prakarsa ini, jelaslah bahawa usaha untuk menjadi remaja berilmu ialah mengunjungi perpustakaan pada waktu lapang.

          Selain itu, hujah seterusnya tentang cara-cara untuk menjadi remaja berilmu ialah memberi tumpuan seratus peratus ketika sesi pengajaran dan pemelajaran di sekolah. Hal ini sangat penting kerana setiap pengajaran yang disampaikan oleh guru akan mudah disimpan di dalam minda tanpa gangguan dan guru juga dapat mengajarkan isi pengajaran dengan lancar. Situasi ini dapat diwujudkan dengan tidak berbual-bual ketika guru sedang mengajar dan tidak berkhayal ketika sesi pengajaran dan pemelajaran berlangsung di dalam kelas seterusnya menyebabkan guru-guru yang mendidik remaja akan berasa senang hati. Setiap remaja hendaklah menghargai detik masa sepanjang proses pengajaran dan pemelajaran berlangsung kerana masa itu ibarat mata pedang, jika kita tidak memotongnya maka mata pedang itulah yang akan memotong diri kita sendiri. Berdasarkan hujah ini, jelaslah bahawa cara-cara untuk menjadi remaja berilmu ialah memberi tumpuan seratus peratus ketika menuntut ilmu di dalam kelas.

          Di samping itu, antara cara menjadi remaja berilmu termasuklah melibatkan diri secara aktif dalam bidang kokurikulum di sekolah. Hal ini demikian kerana aktiviti kokurikulum yang terdapat di sekolah dapat memberikan ilmu tambahan yang sangat berguna kepada remaja dan ilmu tersebut tidak akan didapati ketika belajar di dalam kelas. Aspirasi murni untuk menjadi remaja berilmu ini dapat dizahirkan dengan tidak melepaskan peluang menyertai aktiviti kokurikulum seperti kawad kaki, berkhemah atau mempelajari seni bela diri. Sebagai contohnya, remaja boleh menyertai pasukan Kadet Polis atau Kadet Remaja Sekolah yang mampu membentuk jati diri, semangat kepimpinan, perpaduan dalam kalangan masyarakat majmuk dan menyemai sifat berdikari dalam diri remaja. Melalui perkara ini, sudah terang lagi bersuluh bahawa aktiviti kokurikulum di sekolah dapat mewujudkan remaja yang berilmu.

          Seterusnya, setiap remaja di Malaysia juga hendaklah mempunyai wawasan dalam hidup jika ingin merealisasikan hasrat untuk menjadi remaja berilmu. Hujah ini perlu dipandang serius keranawawasan hidup diperlukan supaya mereka sentiasa dapat mencapai segala cita-cita dalam hidup mereka dan wawasan hidup mampu mengajar remaja erti berdisiplin dan bertanggungjawab dalam kehidupan seharian. Perkara yang dibincangkan ini mampu diwujudkan dengan mempunyai sasaran dalam peperiksaan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya bak kata peribahasa ”yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang”. Conoh yang dapat menjawab segala persoalan ini ialah kebanyakan remaja yang mempunyai wawasan akan lebih mengetahui hala tuju kehidupan serta tidak mudah berputus asa dalam kehidupan mereka. Oleh hal yang demikian, jelaslah bahawa memiliki wawasan dalam hidup merupakan usaha yang penting untuk mewujudkan remaja berilmu.

          Sebagai kesimpulannya,setiap perkara yang berkaitan dengan usaha-usaha untuk mewujudkan remaja berilmu telah dikupas dengan mendalam. Namun, usaha ini tidak akan dapat berjaya jika setiap remaja sentiasa lalai dengan budaya hedonism yang melanda dunia. Oleh itu, setiap remaja di bawah payung Satu Malaysia hendaklah bertindak segera kerana ilmu ialah kunci kejayaan dalam kehidupan.

Back to Top