-->

Type something and hit enter

Pages


On
Karangan SPM Peranan Ibu Bapa Dalam Membentuk Sahsiah Anak - Anak

Dalam meniti arus kemodenan yang penuh dengan pelbagai cabaran ini, dapat kita fokuskan kepada aktiviti gejala sosial semakin hari berleluasa dan merunsingkan. Seterusnya, dapat kita lihat kes-kes gejala sosial pada keratan akhbar malah ia disiarkan di kaca televisyen. Perkara ini, dikatakan menjadi lebih parah apabila kebanyakan pelaku gejala sosial tersebut terdiri daripada golongan remaja.Menyedari hakikat perkara itu, pihak kerajaan telah bertungkus-lumus mencari jalan penyelesaian untuk mengatasi permasalahan yang berlaku terutamanya berkaitan dengan gejala sosial ini. Sungguh malang apabila segala usaha kerajaan terkubur dan hampa “seperti mencurah air ke daun keladi” kerana gejala sosial langsung tidak berganjak dari zon selesanya. Namun persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam mendidik anak-anak mereka dalam usaha untuk mengelakkan mereka daripada terjebak dengan aktiviti gejala sosial yang tidak sihat ini.

                        Sememangnya terdapat pelbagai bentuk usaha yang boleh dilakukan oleh ibu bapa untuk membentuk sahsiah anak-anak mereka. Antaranya, ibu bapa perlulah memantapkan fizikal atau mental serta tubuh anak-anak mereka. Jasmani merupakan satu elemen yang utama bagi membentuk sahsiah anak-anak. Hal ini kerana anak –anak akan dapat membina keyakinan diri dalam menjaga tubuh badan mereka sendiri. Apakah peranan ibu bapa dalam memastikan kesihatan fizikal anak-anak terjaga dalam usaha membentuk sahsiah mereka yang sempurna?. Disini terdapat pelbagai aktiviti jasmani yang boleh dilakukan oleh anak-anak bersama-sama ibu dan bapa. Contohnya, ibu bapa sewajarnya membawa anak-anak melakukan aktiviti riadah seperti bersenam dan lain lain. Sebaik-baiknya, bawalah anak-anak keluar tiga kali seminggu hanya untuk beriadah kerana bak kata pepatah “badan cergas minda cerdas”. Selain itu, ibu bapa perlulah menghantar anak-anak mereka untuk menyertai aktiviti kokurikulum di sekolah seperti kelab dan persatuan serta unit beruniform. Penglibatan seperti ini dapat mengelakkan anak – anak daripada terjebak dengan aktiviti – aktiviti gejala sosial yang tidak memberi sebarang manfaat kepada anak – anak kita.

                           Selain itu, perana ibu bapa sangatlah penting dalam mengawal dan memberi perhatian terhadap emosi anak-anak mereka. Secara amnya, emosi manusia kian berubah mengikut perkembangan diri serta perubahan persekitaran mereka.  Perubahan emosi anak-anak sentiasa berubah terutamanya apabila mereka sudah mencapai usia remaja. Perubahan emosi juga jelas ditunjukkan oleh remaja perempuan. Oleh itu, adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa untuk memahami emosi anak-anak mereka sekiranya mereka mengalami perubahan emosi. Hal ini menyebabkan anak-anak akan biasa kerana persis kata orang tua - tua  “alah bisa tegal biasa” untuk meluahkan isi hati mereka kepada ibu bapa mereka. Selain itu, ibu bapa perlulah memahami emosi anak-anak mereka. Sekiranya ibu bapa tidak memahami mengapa mereka berubah emosi maka anak-anak mereka akan mudah tersinggung dan kecewa terhadap ibu bapa mereka. Tambahan pula, ibu bapa perlulah meminta nasihat daripada pakar supaya dapat  mengenali emosi anak-anak mereka. Akhirnya, anak-anak mereka tidak akan melepaskan emosi dengan melibatkan diri dengan gejala sosial kerana mempunyai ibu bapa yang memahami emosi mereka. Dari sudut lain, ibu  bapa perlulah mempunyai hubungan yang akrab dengan anak – anak dengan menjadikan anak – anak sebagai kawan agar anak –anak mudah untuk berkongsi cerita ataupun meminta pandangan daripada ibu bapa.

                             Seterusnya, ibu bapa perlulah menerapkan ilmu agama kepada anak – anak agar rohani mereka tidak mudah dipengaruhi oleh hasutan gejala sosial yang semakin berleluasa. Tambahan pula, pada masa kini anak – anak lebih mudah mengikut kata kawan – kawan berbanding nasihat serta teguran ibu bapa. Sewajarnya ibu bapa perlu menerapkan ilmu fardhu ain dan fardhu khifayah kepada anak – anak supaya pengisian rohani anak – anak lebih kuat dan mantap dalam meniti arus globalisasi kini. Di samping itu, ibu bapa wajar membawa anak – anak ke masjid agar mereka dapat mendengar nasihat daripada alim ulama agar mereka dapat menilai diantara kaca dan permata. Ini dapat memupuk nilai cintakan agama di dalam diri anak – anak. Oleh itu, ibu bapa menjadi contoh teladan kepada anak – anak yang kian hari kian membesar bak kata cendiakawan “bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Maka ibu bapa mestilah menunjukkan nilai yang baik kepada anak – anak.

                 Pada masa yang sama, ibu bapa juga memainkan peranan yang amat penting untuk memberi ilmu pengetahuan kepada anak-anak mereka dalam usaha membentuk sahsiah bahkan juga menghindari mereka daripada gejala sosial. Ilmu pengetahuan amat penting kepada anak-anak mereka melalui ilmu, anak-anak akan dapat membezakan perkara yang baik dan buruk dalam kehidupan. Oleh itu, ibu bapa perlulah memberikan secukupnya ilmu pengetahuan yang sedia ada dalam membentuk sahsiah anak-anak. Cara yang paling mudah adalah dengan menghantar anak-anak ke sekolah. Hal ini amat wajib kepada ibu bapa agar anak-anak mereka dicurahkan ilmu yang berguna kepada mereka satu hari nanti. Selain itu, ibu bapa perlu mengikuti perkembangan akademik anak-anak mereka. Oleh itu, ibu bapa haruslah sentiasa berhubung dengan guru-guru di sekolah untuk pengetahuan lanjut. Cara yang lain boleh dilakukan oleh ibu bapa adalah dengan membawa mereka ke pameran buku. Melalui pendekatan ini, anak-anak mampu belajar dengan kondusif bersama-sama ibu bapa mereka. Semestinya, ibu bapa berperanan menyediakan sumber intelek kepada anak-anak mereka dalam membentuk sahsiah anak-anak mereka.

                     Selain itu, ibu bapa perlulah memainkan peranan dengan memantapkan kemahiran sosial anak-anak mereka. Kemahiran sosial dalam konteks ini sangat diperlukan dalam membentuk sahsiah anak-anak. Hal ini sedemikian kerana melalui kemahiran sosial, anak-anak dapat mengetahui betapa buruknya kesan melakukan gejala sosial melalui pemerhatian dan peninjauan. Oleh itu, apakah yang perlu dilakukan oleh ibu bapa dalam usaha memantapkan kemahiran sosial anak-anak mereka? .Kaedah yang paling asas adalah dengan mengajar anak-anak mereka dengan nilai-nilai murni. Sebagai contoh, nilai hormat-menghormati dan kerajinan. Melalui nilai-nilai ini, sahsiah anak –anak akan dapat dibentuk dengan sempurna. Selain itu, anak-anak juga akan dapat membuat refleksi diri sendiri dan membentuk peribadi yang lebih baik. Ibu bapa haruslah mendidik anak-anak dengan nilai-nilai murni sejak kecil kerana “melentur buluh biarlah daripada rebungnya”. Tambahan pula, ibu bapa haruslah mengajar anak-anak mereka mengenai pantang larang seperti membongkok apabila melalui orang yang lebih tua. Hal-hal ini mengajar anak-anak muda untuk beradab sopan lantas menjadikan mereka sebagai remaja yang yang beradab dan mempunyai pekerti budi yang tinggi.

                        Konklusinya, Malaysia merupakan negara yang indah di mata duia serta mempunyai masyarakat yang berbilang kaum akan kelihatan buruk sekiranya gejala sosial dalam kalangan masyarakat masih belum dibendung, bak kata pepatah Melayu “kerana nila setitik, rosak susu sebelanga”. Oleh itu, peranan semua pihak harus dimainkan terutamanya peranan ibu bapa kerana merekalah yang mencorak keperibadian golongan muda kotemporari ini kerana “ bagaimana acuan begitulah kuihnya”. Anak-anak diibaratkan kain putih yang perlu dicorakkan dengan sempurna agar kelihatan cantik dan elok dipandang mata. Kita janganlah menuding jari dan bersikap pasif dalam hal ini kerana semua pihak turut serta dalam membentuk sahsiah anak-anak muda. Mahukah kita melihat dunia ini sarat dengan kemusnahan dan kegelapan akibat ketidak prihatinan kita? Semestinya “tidak” jawapan kita. Maka, bersama-sama lah kita berganding bahu menyahut cabaran dengan mengemblengkan tenaga membentuk sahsiah anak-anak muda agar mereka membawa kegemilangan negara di mata dunia satu hari nanti
Back to Top