-->

Type something and hit enter

Pages


On
Langkah-langkah untuk memajukan sektor pertanian.

Ketika mengharungi arus globalisasi dan modenisasi, negara kita telah mengalami pembangunan yang pesat, terutamanya dalam sektor perindustrian. Rentetan daripada itu, sektor pertanian telah dikesisikan dalam arus pembangunan sejak 1980-an.  Bagaimanapun di bawah Misi Nasional,  kerajaan telah meningkatkan kedudukan sektor ini semula dalam pelan pembangunan negara kita iaitu Rancangan Malaysia Kesembilan. Hal ini demikian kerana ketika dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan1998,  minyak kelapa sawit bertindak sebagai “penyelamat” ekonomi  negara kita. Selain itu kerajaan juga  mendapati bahawa negara kita memperuntukkan berbilion-bilion ringgit untuk mengimport makanan sehingga meningkatkan defisit ekonomi negara kita. Sesungguhnya,  banyak makanan dapat dihasilkan di negara kita melalui sektor pertanian. Persoalan, bagaimanakah kita dapat meningkatkan sektor pertanian? Kata orang tua-tua, “genggam bara api biarlah sampai jadi arang”,  semua pihak yang terbabit perlu menggembleng tenaga untuk menjanakan sektor pertanian di tanah air.

Untuk memajukan sektor  pertanian,  kaum petani kita perlu memiliki prakarsa untuk membuat perubahan atau sedia membuat reformasi  terhadap sektor pertanian. Jika kaum petani masih mengekalkan cara tradisional untuk mengusahakan petanian, nescaya  hasil tanaman atau ternakan mereka hanya sekadar sara diri. Mereka akan terus dibelenggu oleh kemiskinan. Untuk mengikut rentak perkembangan sektor industri,  petani moden kita perlu menggunakan ilmu sains dan teknologi yang canggih  demi meningkatkan produktiviti, iaitu menjimatkan penggunaan tenaga dan meninggikan hasil tanaman yang berkualiti dan berkuantiti. Sebagai contoh, ilmu genetik perlu digunakan untuk mencari baka benih yang dapat menjamin hasil tanaman yang bermutu, seperti “padi hibird” dapat menjamin penghasilan padi yang banyak dan berkualiti. Secara holistiknya, kaum petani perlu disuntik semangat transformasi untuk menggunakan bioteknologi dalam sektor pertanian.

Tidak dapat dinafikan bahawa Kementerian Pertanian dan sektor swasta perlu menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) terhadap sektor pertanian kita. Jurusan Pertanian di Pusat Pengajian Tinggi (IPT) dan pakar pertanian perlu berkomitmen untuk mengkaji penggunaan ilmu sains dan teknologi dalam sektor pertanian dan penternakan. Mereka hendak memastikan bahawa industri hilir dalam pertanian dapat dimajukan untuk meningkatkan pendapatan kaum petani seperti lada dapat dijadikan sos cili, ubat pelangsing dan ubat kesakitan sendi. Sengkuang telah diproses sebagai bahan kosmetik  dan sebagainya.  Hal ini selaras dengan peribahasa Melayu, “di mana ada kemahuan, di situ ada jalan.” Pegawai Kementerian Pertanian terutamanya MARDI (Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia ) sewajarnya menawarkan bengkel atau kursus untuk memberikan khidmat nasihat  serta membekalkan baka benih yang bermutu kepada petani kita untuk menggunakan bioteknologi yang canggih.

Untuk menjalankan pertanian secara besar-besaran dan komersial, skim pinjaman yang berkadar faedah rendah perlu disediakan oleh bank, terutamanya Bank Agro  untuk  pekebun kecil . Dengan modal yang mencukupi,  pekebun kita baru dapat membeli mesin yang canggih dan bahan racun serangga serta baja kimia  untuk menjalankan pertanian mereka.  Sebagai contoh, Bank Agro telah menawarkan Modal Usahawan 1 Malaysia kepada petani kita untuk mengusahakan industri kecil dan sederhana (IKS) yang berasaskan pertanian. Bak kata peribahasa, “ada padi semua kerja jadi; ada beras semua kerja deras,” oleh itu,  dengan pinjaman skim mikro, pekebun kecil kita dapat mengusahakankan pertanian atau penternakan secara komersial dan saintifik malah berupaya menjalankan IKS. Walhasilnya, kaum petani tidak akan digelar sebagai golongan miskin tetapi akan berperanan sebagai usahawan.

Selain itu, sistem pengagihan yang kamil perlu disediakan oleh pihak berkuasa supaya kaum petani kita tidak lagi dianiayai oleh orang tengah yang bersikap tamak haloba.  Penubuhan koperasi  peladang digalakkan untuk memainkan  peranan sebagai pemborong dan pembekal kepada kaum petani. Petani kita juga digalakkan menyertai Pasar Tani untuk meningkatkan pendapatan mereka. Sehubungan dengan itu,  pengguna juga dapat membeli hasil tanaman dan ternakan yang segar dengan harga yang berpatutan. Tindakan ini  dapat memberikan manfaat kepada pihak petani dan pengguna, seperti peribahasa  “serampang dua mata.” Rentetan daripada itu, pihak FAMA(Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) harus mengaturkan strategi yang bersepadu dan bijaksana bagai menarik rambut dalam tepung untuk menjamin pemasaran produk pertanian kita.  Sistem pengagihan yang teratur dapat  memantapkan harga  produk pertanian. Antaranya Kementerian Kebudayaan telah mengadakan laman web tentang harga borong produk pertanian supaya kaum petani tidak lagi ditipu oleh pemborong yang tidak bertanggungjawab.

Sementelahan, agropelancongan merupakan bidang yang patut dikembangkan dalam sektor pertanian. Kaum petani seyogianya memperkasakan kemudahan yang tersedia dalam ladang mereka untuk memajukan sektor pelancongan. Tindakan dapat menjamin pendapatan yang lumayan.  Penginapan yang lengkap seperti bilik yang selesa perlu disediakan kepada pelancong, khasnya dari bandar. Selain menghayati penghidupan kaum petani,  pelancong dapat menikmati buah-buahan tempatan yang lazat, memancing ikan dalam kolam ikan ternakan, menikmati lauk ala kampung  serta berpeluang untuk mencucuk tanah di samping melegakan fikiran yang kusut. Hal ini  bagai menyelam sambil minum air. Bagaimanapun, pakej agropelancongan perlu mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan Malaysia,  seperti menyeranaikan pengusaha agropelancongan yang beramanah dalam laman web kementerian berkenaan. Secara realitinya, inap desa semakin menarik perhatian pelancong domestik dan luar negara.

Natijahnya,  sektor pertanian perlu mengalami revolusi supaya sektor ini berprestij  kepada generasi muda.  Pembangunan sektor dapat mengurangkan import makanan dari luar negeri dan dapat mengelakkan penduduk kampung berhijrah ke bandar. Tampaknya, perkembangan pertanian mengundang seribu satu kebaikan kepada negara kita. Masyarakat kita juga perlu menyedari sumbangan,  jasa dan pengorbanan kaum petani kita. Sebaliknya kaum petani kita perlu mengalami transformasi untuk menjanakan 1 Malaysia.

(Karangan ini telah diubahsuaikan daripada karangan dalam blog ini pada tahun 2009)
Back to Top