-->

Type something and hit enter

Pages


On
 CONTOH KARANGAN

LANGKAH UNTUK MENGURANGKAN KEMALANGAN JALAN RAYA

Kemalangan jalan raya yang berlaku telah menyebabkan kecederaan, kematian serta kerosakan kenderaan yang terbabit. Oleh itu, sewajarnya langkah-langkah yang efektif perlu dilakukan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di Malaysia.

Antara langkah utama dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya ialah memperbaiki sikap pemandu itu sendiri. Semua pemandu yang berada di jalan raya hendaklah mematuhi peraturan jalan raya. Para pemandu hendaklah memandu mengikut had laju yang ditetapkan oleh pihak  kerajaan. Sikap pemandu yang gemar melanggar lampu isyarat merah mestilah dielakkan kerana ia boleh membawa kepada kemalangan dan kesesakan jalan raya. Di samping itu, pemandu juga tidak dibenarkan memotong di garisan berkembar kerana ia boleh membahayakan pengguna jalan raya yang lain.



Pihak keluarga juga boleh memainkan peranan dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Ibu bapa perlu menasihati anak-anak supaya mematuhi peraturan jalan raya semasa memandu. Anak-anak juga boleh menasihati ibu bapa yang memandu supaya tidak memandu terlalu laju dan sentiasa bertolak ansur ketika berada di jalan yang sesak. Jika anak-anak melihat ibu bapa memotong barisan atau memotong jalan dengan menggunakan lorong kecemasan, anak-anak perlulah menegur sikap ibu bapa. Amalan nasihat-menasihati dalam hal keselamatan jalan raya pasti akan dapat mengelakkan kemalangan berlaku.

Pihak kerajaan juga boleh mengambil tindakan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Hal ini kerana pihak kerajaan mempunyai sumber kewangan dan peruntukan bagi membina satu sistem jalan raya yang selamat kepada pengguna jalan raya. Pihak kerajaan juga boleh membina jalan raya yang lebih lurus dan ada laluan khas untuk motosikal. Pihak kerajaan juga perlulah memperbaiki kemudahan pengangkutan awam supaya lebih ramai rakyat menggunakan pengangkutan awam terutama semasa hari perayaan. Dengan tindakan yang proaktif daripada pihak kerajaan pasti kesesakan dan kemalangan jalan raya dapat dikurangkan.

Pihak penguatkuasa undang-undang jalan raya juga perlu bertindak dalam mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Pihak polis mestilah bertugas dengan baik dan membuat pemantauan yang berterusan terhadap sikap pemandu kenderaan. Pemandu yang melanggar peraturan jalan raya hendaklah disaman dan didakwa di mahkamah untuk dijadikan pengajaran kepada orang lain. Pihak Jabatan Pengangkutan Jalan juga boleh memainkan peranan dengan menahan kenderaan yang tiada cukai jalan atau membawa muatan yang berlebihan. Jika pihak penguatkuasa undang-undang jalan raya dapat memainkan peranan dengan berkesan, maka kemalangan dapat dikurangkan dan ia pastinya menguntungkan banyak pihak.

Pihak media massa juga boleh memainkan peranan untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya. Peranan media massa dalam mempengaruhi sikap pengguna jalan raya memang tidak dapat dinafikan. Contohnya, kempen-kempen keselamatan jalan raya boleh dibuat dengan menggunakan media massa. Pihak kerajaan yang memiliki stesen RTM boleh menggunakan stesen televisyen dan radio ini sebagai tempat untuk menyampaikan kempen keselamatan jalan raya. Sewajarnya kempen-k­empen keselamatan jalan raya dibuat secara berterusan di media massa supaya dapat memberi kesan yang mendalam kepada orang ramai khususnya pengguna jalan raya.
Back to Top