-->

Type something and hit enter

Pages


On


 Kebaikan Amalan Rumah Terbuka



            Amalan rumah terbuka sudah menjadi lumrah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Apabila tiba sahaja musim perayaan seperti Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baru Cina dan Hari Krismas, masyarakat Malaysia akan mengambil kesempatan untuk mengunjungi rumah terbuka yang diadakan oleh jiran tetangga, pihak kerajaan tempatan, mahupun mengunjungi rumah terbuka yang diadakan di peringkat negara atau peringkat kebangsaan. Bermula pada tahun 2000, kerajaan Malaysia telah memutuskan bahawa sebanyak enam perayaan kaum utama di Malaysia dianggap sebagai perayaan utama dan akan disambut sebagai perayaan peringkat nasional iaitu Sambutan Hari Raya Aidil Fitri, Perayaan Tahun Baru Cina, Perayaan Hari Krismas, Perayaan Deepavali, Perayaan Hari Gawai dan juga Perayaan Hari keamatan. Oleh sebab itu, semenjak tarikh berkenaan perayaan-perayaan kaum utama masyarakat berkenaan diraikan pada peringkat kebangsaan anjuran bersama kerajaan pusat dan kerajaan negeri pada setiap tahun. Sekiranya, amalan menyambut perayaan-perayaan berkenaan berterusan sudah pasti keharmonian masyarakat berbilang kaum di Malaysia akan terus mampan.  Menyedari kesungguhan kerajaan menganjurkan rumah terbuka pada peringkat nasional sudah pasti sambutan perayaan berkenaan ada kemaslahatannya kepada negara dan masyarakat. Persoalan yang sering berlegar-legar di gawang minda kita ialah apakah kepentingan-kepentingan amalan rumah terbuka?

            Sebenarnya, amalan rumah terbuka yang diwujudkan banyak memberikan kemaslahatan terutamanya dalam mengeratkan perpaduan kaum dalam kalangan anggota masyarakat di negara kita. Perpaduan yang terjalin sekali gus dapat memudahkan pencapaian matlamat atau misi dan visi negara dalam usaha untuk menjadikan Malaysia sebuah negara bangsa. Selain itu, amalan rumah terbuka memberikan makna besar kepada anggota masyarakat mengenai perpaduan yang harus wujud untuk mengelakkan sebarang unsur prejudis terhadap keharmonian kaum. Amalan ini juga dilihat sebagai salah satu pertemuan masyarakat yang melupakan pertentangan pendapat, perbezaan idealogi, perbezaan konsep politik mahupun berlainan parti politik sama ada pembangkang atau kerajaan. Pada sambutan hari perayaan utama berkenaan semua masyarakat Malysia tidak kira warna kulit, agama, dan kaum akan mengambil kesempatan Keadaan ini persis peribahasa buang yang keruh, ambil yang jernih. Oleh sebab itu, setiap kaum seperti Melayu, India, Cina, Kadazan dan sebagainya boleh berkunjung ke rumah terbuka kaum lain tanpa sebarang kekangan yang perlu dibimbangi. Sekiranya, amalan murni ini tetap kukuh dalam kalangan masyarakat Malaysia, sudah pasti ukhuwah dalam kalangan masyarakat Malaysia akan kekal akrab. Kesannya, perasaan muhibah antara satu sama lain dapat mewujudkan kehidupan masyarakat yang lebih harmoni dan dapat mengelakkan polemik yang mampu mencentus perbalahan antara kaum. Tegasnya, konsep penyatuan antara kaum dapat dihidupkan melalui amalan rumah terbuka.


            Dari perspektif yang lain , amalan rumah terbuka dapat membantu rakyat Malaysia memahami budaya kaum lain. Mereka akan merayakan perayaan itu bersama-sama walaupun mereka berbeza latar belakang, budaya dan agama. Amalan ini juga membolehkan setiap kaum mengenali juadah kaum-kaum lain selain didedahkan kepada adat resam dan pantang larang rakan-rakan mereka sendiri. Maklumlah tak kenal, maka tak cinta. Sebagai contoh, orang-orang India, Cina, Iban dan Kadazan merayakan sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama-sama dengan orang Melayu dan begitu juga sebaliknya. Hal ini dapat membantu mereka mempelajari budaya kaum lain, malah budaya sihat ini juga dapat diwujudkan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum di negara kita. Secara tidak langsung semangat toleransi akan tersemai dalam kalangan generasi sekarang. Sebaliknya, jika amalan rumah terbuka ini pudar, sudah pasti hubungan antara masyarakat yang terdiri daripada pellbagai kaum akan terhakis. Impaknya, usaha kerajaan untuk mengekalkan keharmonina masyarakat mungkin terhakis. Tuntasnya, budaya dan adat resam kaum lain dapat dipelajari melalui amalan murni ini dan masyarakat Malaysia akan memahami budaya kaum lain melalui amalan kunjung mengunjung semasa rumah terbuka diadakan peringkat kebangsaan, negeri dan daerah.
          
            Dari kaca mata yang berbeza, penganjuran rumah terbuka juga merupakan daya tarikan kepada pelancong asing yang melancong di negara kita. Mereka bukan sahaja datang ke Malaysia untuk melancong dan menikmati keindahan negara tetapi mereka juga dapat mengalami dan menghayati sendiri keunikan dan keharmonian pelbagai kaum di negara ini semasa menyambut perayaan kaum masing-masing. Keadaan ini bertepatan dengan kata mutiara jauh perjalanan, luas pemandangan. Dalam konteks ini, kerajaan melalui Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan dengan kerjasama kerajaan-kerajaan negeri berkenaan telah pun mengadakan majlis rumah terbuka Malaysia semasa Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baru Cina, Pesta Keamatan, Hari Gawai, Deepavali dan Krismas. Pengalaman pelancong asing meraikan perayaan-perayaan yang terdapat di Malaysia akan menjadikan nama Malaysia sentiasa meniti dari bibir ke bibir mereka sekembalinya mereka ke negara asal mereka dan sekali gus dapat merancakkan industri pelancongan negara. Sekiranya situasi ini berlaku, sudah pasti budaya dan keharmonian masyarakat negara akan disanjung oleh masyarakat global dan akan meningkatkan minat pelancong asing untuk melancong ke negara kita. Izharnya, konsep rumah terbuka dapat memberikan persembahan yang harmonis di mata pelancong asing kerana rakyat Malaysia yang berbilang kaum dapat hidup di bawah payung keharmonian.
          
            Amalan rumah terbuka juga dapat merapatkan hubungan silaturahim dalam hubungan kekeluargaan. Hal ini dikatakan demikian kerana simboliknya amalan rumah terbuka merupakan medan pertemuan yang paling sesuai untuk memperkukuh hubungan silaturahim antara ahli keluarga. Fenomena seperti ini amat dititikberatkan agar sistem kekeluargaan akan sentiasa wujud dengan kukuh dan padu, bukannya semakin layu dan pudar. Tanpa konsep rumah terbuka, hubungan silaturahim dan perpaduan akan terhakis sedikit demi sedikit dan seterusnya akan lesap dalam kehidupan generasi akan datang yang semakin tidak mengenali sanak-saudara mereka. Semasa menghadiri rumah terbuka, mereka akan beramah mesra dan dapat melepaskan kerinduan  di samping mendapat perkembangan terkini antara satu sama lain. Yang muda pula dapat mengenali mereka yang tua dengan lebih dekat dalam pertemuan ahli keluarga ini. Situasi ini dapat mencerminkan yang tua dihormati, yang muda disayangi. Jika amalan rumah terbuka di peringkat keluarga diadakan, sudah pasti setiap unit keluarga asas dan keluarag terbuka akan terpahat. Hal ini akan mempertautkan hubungan keluarga daripada pelbagai lapisan generasi. Ringkasnya, hubungan kekeluargaan dapat diperkukuh dan serinya tidak akan hilang jika amalan rumah terbuka dibudayakan pada hari perayaan.

Tempias daripada amalan rumah terbuka ini menyebabkan suburnya hubungan silaturahim dalam masyarakat. Kesibukan bekerja dan mencari nafkah menyebabkan rapuhnya institusi kejiranan yang dahulunya kukuh. Namun ikatan hubungan ini dapat kembali disuburkan melalui amalan rumah terbuka. Rumah terbuka menyediakan ruang serta peluang bagi masyarakat untuk mengenali jiran tetangga. Ghalibnya, masyarakat setempat akan dijemput menghadiri rumah terbuka yang dianjurkan oleh pihak tertentu. Jiran tetangga yang sebelumnya tidak dikenali atau jarang bertemu dapat berkumpul dan berbual-bual bagi mengukuhkan hubungan yang renggang. Segala salah faham dapat diredakan melalui pertemuan serta perbincangan semasa amalan rumah terbuka. Menurut Saidina Abu Bakar, ‘Hiduplah seperti pohon kayu lebat buahnya, tumbuh di tepi jalan. Dilempar orang dengan batu, tetapi dibalasnya dengan buah’. Malahan, hubungan antara pemimpin dan rakyat juga menjadi lebih erat apabila mereka menganjurkan majlis rumah terbuka pada sambutan Hari Raya Aidil Fitri 2018 seperti yang dilakukan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Tun Dr. Mahathir Mohammad Perdana Menteri Malaysia ke-8. Jelaslah bahawa amalan rumah terbuka mampu mengukuhkan hubungan silaturahim dalam kalangan anggota masyarakat.

            Selain itu, amalan rumah terbuka juga merupakan metodologi lain bagi melihat serta merasai kepelbagaian masakan masyarakat Malaysia.  Rumah terbuka yang dianjurkan di negara kita telah memberikan kelebihan kepada masyarakat peribuminya. Setiap perayaan mempunyai corak atau cara sambutan yang berbeza-beza, maka heterogen adat dan tradisi mula diketengahkan menyebabkan masyarakat kini mampu mengenalinya secara dekat. Keunikan adat dan tradisi yang diamalkan telah menjadi faktor penarik bagi masyarakat lain untuk mula menyesuaikan diri serta merasai kepelbagaian juadah yang disajikan. Sebagai contoh, rumah terbuka bagi masyarakat Iban biasanya menyajikan sagu, manakala masyarakat India pula mementingkan manisan. Tetamu yang menghadirinya pasti teruja apabila mereka dapat merasai juadah yang berbeza dan pelbagai, justeru tradisi dapat terus dipertahankan, bak kata aforisme Melayu, biar mati anak, jangan mati adat. Berakar umbi daripada amalan inilah masyarakat dapat melihat serta merasai kepelbagaian aneka masakan daripada latar masyarakat yang berbeza. Hal ini menyebabkan tradisi bangsa terus kukuh. Sekiranya amalan ini seperti ini berterusan pada setiap tahun, natijah positifnya bukan sahaja keakraban masyarakat pelbagai kaum terjalin malah masyarakat Malaysia dapat menikmati kepelbagaian juadah makanan kaum lain. Sudah terang lagi berusuluh  amalan rumah terbuka juga merupakan metodologi lain bagi melihat serta merasai kepelbagaian masakan

               Pada kaca mata berbeza, pendapatan negara semakin meningkat apabila industri pelancongan di negara kita semakin maju. Pelancong asing akan bertandang ke negara kita kerana mereka teruja akan cara-cara masyarakat majmuk menyambut rumah terbuka. Jabatan Perangkaaan Negara juga menjelaskan bahawa hasil terimaan pelancong meningkat sebanyak 3.1 peratus pada tahun 2011 dan dijangka akan terus meningkat saban tahun. Rumah terbuka dapat menjadi salah satu platform dalam meningkatkan industri pelancongan Malaysia. Selain itu, sikap toleransi dan persefahaman multi etnik yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia sudah menjadi salah satu daya tarikan yang kuat dalam kalangan pelancong asing kerana konsep yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing telah lama sebati dan menjadi pegangan utuh masyarakat kita. Pelancong juga sudah tentu teringin melihat kebudayaan yang sebelum ini belum pernah dilihat. Hal ini disebabkan segala kebudayaan yang unik ini dipersembahkan dalam bentuk yang asli. Tuan rumah dan tetamu yang hadir mengenakan pakaian tradisi masing-masing. Juadah yang dihidangkan juga mengutamakan hidangan tradisi, maka masyarakat Malaysia mahupun masyarakat antarabangsa dapat menyelami budaya semua kaum di negara ini dengan lebih dekat. Hasilnya, kesemua keunikan ini telah menjadi magnet tarikan kepada pelancong. Jika rakyat Malaysia tidak mengambil kesempatan dengan keunikan dan kepelbagaian etnik luar biasa yang hanya boleh ditemui di negara kita, sudah pasti kita juga yang akan rugi. Natijahnya, pelancong asing akan teruja dengan kepelbagaian budaya dan jenis makanan yang disajikan dan akan terus mengunjungi negara sebagai destinasi pelancongan utama mereka. Tegasnya, pendapatan negara semakin meningkat apabila industri pelancongan di negara kita semakin maju.

            Malahan, amalan ini juga dilihat telah menyumbang kepada pembentukan identiti Malaysia melalui budaya bangsa nasional. Sebenarnya, rumah terbuka berlandaskan konsep seruan beragama dan adat budaya kaum masing-masing. Namun demikian, perayaan masing-masing telah diasimilasikan sehingga melahirkan budaya bangsa secara nasional. Senario ini bermakna perayaan negara kita telah berkonsep ala-Malaysia. Pertembungan budaya antara dua atau lebih budaya sebenarnya membawa kepentingan kepada semua pihak. Tamsilnya, masyarakat Cina tidak menyediakan hidangan yang tidak boleh dijamah oleh masyarakat Melayu dan begitu juga dengan masyarakat India. Pertembungan budaya ini sebenarnya bertujuan menjaga perasaan sahabat handai pelbagai kaum di Malaysia. Hal ini disebabkan penghormatan itu merupakan asas keharmonian, perpaduan dan kesejahteraan hidup masyarakat Malsysia. Keindahan, keunikan dan kehalusan budaya ini akan menyebabkan generasi baru berasa bangga dengan warisan yang dimiliki selagi adat ini tidak lapuk dek hujan, tidak lekang dek panas. Sekiranya rumah terbuka pelbagai kaum dikunjungi pelbagai kaum di Malaysia, sudah pasti kebudayaan kebangsaan Malaysia akan diwujudkan dan kebudayaan ini akan menjadi identiti rakyat Malaysia.Kesimpulannya, amalan rumah terbuka menyumbang kepada pembentukan identiti Malaysia melalui budaya bangsa nasional.

            Setelah menghalusi hujah-hujah di atas, bayang kian jelas bahawa amalan rumah terbuka memang banyak membawa  manfaat kepada masyarakat dan negara. Oleh itu, konsep rumah terbuka perlu dihayati dengan mendalam oleh semua pihak. Sekiranya konsep ini tidak difahami dan dihayati, kemungkinan amalan ini akan mendatangkan keburukan atau sekadar syarat sahaja untuk menganjurkannya. Kita tidak mahu menjadi seperti rumah sudah siap pahat berbunyi  apabila menganjurkan rumah terbuka. Jika amalan murni ini dibudayakan, sudah pasti hasrat negara untuk mencapai Gagasan 1Malaysia akan menjadi realiti dan bukannya angan-angan Mat Jenin. Walaupun negara kita merupakan satu titik kecil dalam peta dunia, namun usaha kerajaan untuk menyatupadukan rakyat yang berbilang bangsa dapat dijadikan teladan kepada negara-negara di dunia.Semoga dengan kekuatan iltizam masyarakat Malaysia, kita akan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain seperti Singapura, Amerika Syarikat, China, Britain dan negara-negara besar dunia yang lain.

Back to Top