Era pascaperindustrian dan pascaglobalisasi yang serba mencabar akal dan minda kita kini jelas menekankan penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang yang sememangnya penting serta perlu diberikan perhatian utama. Hal ini demikian kerana, tuntutan zaman telah membuktikan ilmu atau pengetahuanlah yang akan menetukan kejayaan seseorang seandainya dimanfaatkan dengan baik. Oleh itu, setiap orang seyogianya berusaha mencari seberapa banyak ilmu demi kesejahteraan kehidupan di dunia mahupun di akhirat. Ilmu Pelita hidup, demikianlah kata-kata hikmat yang menggambarkan pada kita manfaat yang diperoleh seandainya kita berilmu. Sekiranya pelajar alpa, dan mengganggap penguasaan ilmu tidak penting dalam kehidupan mereka mereka bagaikan menongkah arus globalisasi dan mereka sentiasa dalam kerugian. Sebaliknya, murid yang memberikan penguasaan ilmu dalam budaya kehidupan mereka, sudah pasti mereka akan menjadi insan yang berjaya. Oleh sebab itu, semua anggota masyarakat hendaklah menggunakan masa untuk memenuhkan ilmu di dada. Apabila seseorang itu berilmu, sudah tentulahlah pelbagai maslahat akan diperoleh terutama. Persoalannya, apakah faedah yang diperoleh apabila kita menuntut ilmu ?
Terdapat banyak maslahat ataupun kebaikan menuntut ilmu, antaranya ilmu membolehkan kita memperoleh kerja yang lebih baik. Dengan pelbagai ilmu yang dimiliki, peluang kerjaya seseorang akan lebih terbuka dan seseorang itu lebih mudah untuk mendapat kerja. Kita juga akan mampu menjawat jawatan yang lebih tinggi. Dengan jawatan dan gaji yang lumayan, seseorang itu mampu membantu kedua-dua ibu bapa dan memberikan kesenangan kepada mereka. InsyaAllah, hasrat dan impian yang terpendam selama ini akan direalisasikan jika kita mempunyai ilmu sebagaimana yang disabdakan oleh Nabi Muhammad yang bermaksud “barangsiapa yang mahu kehidupan di dunia, maka bagi mereka ilmu sandarannya” . Oleh itu, terbuktilah bahawa jika kita mempunyai ilmu, maka kita mampu meneruskan kehidupan dengan ilmu yang dimiliki. Kerja seperti doktor, peguam, jurutera, guru, akauntan dan sebagainya memerlukan mereka menguasai ilmu pengetahuan. Ingatlah, kuat ketam kerana sepitnya, kuat manusia kerana ilmunya. Sekiranya kita tidak memiliki ilmu, sudah tentulah kita tidak akan mendapat kerja yang kita idam-idamkan. Sebaliknya, mereka yang berilmu sentiasa menjadi iddola rujukan masayarakat. Tegasnya, seseorang itu akan mendapat pekerjaan yang lebih baik dan terbuka sekiranya mereka mempunyai ilmu pengetahuan.
Selain itu, kelebihan menuntut ilmu akan dapat melahirkan individu yang memiliki minda kelas pertama. Masyarakat minda kelas pertama ini ialah masyarakat yang mampu berdaya saing kerana sudah tentu masyarakat yang sebegini memiliki jati diri dan akhlak yang terpuji berkat daripada ilmu yang dimiliki. Seandainya kita tidak mempunyai ilmu, maka kita tentu tidak mampu bersaing dengan orang yang lebih berjaya kerana tidak mempunyai kemahiran untuk mengahadapi cabaran. Masyarakat minda kelas pertama yang disegani dan dihormati lahir daripada masyarakat yang sentiasa mengutamakan aspek tarbiah yang berterusan sebagai pemacu pembentukan insan yang berguna. Hal ini demikian kerana mereka mengganggap bahawa ilmu itu adalah harta yang paling bernilai berbanding harta yang lain. Dengan ilmu yang kita miliki, kita boleh diangkat menjadi pemimpin yang berketerampilan serta peneraju dan pengganti kepimpinan negara. Bahkan juga, insan yang berilmu tidak mudah ditipu oleh sesiapa sahaja yang ingin mengambil kesempatan atas kelemahan diri kita dek kurangnya ilmu di dada. Golongan yang terpedaya dengan tipu helah golongan yang berkepentingan ialah golongan yang tidak berfikir panjang kerana mereka tidak boleh membezakan antara hak dan batil. Sekiranya, kita berilmu kita akan sentiasa dihormati masyarakat dan menjadi rujukan serta menjadi teladan. Sebaliknya, insan yang tidak berilmu bagaikan melukut di tepi gantang. Tegasnya, kelebihan menuntut ilmu akan dapat melahirkan individu yang memiliki minda kelas pertama. Hal ini selaras dengan gurindam Melayu yang berbunyi:
Kalau kamu rajin mengaji,
Tentu kamu akan dipuji.
Akhir sekali, apabila seseorang itu menuntut ilmu, dia boleh mencipta pelbagai peralatan berasaskan keperluan semasa. Seseorang yang memilih bidang Teknik dan Vokasional umtuk melanjutkan pelajaran, sudah pasti didedahkan dengan kemahiran dan latihan dalam bidang-bidang tertentu. Latihan dan kepakaran yang dimiliki ini membolehkan seseorang itu untuk mencipta pelbagai peralatan berasaskan keperluan semasa. Ketika menuntut ilmu sama ada di peringkat sekolah mahupun di institusi pengajian tinggi, pelajar-pelajar telah diajar dan diterapkan dengan unsur inovasi dan kreativiti. Keadaaan ini membolehkan pelajar mencipta sesuatu yang lebih kreatif dan inovasi bagi meningkatkan penguasaan diri. Selain itu, seseorang yang memilih untuk melanjutkan pelajaran dalam bidang Sains dan Teknologi sudah pasti dapat menyumbang idea dan kepakaran mereka dengan mencipta teknologi yang lebih tinggi untuk memajukan negara seperti mencipta mesin-mesin dan peralatan berteknologi tinggi dalam bidang pertanian dan perindustrian. Sebagai contoh, En. Zulkefli Haron, 56 tahun, pemilik Syarikat Zull Design Autotronic merupakan salah seorang masyarakat Malaysia yang telah menghasilkan 1000 produk inovasi bagi memenuhi keperluan peniaga terutamanya melibatkan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan peniaga kecil yang mahu memulakan perniagaan. Sudah terang lagi bersuluh, apabila individu mempunyai ilmu pengetahuan, mereka boleh menghasilkan pelbagai produk inovatif untuk kemudahan orang lain kerana jika kita dapat menjadi garam yang dapat menahan daging daripada busuk, janganlah pula kita menjadi langau yang boleh membusukkan daging. Bahkan masyarakat berilmu dapat membantu negara kita duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang sains dan Teknologi.
Kesimpulannya, ilmu amat penting dalam kehidupan dan memiliki ilmu banyak kebaikan dalam kehidupan kita. Ilmu yang ingin kita cari mestilah mencakupi ilmu dunia dan ilmu akhirat. Kedua-dua ilmu ini mestilah seimbang demi menjamin hidup yang bahagia di dunia dan di akhirat. Oleh itu, kita janganlah membuang masa dengan melakukan perkara yang tidak bermanfaat. Gunakanlah masa yang ada untuk menuntut ilmu dalam pelbagai bidang terutamanya bidang teknologi maklumat dan komunikasi yang sentiasa berubah dari masa ke masa. Akhirulkalam, janganlah kita persia-siakan masa yang ada dengan menjadi manusia yang lalai tanpa melakukan aktiviti yang berfaedah.
Insya-Allah saya cuba menyenaraikan lebih banyak karangan terbaik selepas ini. Namun, untuk karangan pelajar yang pernah saya siarkan di dalam blog ini , untuk menyiakan semula agak sukar kerana saya perlu mengambil masa yang lama kerana saya perlu memasukkan karangan berkenaan mengunakan gambar jpg. Harap maklum. Semoga bahan di atas dapat membantu pelajar membuat persiapan untuk menghadapi SPM 2018 terutama kertas Bahasa Melayu (1103).
Namun, pelajar boleh merujuk terus karangan pelajar saya terbaik berkenaan terus ke galeri bahan yang telah saya terbitkan di bahagian kanan blog saya.