-->

Type something and hit enter

Pages


On
CONTOH KARANGAN SEBAB-SEBAB BERLAKU MASALAH PENAGIHAN DADAH

Isu-isu yang berkaitan dengan penagihan dadah telah menjadi masalah sosial yang sangat serius sama ada di dalam negara kita mahupun di Negara-negara lain. Setiap tahun masalah penagihan dadah ini terus meningkat dari semasa ke semasa. Sesungguhnya  isu penagihan dadah ini tidak boleh dipandang ringan oleh masyarakat kerana penagihan dadah banyak mendatangkan keburukan kepada diri sendiri, masyarakat dan negara. Kenapakah penagihan dadah ini terus meningkat di Negara kita? Kajian menunjukkan bahawa terdapat beberapa sebab berlakunya penagihan dadah.

Antara sebab yang boleh membawa kepada penagihan dadah ialah sikap ibu bapa. Terdapat ibu bapa yang tidak memberikan kasih sayang dan pendidikan agama yang secukupnya kepada anak-anak. Terdapat juga ibu bapa yang terlalu mementingkan kerjaya sehingga mengabaikan tanggungjawab terhadap anak-anak. Keadaan ini menyebabkan anak-anak berasa sunyi tinggal di rumah. Oleh itu, mereka cuba mencari ketenangan dan keseronokan di pusat-pusat hiburan dan akhirnya terjebak dengan penagihan dadah.

Sikap individu juga merupakan penyebab kepada penagihan dadah. Terdapat individu yang ingin merasai kenikmatan menagih dadah lalu mencubanya. Walau bagaimanapun sikap ini membawa padah kerana individu tersebut akan menjadi ketagih dan tidak dapat berhenti daripada menagih dadah. Dalam sesetengah kes, jika seseorang penagih itu tidak menagih dadah :alam jangka masa tertentu, individu tersebut akan berasa tidak tenteram dan sentiasa gelisah.

Rakan sebaya juga boleh menjadi penyebab kepada aktiviti penagihan dadah. Jika kita memilih rakan yang menagih dadah, pasti lama-kelamaan kita juga akan terlibat dengan masalah aenagihan dadah. Hal ini kerana rakan yang menagih dadah pasti akan mengajak kita mencuba najis dadah yang dikatakan dapat memberikan ketenangan dan menyelesaikan masalah hidup. Seseorang itu biasanya akan menerima pelawaan rakan kerana takut dianggap tidak 'geng' atau ketinggalan zaman.

Sikap masyarakat juga menjadi penyebab kepada berlakunya masalah penagihan dadah. Terdapat golongan masyarakat yang mengambil mudah masalah penagihan dadah kerana mereka berpendapat bahawa keluarga mereka tidak terlibat dengan masalah tersebut. Ada juga sesetengah masyarakat beranggapan bahawa tanggungjawab membanteras penagihan dadah adalah tanggungjawab pihak kerajaan sahaja. Sikap individualistik di kalangan masyarakat inilah  yang menyebabkan masalah penagihan dadah semakin bertambah.            

Kesimpulannya terdapat banyak sebab berlakunya penagihan dadah, khususnya kepada golongan remaja. Oleh sebab penagihan dadah mendatangkan banyak masalah, langkah mengatasinya periu dilakukan dengan serius dan segera. Adalah amat penting semua pihak mesti memainkan peranan untuk menangani masalah penagihan dadah. Dengan kerjasama semua pihak, sudah pasti masalah penagihan dadah akan dapat diatasi.
Back to Top