Contoh Karangan SPM
Soalan:
Soalan:
Sebagai
seorang remaja, anda juga merupakan seorang belia yang mempunyai peranan
penting dalam membangunkan dan memajukan negara ini. Ulaskan penyataan
di atas.
Karangan Contoh:
Lebih separuh abad kita menghela nafas kemerdekaan, namun remaja yang merupakan bakal tunjang negara masih terbelenggu oleh pelbagai kemelut sosial. Ternyata mentaliti generasi muda di negara kita belum lagi mengalami anjakan paradigma selaras dengan arus pembangunan negara kita. Menurut kata mutiara sarjana, “Jika ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, lihatlah generasi mudanya pada hari ini.” Mantan Presiden Indonesia, Soekarno pernah mengungkap, “Jika
diberikan aku seratus orang tua, nescaya aku mampu menterbalikkan
perahu yang tertangkup tetapi, jika aku diberikan sepuluh orang muda,
nescaya aku dapat mengegarkan dunia”. Bait-bait susunan retorik yang
penuh puitis ini telah menjadi satu menifestasi dalam usaha membangunkan
golongan belia dan generasi muda. Ternyatalah di sini bahawa remaja mahupun golongan belia yang berkualiti dapat memperkasakan kegemilangan nusa dan bangsa. Oleh itu, saya perlu memainkan peranan saya dengan penuh tanggungjawab untuk merencanakan pembangunan negara.
Peranan saya yang signifikan
ialah saya perlu belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai
kecemerlangan dari aspek akademik. Kecemerlangan akademik merupakan
salah satu elemen yang maslahat untuk melahirkan yang
pemimpin negara yang berkualiti demi menjamin masa hadapan negar yang
cerah terutamanya dalam aspek pembangunan negara. Intelek merupakan faktor perdana
untuk menjana kecemerlangan tamadun bangsa. Sehubungan dengan itu, saya
perlu proaktif menimba ilmu bukan sahaja di dalam kelas tetapi juga
menuntut segala pengetahuan, terutamanya ilmu Sains dan Matematik
melalui pelbagai wahana, seperti membaca buku, melayari lebuh raya maklumat di dunia maya dan sebagainya. Ketekunan dan inisiatif merupakan prasyarat untuk mencapai kecemerlangan akademik dan akan menjauhi gelaran katak di bawah tempurung. Saya juga tidak harus terbuai dalam dunia yang mengalpakan, iaitu terlalu khusyuk dalam dunia hiburan atau mengamalkan hedonisme. Ingatlah peribahasa, ikut hati mati, ikut rasa binasa. Seorang
tokoh cendekiawan Islam pernah berkata bahawa petanda runtuhnya sesuatu
bangsa itu dapat dilihat apabila bangsa tersebut amat mencintai
hiburan Tegasnya, tanpa remaja dan golongan yang bijak pandai maka pembangunan negara akan terbantut.
Walau bagaimanapun, kecemerlangan akademik semata-mata tidak dapat
menjamin pembangunan negara jika generasi muda kita seperti saya tidak
memiliki kesihatan fizikal dan mental yang seimbang.
Generasi muda yang ingin membangunkan negara perlu memiliki kekuatan
fizikal dan mental untuk menempuhi segala kekangan. Pada alaf baharu
yang penuh dengan kompetitif, muda-mudi negara perlu memiliki kecergasan fizikal dan bersemangat waja diri tanpa mengenal istilah putus asa supaya dapat berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan
generasi muda di negara maju. Untuk mencapai kesihatan fizikal dan
mental, saya patut mengamalkan pemakanan seimbang, menjaga kebersihan
diri dan persekitaran, bersenam, bersukan, beriadah dan tidak terlibat
dalam pelbagai angkara sosial seperti minum arak, merokok, kegiatan
maksiat, najis dadah dan lain-lain lagi kerana terlajak perahu boleh diundur, terlajak laku buruk padahnya. Remaja mahupun golongan belia harus sedar bahawa kesihatan merupakan aset yang tidak ternilai. Tanpa kesihatan, segala-galanya tidak lagi membawa makna. Hal ini sangat bertepatan dengan slogan rakyat sihat, negara maju. Jadi, muda-mudi negara yang sihat dan mempunyai jati diri yang mapan baru dapat melaksanakan pembangunan negara.
Selain itu, saya juga mestilah memiliki etika atau personaliti yang luhur. Golongan muda harus disuntikkan ajaran agama dan nilai moral sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Lantaran itu, saya haruslah mengamalkan segala suruhan agama dan meninggalkan semua larangan agama. Remaja yang dangkal imannyasudah pasti akan terjerumus ke dalam kebejatan sosial.
Saya mestilah sentiasa mendekatkan diri kepada Tuhan dan menjauhkan
diri daripada melakukan perkara yang mungkar seperti menagih dadah,
berzina dan mencuri. Selain menitikberatkan ajaran agama
dan pendidikan moral, golongan muda juga harus dibimbing supaya
melakukan kerja amal dan memberikan khidmat sosial, misalnya
bergotong-royong, menziarahi rumah kebajikan orang-orang tua dan
kanak-kanak yatim, mengutip derma untuk membantu mangsa bencana alam
serta terlibat dalam pelbagai aktiviti sukarela. Dalam konteks ini, saya
dapat membantu pembangunan negara dengan memastikan negara bebas
daripada ancamana masalah sosial. Dengan kata lain, golongan remaja dan
belia negara harus bersahsiah mulia, berinsaniah, berbudi bahasa dan
berkasih sayang agar dapat melahirkan negara yang maju sama ada secara
luarannya dan dalamannya pada suatu hari nanti.
Seperkara lagi, saya juga perlu kreatif dan inovatif untuk memacu pembangunan
negara yang gemilang. Hal ini terjadi demikian kerana hanya mereka yang
sentiasa berani berkreatif dan mempelopori bidang yang baharu dapat mengecapi
kejayaan yang terbilang. Dalam industri teknologi komunikasi dan
maklumat (ICT), umat yang gigih dan berani mencuba sesuatu yang baharu
akan menikmati buah kejayaan yang manis. Rentetan daripada itu, golongan
remaja dan belia kita harus dilatih supaya berani berimaginasi dan
berkhayal tetapi disusuli dengan aplikasi yang teratur. Ibu bapa harus
memberikan sokongan yang padu dan galakan yang tidak terhingga jika anak
mereka melontarkan impian mereka. Namun demikian, impian itu bukan
rekaan Mat Jenin yang tidak berasas tetapi perlu disokong
dengan praktikalnya. Dalam konteks ini, penglibatan remaja dalam
pelbagai bidang sama ada kebudayaan, sukan, kepimpinan atau keusahawanan
berupaya menjanakan kreativiti dan inovasi remaja. Pendek kata,
pembangunan negara akan tercapai jika negara kita mempunyai barisan
pelapis negara yang kreatif dan inovatif.
Akhir sekali, saya juga dapat memainkan peranan saya untuk membangunkan
negara dengan memiliki sikap keterbukaan. Hal ini kerana apabila kita
mempunyai sifat sedemikian, kita lazimnya dapat menerima teguran dan
pandangan orang lain. Dalam nada yang serupa, kita dapat memberi kesan
kepada negara kita. Kita dapat menjamin kestabilan politik, ekonomi dan
sosial negara. Kitalah yang akan menjadi pendukung untuk
mencapai perpaduan negara atau integrasi nasional demi mewujudkan
kesejahteraan sosial. Sebagai contohnya, saya mestilah sentiasa
mengamalkan sikap toleransi dan bertolak ansur untuk mencapai misi dan
visi negara iaitu semua rakyat perlu bersatu padu di bawah satu bumbung
yakni, satu bangsa satu bahasa dan satu negara. Hal ini bermakna saya
perlu mengamalkan perpaduan sama ada di sekolah atau di tempat-tempat
lain. Dengan ini, keharmonian negara dapat dipelihara dan pembangunan
negara dapat dijalankan dengan lancar dalam suasana negara yang aman
harmoni. Maka, sifat keterbukaan golongan muda yang belum keras
ubun-ubunnya sudah pasti dapat memudahkan mereka menjadi pemimpin yang
mampu membangunkan negaranya dengan penuh komited dengan dipayungi
perpaduan antara rakyatnya.
Secara intihanya, semua remaja dan belia negara termasuklah saya
mempunyai tanggungjawab dan obligasi masing-masing untuk menjanakan
pembangunan negara kerana pemuda harapan bangsa, pemudi tiang negara. Pemusa-pemudi negara merupakan tunjang yang bakal menerajui kepimpinan negara kita haruslah merdeka daripada belenggu angkara sosial. Hanya remaja dan belia yang berkualiti akan memangkinkan kecemerlangan negara. Jika mereka tidak diasuh, dibimbing dan dididik dengan kamil, tidak mustahil segala aspirasi negara
hanya sekadar imaginasi semata-mata dan tidak dapat menjadi realiti.
Oleh itu, generasi yang merupakan aset negara ini perlu terjaga daripada
lena dan keasyikan serta melengkapkan diri dengan ciri-ciri yang mulia
supaya dapat menempatkan diri sebagai modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang. Semoga negara kita dapat berdiri dengan gah di pentas antarabangsa bergandingan dengan negara maju yang lain dan terkenal di seantero dunia.