-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan SPM

Setiap murid mempunyai  cita-cita tersendiri untuk berjaya dalam hidup termasuk mencapai kejayaan dan kecemerlangan dalam peperiksaan.

 Huraikan langkah-langkah yang perlu anda lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

            Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya mengganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata pepatah “ sesal dahulu pendapatan , sesal kemudian tidak berguna.” Oleh itu, saya sebagai seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Persoalannya, apakah modus operandi dan perancangan dan persediaan awal yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?

            Langkah pertama yang saya ambil ialah sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di kelas. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar, sudah tentu sesuatu pembelajaran  tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “Lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar  adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan agar dapat mewujudkan  suasana bilik darjah bilik darjah yang ceria supaya saya tidak akan berasa bosan dan secara tidak langsung saya akan dapat mengingati apa-apa yang disoal atau ditanya oleh guru serta apa-apa yang saya sebut atau yang saya ulangi. Saya juga menyiapkan segala kerja rumah yang diberikan oleh guru-guru supaya saya akan lebih memahami sesuatu topik dan tidak ketinggalan. Saya juga akan bertanya kepada guru-guru sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang saya kurang faham kerana berdasarkan satu kajianyang telah dijalankan dan telah mendapati bahawa kebanyakan kecemerlangan pelajar dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka. Tegasnya memberi tumpuan ketika guru mengajar dan menyiapkan kerja rumah yang diberikan oleh guru merupakan satu langkah dan persediaan yang sedang saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

            Selain itu, saya menguruskan masa dengan bijak dan baik. Saya akan menyediakan jadual waktu belajar dan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan supaya mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulangkaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Malah, jika saya mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan  apabila peperiksaan sudah tiba, hal ini diibaratkan nasi sudah menjadi bubur. Kita haruslah sediakan payung sebelum hujan. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal. Manakala pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa  dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa lalu tidak akan kembali”, maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan dan ini haruslah dielakkan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.

            Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen. Jika saya segan bertanya guru di sekolah, barulah saya bertanya kepada guru yang mengajar di kelas tuisyen tetapi saya juga haruslah menghapuskan perasaan segan bertanya kepada guru-guru di sekolah bak kata pepatah “ malas berkayuh perahu hanyut” , “segan bertanya sesat jalan.” Malahan, jika saya tidak memahami sesuatu topik yang diajar oleh guru-guru di pusat tuisyen, maka bolehlah saya bertanya kepada guru di tuisyen. Tambahan pula,jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah ingat dan saya juga boleh mengikuti program di sekolah kerana ini juga membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya akan menyertai segala program yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, Teknik Menjawab Soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, saya akan didedahkan dengan jenis-jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam program sekolah dan mengikuti kelas tuisyen merupakan salah satu langkah bagi saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik dan mempunyai keinginan untuk menjadi seorang yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Dengan ini, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala social yang negatif. Saya akan membezakan antara kaca dengan permata dan sentisasa memikirkan akan masa depan saya serta matlamat hidup saya. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka. Saya juga dapat menyertai kumpulan pembelajaran mereka dan membolehkan saya berbincang serta lebih memahami topik-topik yang telah diajarkan oleh guru. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.  Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu soalan. Saya juga dapat bergantung kepada rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan  sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk membangkitkan diri saya semula dengan memberi  dorongan dan nasihat yang berguna kepada saya dan bukannya menyuruh saya melibatkan diri diri dengan gejala sosial negatif yang dapat mengurangkan tekanan jiwa dan stress. Maklumlah, seseorang akan lebih terpengaruh dengan gejala sosial apabila berada dalam ambang kegagalan dan kekecewaan. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya.

            Akhir sekali, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya dan saya juga akan sentiasa berdoa kepada Tuhan. Kata orang –orang tua, “Tuhan hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa.” Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu saya selalu menasihatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh. Oleh itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang. Segala doa dan dorongan ibu bapa, saya tahu walaupun betapa tabah atau bijak mana saya sekalipun, saya tidak mungkin dapat memperoleh kejayaan yang cemerlang yang saya ingini tanpa doa, restu dan dorongan daripada kedua-dua ibu bapa saya. Malah, saya juga akan sentiasa berdoakepada Tuhan supaya saya tidak akan jatuh sakit pada hari peperiksaan kerana manusia hanya mampu merancang, Tuhan yang menentukan segala-galanya. Jelasnya, untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mematuhi segala nasihat kedua-dua ibu bapa saya dan  saya juga akan sentiasa berdoa dan bersyukur kepada Tuhan atas segala pemberiannya.

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan, saya perlulah mengikuti langkah-langkah dan segala perbincangan yang saya rancangkan. Saya perlu mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan agar masa depan saya tidak gelap tetapi terang dengan cahaya iaitu kejayaan. Kejayaan dalam peperiksaan adalah diibaratkan pelita yang menjadi penyuluh kepada kita pada malam-malam yang gelap gelita. Tanpa kecemerlangan dalam peperiksaan terutamanya peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia, hidup kita sudah tentu teraba-aba dalam kegelapan. Oleh itu, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan tanpa berputus asa ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.

Back to Top