-->

Type something and hit enter

Pages


On
CONTOH KARANGAN SPM

PEMBENTUKAN KELUARGA YANG BAHAGIA BUKAN SAHAJA BERGANTUNG PADA PERANAN IBU BAPA TETAPI JUGA PADA FAKTOR-FAKTOR LAIN.   BERIKAN PENDAPAT ANDA TENTANG PERNYATAAN INI.                                             

              Marcapada, masyarakat hari ini lebih ghairah mengejar kemewahan dan habuan duniawi di atas tanah datar ini. Masyarakat pada era golbalisasi ini dikatakan lebih individualistik bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing dan lebih bersikap materialistik atau bermata duitan. Tanpa disedari, kepentingan keluarga terabai oleh masyarakat. Senario ini lebih membimbangkan apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Beliau juga mengatakan bahawa dengan pembentukan keluarga bahagia, masyarakat dapat hidup dalam keadaan yang aman dan harmonis tanpa pertelingkahan serta perselisihan faham. Melalui pembentukan keluarga bahagia, individu yang kamil dan dihormati dapat dilahirkan yang sudah tentu akan dapat memberikan sumbangan terhadap pembangunan negara. Tanggungjawab membentuk keluarga bahagia tidak hanya bergantung pada satu pihak sahaja sebaliknya memerlukan kerjasama dan komitmen daripada pelbagai pihak bak kata  peribahasa Melayu, “bagai aur dengan tebing”. Tidak dapat disangkal bahawa ibu bapa menggalas kewajipan yang dominan bagi membentuk keluarga bahagia, namun terdapat juga pihak lain yang memainkan peranan yang penting dalam membentuk keluarga bahagia.

            Ibu bapa menggalas tanggungjawab yang penting bagi membentuk keluarga bahagia. Ibu bapa merupakan ketua keluarga yang akan membawa ahli keluarganya ke arah kehidupan yang bahagia dan semmpurna. Nabi Muhammad s.a.w pernah besabda bahawa anak-anak merupakan kain putih ibu, bapa yang memainkan peranan untuk mencorakkan kehidupan anak-anak sama ada menjadi Yahudi, Nasrani atau Majusi. Didikan dan asuhan ibu bapa penting supaya anak-anak menjadi golongan berkualiti serta dihormati dan tidak menjadi golongan barbar yang menjadi agen perosak terhadap pembangunan negara. Dalam hal ini, ibu bapa yang merupakan tulang belakang keluarga dapat mewujudkan keharmonian dalam rumah tangga dengan memperingati hari jadi ahli keluarga, mengadakan hari keluarga, melancong dan sebagainya. Apabila wujudnya suasana yang harmoni di rumah, anak-anak akan berasa lebih selamat dan selesa untuk berada di rumah daripada membazirkan masa dengan berpeleseran di luar rumah. Ibu bapa harus mentarbiah anak-anak mereka dengan menyemai nilai-nilai murni dan budaya ketimuran dalam sanubari anak-anak sejak berumur setahun jagung lagi bak kata pepatah bagai ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Ibu bapa harus meluaskan harizon pemikiran mereka dengan bersikap lebih terbuka. Mereka harus menerima pandangan anak-anak serta sentiasa berbincang dengan mereka supaya anak-anak akan berasa lebih selesa meluahkan perasaan kepada ibu bapa. Ibu bapa juga perlu memastikan anak-anak mereka menelusuri jalan kehidupan yang betul dengan memberikan perhatian dan kasih sayang yang secukupnya bagai ‘menatang minyak yang penuh’. Ibu bapa juga seyogiannya memberi hadiah dan galakan atas kejayaan ank-anak. Hal ini secara tidak langsung dapat menyumbang kepada pembentukan masyarakat penyayang yang merupakan cabaran yang ketujuh dalam usaha mencapai visi dan kudsi Wawasan 2020. Tegasnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia demi kemajuan masyarakat dan negara.

          Namun begitu, peranan pihak lain tidak wajar dikesampingkan. Selain ibu bapa, masyarakat juga memainkan peranan yang penting dalam pembentukan keluarga bahagia.  Masyarakat merupakan antara elemen penting yang dapat menetukan pembentukan seorang individu yang kamil dan seterusnya menyumbang kepada pembentukan keluarga bahagia.  Masyarakat di sesuatu kawasan tempat tinggal hendaklah sentiasa bekerjasama antara satu sama lain seperti aur dengan tebing dengan mengadakan kenduri, gotong royong, sukaneka dan rumah terbuka.  Penduduk yang menghadiri majlis rumah terbuka bersama keluarga mereka dapat menjalin semangat ukhuwah yang baik dengan penduduk setempat.  Dengan ini ahli keluarga dapat hidup dalam suasana yang harmoni dan selesa.  Sudah menjadi fitrah dalam melayari bahtera perkahwinan ada masam manisnya kerana langit tidak selalu cerah. Oleh itu, masyarakat setempat hendaklah mengamalkan sikap menjaga tepi kain orang bagi membendung krisis rumah tangga yang berlaku dalam kalangan jiran kita. Masyarakat perlulah menasihati pasangan yang menghadapi konflik supaya berdamai demi kebaikan bersama terutamanya kepada generasi muda.  Dengan adanya keluarga yang harmoni, anak-anak tidak akan terlibat dalam kancah negatif seperti penyalahgunaan dadah, vandalisme dan gengsterisme.  Perkara ini akan menjamin golongan yang baru berdarah setampuk pinang ini dapat  menelusuri penitian jalan hidup dengan betul bagi menjadi individu yang berkualiti dan mengharumkan nama keluarga.  Jelaslah bahawa masyarakat turut memainkan peranan yang penting dalam usaha membentuk keluarga bahagia.

            Jika dilihat dari dimensi yang lain, pihak kerajaan juga menggalas kewajipan yang setimpal dalam usaha membentuk keluarga bahagia.  Pihak kerajaan harus menguatkuasakan undang-undang yang melibatkan hak kanak-kanak dan hak keluarga.  Hal ini dapat menyedarkan dan menginsafkan orang ramai tentang hak insan yang lemah terutamanya anak-anak. Tamsilannya, Akta Perlindungan Kanak-kanak 1948 memberikan perlindungan kepada anak-anak yang didera.  Akta ini melindungi hak kanak-kanak sebagai individu yang harus menikmati kehidupan yang selamat dan bahagia.  Ibu bapa akan mengambil inisiatif untuk melindungi kanak-kanak daripada sebarang penderaan dan seterusnya mendidik mereka menjadi insan yang berguna.  Kerajaan juga mestilah menyediakan penghargaan kepada ibu bapa yang berjaya mewujudkan keluarga bahagia. Hal ini merupakan salah satu langkah optimum bagi membentuk masyarakat madani pada hari muka.  Sebagai misalan, pemberian Anugerah Ibu Mithali yang mengiktiraf kejayaan seorang ibu mentarbiah anak-anaknya menjadi individu cemerlang menjurus ke arah pembentukan modal insan minda kelas pertama yang seimbang dari segi jasmani, ekonomi, rohani dan intelek merupakan satu usaha yang berkesan untuk mendorong kaum ibu melaksanakan tanggungjawabnya dengan efektif.  Ringkasnya, kerajaan memainkan peranan yang afdal dalam pembentukan keluarga yang bahagia yang akan menjamin kehormanian masyarakat.

            Dalam nada yang berbeza, media massa juga turut berperanan dalam melahirkan keluarga yang bahagia. Hal ini dikatakan demikian kerana media massa merupakan wahana atau medium yang berkesan untuk mempengaruhi minda dan tingkah laku seseorang. Lebih-lebih lagi, pada zaman digital ini media massa telah semakin canggih seiring dengan kehendak arus modenisasi dan globalisasi yang pantas bergerak bagai belut diketil ekor ini. Sebagai buktinya, kini wujud buku digital, akhbar digital, laman sesawang yang kaya dengan laman sosial yang pelbagai seperti laman ‘blog’, ‘facebook’, ‘instagram’, ‘we chat’, ‘whatsApp’ dan sebagainya. Kecanggihan media massa pada hari ini dapat memudahkan usaha untuk melahirkan keluarga bahagia melalui kempen-kempen kesedaran yang efektif. Contoh kempen yang wajar dijalankan ialah kempen ‘Sayangi Keluarga Anda’, kempen ‘Keluarga Bahagia Teras Kemakmuran Negara’ dan kempen ‘Rumahku Syurgaku’. Kempen-kempen seumpama ini mestilah dijalankan secara berterusan atau berketiak ular dan bukannya hangat-hangat tahi ayam. Dengan adanya kempen-kempen ini, sudah pasti setiap anggota masyarakat mengetahui signifikan memiliki sebuah keluarga yang bahagia dan sakinah. Secara tidak langsung, mereka akan menjauhi daripada melakukan perkara-perkara yang boleh menjejaskan keharmonian keluarga mereka seperti pertengkaran antara ahli keluarga sebaliknya mereka akan berusaha untuk menanam benih-benih kasih sayang terhadap ahli keluarga mereka. Jadi, peranan media massa dengan menjalankan kempen kesedaran tentang peri pentingnya keluarga yang harmoni dapat mewujudkan keluarga yang bahagia dan marem.

            Sebagai konklusinya, dapat disimpulkan bahawa terdapat peranan pelbagai pihak selain ibu bapa dalam usaha melahirkan keluarga bahagia turut dianggap signifikan. Sesungguhnya mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia. Rasul saw bersabda, “Paling dekat denganku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya.”  Betapa tingginya darjat manusia yang sentiasa berbuat baik terhadap ahli keluarganya. Bertitik tolak dari sini, peranan ibu bapa untuk melahirkan keluarga bahagia memang tidak dapat dipertikaikan lagi. Namun begitu, usaha ini tidak harus dipertanggungjawabkan kepada satu pihak sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, semua pihak perlulah bersinergi umpama ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni untuk memastikan insitisusi kekeluargaan di negara kita tidak goyah walaupun diasak oleh pelbagai faktor. Diharapkan komitmen jitu daripada pelbagai pihak dapat menjamin keutuhan institusi kekeluargaan di negara kita demi menjamin kemakmuran negara. Dengan lahirnya keluarga yang bahagia, impian untuk mencapai Wawasan 2020 yang dicetuskan oleh Perdana Menteri keempat dapat direalisasikan dengan mudah. Biarlah matahari terus bersinar, biarlah pepeohon terus bergoyang dan biarlah imej negara terus terpelihara dengan sokongan dan dorongan daripada keluarga bahagia di negara kita. Maju keluarga, majulah negara.
Back to Top