-->

Type something and hit enter

Pages


On
CONTOH KARANGAN SPM

PERANAN IBU BAPA UNTUK MEMBENTUK KELUARGA BAHAGIA

Daripada keluarga, terpancarnya sinar kasih sayang di antara ahlinya
Daripada keluarga, lahir rasa menghormati dan saling memerlukan yang tidak terucapkan
Daripada keluarga, lahirnya insan yang bertanggungjawab terhadap dirinya serta insan lain yang memerlukan

                 Ayat-ayat di atas memaparkan signifikannya keluarga dalam kehidupan seseorang. Keluarga merupakan satu institusi yang amat penting dalam sesebuah masyarakat. “Baiti Jannati” atau “Rumahku Syurgaku” merupakan pepatah Arab yang sudah tidak asing lagi dalam kehidupan seharian kita. Rumah merupakan tempat terperciknya sinar kebahagiaan dalam kehidupan seseorang. Rumah tangga yang bahagia dan ceria akan melahirkan warga yang juga memiliki ciri-ciri kejiwaan yang sihat seperti gembira, yakin akan kebolehan diri dan sebagainya. Namun begitu, langit tidak selalunya cerah. Allahyarham seniman agung tanah air, Tan Sri P.Ramlee pernah mengatakan bahawa sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula suami isteri. Kehidupan berkeluarga tidak lari daripada pergolakan dan perselisihan. Senario ini terbukti apabila Mahkamah Syariah Kuala Lumpur melaporkan setiap 15 minit satu kes perceraian dilaporkan berlaku. Statistik ini menunjukkan betapa rapuhnya institusi kekeluargaan di negara kita pada hari ini sedangkan sebahagian daripada kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah dengan memiliki keluarga yang bahagia. Menurut mantan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato` Seri Shahrizat Abdul Jalil, keluarga bahagia merupakan asas kepada pembentukan masyarakat penyayang. Sebagai nakhoda dalam melayari bahtera perkahwinan, ibu bapa memikul obligasi yang berat untuk memastikan mahligai yang bina berada dalam kebahagiaan. Persoalannya, apakah peranan yang wajar dimainkan oleh ibu bapa untuk membentuk sebuah keluarga yang bahagia seperti yang diimpikan oleh semua pihak?

                 Peranan ibu bapa yang dominan ialah ibu bapa perlulah menjadi suri teladan kepada anak-anak. Peranan ibu bapa dalam usaha membentuk keluarga sakinah adalah amat penting. Ibu bapa perlu menjadi ‘role-model’ kepada anak-anak. Mereka harus sentiasa menunjukkan teladan yang baik untuk dicontohi oleh anak-anak. Sebagai contoh, seorang bapa perlu berinteraksi dengan sopan dan lemah-lembut dengan isteri dan anak-anaknya. Ibu dan bapa juga perlu saling menghormati antara satu sama lain. Kata orang, “ Yang tua dihormati, yang muda disayangi, barulah keluarga harmoni.” Apabila anak-anak melihat keharmonian kedua-dua orang tua mereka, mereka juga akan meneladani sikap baik itu apabila berinteraksi sesama mereka kerana bagaimana acuan begitulah kuihnya.  Jika contoh yang murni diperlihatkan oleh ibu bapa kepada anak-anak seperti sayang-menyayangi, toleransi serta prihatin akan membantu perkembangan jiwa anak-anak dan juga akan mengeratkan hubungan dalam kalangan anak. Jika hal ini terjadi, rumah akan menjadi syurga kepada anak-anak. Apabila kebahagiaan di rumah dapat dinikmati, maka anak-anak akan berusaha untuk membahagiakan ahli keluarganya dengan memelihara maruah ahli keluarga walau di mana sekalipun mereka berada kerana benih yang baik dicampak ke laut menjadi pulau. Tegasnya, tingkah laku yang baik yang dipaparkan oleh ibu bapa kepada anak-anak bakal dapat mewujudkan keluarga yang bahagia kerana ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi.

                 Selain itu, ibu bapa perlu melengkapkan diri mereka dengan pengetahuan keibubapaan bagi memahami tanggungjawab besar yang terletak di atas bahu mereka dalam memastikan kebahagiaan keluarga mereka. Pengetahuan keibubapaan ini penting dapat dijadikan panduan kepada ibu bapa atau pasangan yang ingin mendirikan mahligai perkahwinan mereka terutamanya kepada pasangan yang masih mentah. Sememangnya alam perkahwinan penuh dengan asam garamnya. Itulah hakikat yang tidak dapat disangkalkan lagi. Sebagai contoh, bakal-bakal ibu dan bapa boleh mengikuti kursus-kursus praperkahwinan serta kursus pascaperkahwinan yang dikendalikan oleh pejabat agama daerah masing-masing. Dalam kursus-kursus tersebut, suami isteri akan mendapat ilmu untuk melahirkan sebuah keluarga yang bahagia melalui ceramah dan bengkel-bengkel yang dikendalikan oleh penceramah-penceramah yang berwibawa. Selepas mendapat ilmu tersebut, perkara yang lebih penting adalah bagi mereka mempraktikkannya untuk melahirkan sebuah rumah tangga yang penuh dengan sinar kebahagiaan. Dengan ini, banyaklah keluarga yang mithali dapat dilahirkan dan masalah keganasan rumah tangga dapat dielakkan. Pendek kata, ilmu pengetahuan keibubapaan yang dimiliki oleh mampu merealisasikan impian untuk melahirkan keluarga yang bahagia.
 
                 Jika kita lihat dari dimensi yang lain, pemberian perhatian dan kasih sayang yang secukupnya dari ibu bapa kepada ahli keluarganya juga dapat mewujudkan keluarga yang bahagia. Kasih sayang merupakan kunci utama kebahagiaan. Namun begitu, pada era yang penuh dengan persaingan yang sengit ini, masyarakat bertambah sibuk dengan usaha mencari nafkah bagi meningkatkan taraf hidup masing-masing. Hal ini disebabkan kos sara hidup masa kini yang semakin meningkat. Statistik telah menunjukkan bahawa hampir 90 peratus ibu yang bekerja hanya bercakap dengan anak-anak mereka selama empat minit sehari. Hal ini merupakan perkara yang amat menyedihkan kerana anak-anak merupakan golongan yang memerlukan kasih sayang dan perhatian yang secukupnya daripada ibu bapa mereka. Oleh itu, demi membentuk keluarga yang bahagia, ibu bapa yang merupakan peneraju kehidupan dalam sesebuah keluarga perlu meluangkan masa yang berkualiti bersama-sama dengan anak-anak mereka. Atas kepentingan ini, kerajaan telah mengumumkan hari Sabtu dan Ahad sebagai cuti umum bagi kakitangan awam. Manakala pihak swasta pula, turut memberikan pelepasan kepada para pekerja mereka pada Sabtu pertama setiap bulan. Ibu dan bapa seharusnya merebut kesempatan ini untuk bermesra dengan keluarga sambil merehatkan minda setelah penat bekerja. Menghabiskan waktu cuti dengan berkelah atau berekreasi bersama keluarga akan memberikan peluang kepada ahli keluarga untuk berhibur di samping meluangkan masa untuk mengeratkan hubungan di antara mereka. Oleh itu, sekiranya masa yang berkualiti untuk bersama-sama dengan anak-anak, tidak mustahil kebahagiaan dalam sesebuah keluarga akan dapat diwujudkan.

     Dalam nada yang sama, pemberian didikan agama dan moral yang sempurna dalam kalangan generasi muda juga dapat menyumbang ke arah pembentukan sebuah keluarga yang bahagia. Hal ini disebabkan oleh pegangan agama serta nilai moral yang kuat dapat membentuk nilai sahsiah yang tinggi di kalangan generasi muda. Kualiti ini akan melahirkan ibu dan bapa yang bertanggungjawab serta dapat memikul tugas membangunkan rumah tangga dengan efektif. Golongan yang berpendidikan agama ini akan mampu mewujudkan persefahaman dan perasaan tolak ansur sesama suami isteri. Kesabaran kerana iman yang tebal juga akan mengelakkan keluarga daripada bercerai-berai disebabkan alasan yang kadang kala tidak munasabah. Sebagai ibu dan bapa, kita perlu memberikan didikan agama yang kukuh serta menerapkan nilai-nilai akhlak dan moral dalam kalangan anak-anak. Anak-anak yang sopan akan menghormati orang tua mereka serta saling bekerjasama sesama adik beradik. Benarlah kata  orang tua-tua, yang berat sama dipikul, yang ringan sama dijinjing dan hati gajah sama dilapah, hati kuman sama dicecah. Maka, jika semangat ini dapat diwujudkan dalam jiwa setiap ahli keluarga oleh ibu bapa, sudah pasti sebuah keluarga yang mantap dan harmoni akan dapat dilahirkan.

                 Akhir kalam, bayang kian jelas bahawa ibu bapa memainkan peranan yang signifikan dalam membentuk sebuah keluarga yang bahagia. Institusi keluarga boleh diibaratkan sebuah bangunan yang terdiri daripada berjuta-juta batu-bata. Tanpa keluarga bahagia, sudah pasti kemakmuran negara akan terjejas. Banyak anak muda akan terlibat dalam kebejatan sosial yang sekali gus akan menjahanamkan agenda pembangunan negara sama ada dari aspek politik, ekonomi dan sosial. Oleh itu, ibu bapa sebagai pemimpin atau khalifah keluarga mestilah memainkan peranan dengan sebaik-baiknya untuk memastikan keluarga yang dibina bahagia tanpa persengketaan. Namun begitu, kita tidak seharusnya meletakkan tanggungjawab berat ini atas pundak ibu bapa sahaja kerana bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi. Oleh itu, keluarga yang harmoni dan bahagia hanya akan dapat diwujudkan jika setiap individu yang menganggotainya telah melalui pelbagai proses pemupukan kejiwaan yang berkesan sejak kecil. Kesediaan setiap anggota untuk bersedia berkorban dan bertolak asur sesama mereka akan memudahkan proses pemupukan keluarga harmoni dan bahagia ini. Komitmen jitu daripada semua pihak ini sudah pasti dapat merealisasikan impian negaran untuk melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang dapat digapai dengan mudah. Biarlah pepohon terus bergoyang, biarlah matahari terus bersinar dan biarlah keluarga bahagia di negara kita dapat menyinari kemajuan dan kemakmuran negara sehingga diteladani oleh  mancanegara. Keluarga Asas Pembentukan Masyarakat. Maju keluarga, majulah masyarakat. Pincang keluarga, musnahlah masyarakat.
Back to Top