Contoh Karangan SPM Negara maju hendaklah membantu negara yang miskin dalam dunia moden hari ini. Bincangkan kenyataan ini.
Jawapan:
TEMA-negara maju hendaklah membantu negara miskin
KATA KUNCI-Mengapa/sebab
FORMAT-umum
Isi:
1. untuk mewujudkan kestabilan serantau
2. negara miskin yang sering mengalami masalah kebuluran
3. untuk mengawal kebanjiran pendatang asing tanpa izin
4. untuk mewujudkan keadilan dalam dunia
5. berpotensi untuk maju jika dibantu
Dalam era globalisasi ini, semakin banyak negara yang sedang melalui pembangunan yang pesat. Namun demikian, masih wujud negara yang miskin akibat daripada kekurangan sumber bahan mentah dan juga pemimpin yang berkaliber. Negara miskin ini harus dibantu oleh negara yang maju kerana negara maju lebih berkemampuan untuk memajukan negara yang serba kekurangan ini. Usaha-usaha yang drastik harus diambil untuk menukar nasib mereka dan membantu mereka untuk membangun dan seterusnya mencapai kemajuan yang pesat.
Pertama sekali, negara maju harus membantu negara miskin untuk mewujudkan kestabilan serantau dengan mengamalkan konsep ‘memakmurkan jiran’. Hal ini berlaku demikian kerana kemiskinan merupakan ibu kepada semua masalah. Kemelut yang berlaku di negara jiran mampu mencetuskan pertikaian antara negara kerana wujudnya pemimpin yang bersikap menangguk ikan di air yang keruh atau memasang lukah di pergentingan. Sebagai contohnya, pertikaian di selatan Thailand akibat masalah kemiskinan yang sudah berakar umbi turut menjejaskan ekonomi Malaysia. Hal ini jika dibiarkan akan memudaratkan negara kita pada masa akan datang.
Negara maju juga perlu membantu negara miskin yang sering mengalami masalah kebuluran. Apabila mereka mengalami masalah ini, mereka menghadapi masalah untuk mendapatkan makanan yang berzat. Oleh hal yang demikian, mereka akan menghadapi masalah kesihatan. Sebagai contohnya, negara Somalia di Afrika sudah bertahun-tahun dibelenggu kemiskinan. Jadi, negara maju seperti Amerika Syarikat dan Britain wajar membantu negara seperti ini supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang ceria dan seterusnya membangunkan negara mereka semula.
Selain itu, negara maju mesti membantu negara miskin untuk mengawal kebanjiran pendatang asing tanpa izin. Manusia perlu melakukan kerja untuk mengisi perut. Oleh itu, risiko rakyat negara miskin memasuki negara lain secara tidak sah amat tinggi. Sebagai contohnya, penduduk Haiti, Mexico telah mencerobohi Amerika Syarikat kerana dibelenggu kemiskinan di negara asal. Hal ini sudah tentu akan menyusahkan negara jiran atau negara yang menjadi destinasi mereka. Kebanyakan negara yang dibanjiri pendatang asing sering mengalami peningkatan masalah sosial seperti gejala jenayah dan juga mengancam keselamatan negara.
Di samping itu, bantuan harus diberikan kepada negara miskin untuk mewujudkan keadilan dalam dunia. Setiap manusia mempunyai hak untuk hidup sempurna di negara sendiri. Tanpa bantuan, negara miskin atau kerdil ini tidak akan dapat membangun dan membantu rakyatnya. Mereka perlu dibantu kerana berat mata memandang berat lagi bahu memikulnya. Usaha ini perlu dilakukan supaya wujud keseimbangan agar dapat mengekang pelbagai bencana atau ditindas oleh negara lain. Sebagai contohnya, negara kaya mestilah membantu untuk mendirikan negara Palestin yang haknya telah dirampas oleh Israil dan rakyatnya ditindas dan tanahnya dirampas oleh kerajaan Israil. Melalui cara ini, keadilan dapat ditegakkan.
Bukan itu sahaja, negara miskin juga berpotensi untuk maju jika dibantu oleh negara maju. Kelebihan negara miskin adalah dari segi bilangan penduduknya yang banyak. Selain itu, negara miskin mempunyai kawasan yang luas untuk menjalankan aktiviti ekonomi. Oleh hal yang demikian, jika kelebihan tersebut dieksploitasi dengan cekap dan betul, pelbagai aktiviti ekonomi dapat dijalankan. Sebagai contohnya, negara maju hendaklah melabur atau mendirikan kilang di negara miskin untuk mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyatnya. Melalui cara ini, negara maju dapat mengatasi masalah pengangguran di negara yang berkenaan.
Seterusnya, ekonomi global dapat diperkukuh dengan menghulurkan bantuan kepada negara miskin. Negara miskin dapat diberikan bantuan teknologi supaya menjadi tumpuan pelabur asing. Di samping itu, setiap negara harus bekerjasama untuk meningkatkan produktiviti masing-masing. Namun demikian, kemiskinan menjadi batu penghalang kepada kerjasama disebabkan pelbagai halangan dari segi budaya dan pemikiran. Sebagai contohnya, negara maju mestilah bekerjasama untuk menghulurkan bantuan dari masa ke masa terutamanya dalam bentuk bantuan modal dan teknologi supaya negara yang berkenaan dapat menjalankan pembangunan di negara mereka. Melalui usaha ini, negara yang berkenaan akan mampu berdiri sama tinggi, duduk sama rendah dengan negara yang lain.
Kesimpulannya, negara miskin memerlukan bantuan daripada semua aspek dan bantuan ini haruslah dihulurkan kepada mereka oleh negara yang maju. Negara maju tidak harus bersikap seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing dan perlu menunjukkan keprihatinan mereka terhadap pembangunan negara miskin. Kita sebagai manusia haruslah saling membantu ibarat aur dengan tebing. Kita tidak patut membiarkan kekurangan yang terdapat di sesebuah negara mereka begitu sahaja kerana hari ini hari mereka, hari kita akan tiba juga tetapi harus berusaha untuk membantunya. Tegasnya, dunia tidak akan menghadapi sebarang masalah jika semua negara maju di dunia mempunyai pemikiran yang bercirikan global.