-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan Bahasa Melayu PT3 : Sukan Lasak

Anda amat meminati sukan lasak seperti bebasikal dan mendaki gunung. Oleh itu, anda bercadang  untuk menulis rencana tentang kebaikan kebaikan menyertai aktiviti sukan lasak untuk dimuatkan dalam majalah sekolah.

Tulis rencana tersebut selengkapnya.

*********************

Sukan lasak merupakan kegiatan yang acap kali dipandang enteng oleh masyarakat pada era transisi modensasi masa kini. Faktor dominan yang menyumbang ke arah landasan pemikiran masyarakat adalah disebabkan kurang diberi pendedahan tentang aktiviti sukan lasak seperti berbasikal dan mendaki gunung. Persoalannya, apakah kebaikan menyertai aktiviti sukan lasak?

Kebaikan menyertai sukan lasak adalah menjadikan kita lebih tabah menghadapi segala rintangan dan onak duri dalam kehidupan. Misalnya, apabila kita mendaki gunung, kita perlulah tabah dan kuat semangat bagi mengatasi apa jua halangan. Aktiviti ini bukan sahaja memerlukan kekuatan fizikal malah mental juga memainkan peranan penting. Hal ini dapat dibuktikan apabila baru-baru ini, sekumpulan pendaki gunung tetap tabah meneruskan perjalanan meskipun berlaku gempa bumi di kawasan tersebut.  Jelaslah, sukan lasak ini mampu menyemai ketabahan  diri kita untuk menghadapi cabaran hidup.

Lanjutan itu, sukan lasak juga mampu menyihatkan badan serta mencerdaskan minda. Dengan adanya badan yang sihat, kita dapat menjalani kehidupan dengan keadaan yang lebih selesa dan kondusif. Sementelahan, modal insan yang seimbang dari aspek jasmani, emosi, rohani, intelek dan sosial dapat dilahirkan. Oleh yang demikian, masyarakat khususnya golongan remaja yang bakal menjadi tonggak negara pada masa hadapan perlu sedar betapa banyaknya kemaslahatan menyertai aktiviti sukan lasak.

Seterusnya, sukan lasak juga dapat menyediakan landasan ke arah kecemerlangan sukan. Selaras dengan isu yang dibangkitkan, apabila masyarakat sedar akan kebaikan menyertai aktiviti sukan ini, budaya bersukan dapat dipupuk. Contohnya, pelajar boleh mengembangkan bakat mereka dalam sukan lasak jika menyertai pertandingan anjuran sekolah seperti pertandingan berbasikal. Maka, jelaslah bahawa dengan menyertai sukan lasak, kecemerlangan dalam bidang sukan dapat ditingkatkan.

Pada realitinya, tidak dapat dinafikan bahawa sukan lasak mempunyai risiko untuk cedera. Namun, kecederaan tersebut boleh dielakkan jika kita mengamalkan adab-adab bersukan dengan betul. Oleh sebab itu, semua pihak perlu memainkan peranan penting bagi menukarkan pandangan sarwa masyarakat terhadap bidang sukan ini. Tamsilnya, ibu bapa boleh mendedahkan anak anak dengan sukan lasak seperti menonton pertandingan berbasikal peringkat olimpik. Bak kata peribahasa, 'melentur buluh biarlah dari rebungnya'. Selain itu, alma mater juga boleh menubuhkan kelab sukan lasak agar dapat mencungkil bakat para pelajar. Izharnya, kecenderungan ke arah sukan lasak dapat ditingkatkan jika semua lapisan masyakarat memainkan peranan.

Intihanya, sukan lasak perlu dibela nasibnya dengan mengadakan pelbagai aktiviti sukan lasak bagi memajukannya. Rakyat Malaysia sendiri khususnya pelu berganding bahu bagi melonjakkan taraf sukan lasak di negara kita hingga terkemuka di seantero dunia. Sesungguhnya, sukan lasak membawa seribu satu kemaslahatan yang menguntungkan buat semua. Oleh itu, sukan lasak patutlah diceburi oleh semua peringkat umur agar dapat menjulang nama negara ke persada dunia.
Back to Top