-->

Type something and hit enter

Pages


On

 
Karangan SPM

Keburukan Internet


Internet merupakan rangkaian perhubungan yang banyak digunakan dalam era globalisasi ini. Kebaikan internet banyak tidak terperi, namun internet juga mendatangkan keburukan kepada kita juga disalahgunakan. Oleh itu, para pengguna perlu sedar akan keburukan internet supaya tidak terjerumus ke dalam lembah yang mampu merugikan diri sendiri.

Pertama, tatkala pelajar asyik melayari laman web yang kurang berfaedah dan bermain permainan video, mereka membazirkan masa yang berharga dan turut mengabaikan pelajaran. Pelajar akan menghabiskan masa di depan komputer dan akhirnya gagal dalam pelajaran. Misalnya, remaja pada masa kini terlalu leka dalam dunia siber dan tidak sanggup membesar menjadi modal insan yang bermutu. Fenomena ini akan menjejaskan pembangunan negara kerana remaja yang bakal menentukan kesejahteraan serta kemakmuran negara kita pada masa hadapan. Imam Al-Bukhari pernah mengungkapkan "Jika anda ingin melihat masa hadapan negara, lihatlah golongan remaja yang ada sekarang."

Selain itu, internet menjadikan kita kurang bersabar. Hal ini disebabkan pengguna telah biasa memperoleh maklumat yang diingini dan menyiapkan sesuatu melalui internet dengan pantas. Namun, tatkala maklumat tidak dapat diproseskan dengan cepat, kita akan mudah mengalami kegusaran dan emosi kebosanan yang menggelegak. Lantas, kita akan menjadi insan yang kurang bersabar dalam pergaulan seharian dan tidak digemari orang kerana senantiasa menginginkan kepantasan proses dalam kehidupan.

Seterusnya, remaja yang kurang berfikiran matang senang dipengaruhi oleh unsur-unsur negatif yang dipaparkan dalam laman web internet. Misalnya, paparan budaya kuning, aksi-aksi keganasan dan lain-lain. Maka, remaja akan meniru aksi-aksi yang menjejaskan nilai murni yang telah dipupuk dalam sanubari mereka sejak bangku sekolah. Lagipun, ada juga yang terikut-ikut dengan budaya hegemoni Barat dalam hidup dan mengalami keruntuhan akhlak.

Keburukan lain termasuklah kesahihan maklumat yang boleh diragui. Bukan semua maklumat yang diperoleh dari internet adalah benar. Maklumat itu mungkin ditokok tambah dan sengaja menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pengguna internet. Bahkan terdapat khabar angin yang disebarkan melalui internet mampu menjejaskan imej orang lain. Lebih parah lagi seandainya maklumat tersebut mampu menghancurkan keharmonian sesebuah negara.

Akhir sekali, keselamatan kita diugut kerana "hacker" akan menggunakan internet untuk mendapatkan maklumat peribadi seseorang dan berbuat jenayah yang membahayakan keselamatan kita. Tambahan pula, kita mungkin terpedaya oleh tipu helah mereka kerana hanya mengenali mereka melalui gambar yang dipaparkan dalam internet. Selalunya kes-kes penipuan yang terpapar dalam dada akhbar sering dikaitkan dengan penipu yang menyalahgunakan internet.

Tuntasnya, internet merupakan media massa berteknologi yang mendatangkan keburukan sekiranya disalahgunakan. Ibu bapa harus berganding usaha dan menggembleng tenaga dengan pihak berkuasa untuk memantau anak-anak mereka yang sering melayari internet. Lantas, anak-anak mereka tidak mudah terjerumus ke dalam lembah kejahatan. Sekiranya internet dapat digunakan dengan sebaik-baiknya, pastilah masyarakat kita dapat berfikir secara saintifik dan berminda kelas pertama seperti mana yang diungkapkan oleh Imam Al-Bukhari "Ilmu itu ibarat benih yang tumbuh mekar jika dibajai dengan baik." Internet ibarat madu, maka janganlah tukarkan menjadi hempedu.


Back to Top