-->

Type something and hit enter

Pages


On
Ucapan:

Soalan:

Sebagai ketua murid kamu diminta menyampaikan ucapan sempena sambutan hari guru di sekolah kamu.
Tulis ucapan kamu itu selengkapnya.


Yang saya hormati Tuan Pengerusi Majlis, Yang Berusaha Tuan Guru Besar , guru-guru penolong kanan, guru-guru dan rakan sekalian. Terlebih dahulu saya mengucapkan terima kasih atas kepercayaan semua memberikan saya ruang dan peluang untuk berucap sempena sambutan Hari Guru peringkat sekolah kita.

Hadirin yang dimuliakan,

    Tanggal 16 Mei setiap tahun para guru di seluruh negara merayakan satu sambutan khas. Sambutan ini bertujuan menghargai dan memartabatkan jasa para guru. Hal ini demikian kerana guru adalah insan-insan yang telah diamanahkan menaburkan jasa dan bakti mereka untuk mendidik kita. Tanpa guru, siapalah kita pada hari ini.

    Jasa dan bakti para guru tidak terbalas oleh  kita. Mereka sanggup berkorban masa , tenaga dan kadangkala wang ringgit untuk mencurahkan ilmu kepada kita. Setiap pengorbanan yang mereka lakukan tidak mengharapkan  sebarang balasan. Para guru  akan berasa gembira apabila melihat kita mencapai kejayaan. Kejayaan yang kita peroleh adalah kebahagiaan kepada mereka.

Rakan-rakan yang dikasihi,

    Sebagai murid kita sepatutnya menanamkan rasa hormat kepada semua guru. Sikap merendah diri dan bercakap secara sopan- santun setiap kali berhadapan dengan guru-guru perlu sentiasa diamalkan. Amalan  sebegini amatlah digalakkan dalam agama dan budaya kita. Murid yang mengamalkan sikap sebegini juga akan mendapat keberkatan dan kejayaan dalam hidupnya.

    Selain itu, kita juga perlulah sentiasa menumpukan perhatian setiap kali guru mengajar dan memberi nasihat. Setiap patah perkataan yang diluahkan oleh guru-guru kita sudah tentu bertujuan untuk memberi ilmu dan panduan yang berguna kepada kita. Percayalah rakan-rakan, murid yang sentiasa menumpukan perhatian ketika guru mengajar akan mencapai kejayaan dalam pelajarannya.

     Pada hari yang mulia ini saya perhatikan ramai antara kita yang membawa pelbagai hadiah untuk diberikan kepada guru-guru sebagai tanda penghargaan terhadap jasa mereka. Hal ini sangat baik kita amalkan walaupun kita sedia mengetahui bahawa para guru tidak mengharapkan sebarang hadiah daripada kita. Tetapi sebagai murid kita juga ingin menghargai jasa dan sumbangan para guru kita.

    Sebagai mengakhiri ucapan  pada pagi ini,  terimalah serangkap pantun daripada saya:

    Panglima Megat orangnya perkasa,
    Menentang musuh dari seberang;
    Guru kita banyak berjasa,
    Mendidik kita dengan kasih sayang.

Sekian, terima kasih.
Back to Top