-->

Type something and hit enter

Pages


On
KEPENTINGAN DAN KESAN NEGATIF
TEKNOLOGI MAKLUMAT DAN KOMUNIKASI (TMK)


     Era globalisasi yang melanda dunia tidak akan lengkap tanpa kewujudan perkembangan teknologi maklumat. Tidak dinafikan bahawa teknologi maklumat membawa dimensi baru yang pelbagai pada corak kehidupan manusia. Penyebaran maklumat secara besar-besaran sudah tentu akan mempercepat usaha kita untuk mencapai status negara maju. Hal ini disebabkan teknologi ini akan membawa kita ke arah perkembangan yang berkaitan dengan pelbagai cara menerima dan menyampaikan maklumat secara elektronik.

     Dalam konteks pendidikan, peranannya bukan setakat mampu membantu memudahkan tugas-tugas pengurusan dan pentadbiran, malah berpotensi sebagai alat untuk memperluas persekitaran pengajaran dan pembelajaran. Budaya persekolahan seharusnya diubah daripada sesuatu yang berdasarkan memori kepada yang berpengetahuan, berpemikiran, kreatif dan penyayang dengan menggunakan teknologi terkini. Berdasarkan alasan inilah pihak kerajaan melalui Kementerian Pelajaran mewujudkan Sekolah Bestari yang sekali gus bertindak mengisi agenda perancangan dan pelaksanaan Koridor Raya Multimedia. Dengan penggunaan teknologi maklumat, pelajar lebih mahir membuat kajian dan lebih berfikiran secara kritikal.

     Selain itu, kemajuan teknologi maklumat membolehkan pakar-pakar perubatan berinteraksi tentang teknik-teknik pembedahan dan diagnosis yang terkini. Dalam kehidupan seharian pula, pembayaran pelbagai bil dapat dilakukan dengan mudah dan cepat. Jadi, kesesakan lalu lintas dan tekanan kerja dapat dielakkan dengan mudah. Di samping itu, pendidikan jarak jauh juga dapat dijalankan dengan adanya kemudahan teknologi maklumat. Melalui konsep e-pembelajaran yang diperkenalkan ini, guru dan murid tidak perlu lagi melakukan interaksi empat mata, sebaliknya proses berinteraksi berupaya dilakukan pada jarak yang tiada sempadan dan kekangan, iaitu hanya perlu menggunakan komputer dan internet sebagai medium. Dalam sesebuah organisasi, teknologi ini dapat berfungsi sebagai alat latihan yang berkesan dan efisien. Latihan secara teknik audio visual, penggunaan perisian komputer, dan arahan kerja secara elektronik merupakan sebahagian daripada penggunaan teknologi komunikasi yang dapat dipraktikkan berulang kali.

     Walau bagaimanapun, teknologi yang dibangunkan bersama-sama dengan arus kemodenan ini turut digunakan untuk tujuan yang tidak wajar. Sekalipun dari sudut lain, teknologi maklumat membawa kebaikan dalam hidup manusia, namun kewujudannya dieksploitasikan pula oleh pihak yang tidak bertanggungjawab dengan begitu rakus untuk pelbagai matlamat. Menerusinya, teknologi canggih internet ini telah digunakan untuk melakukan pelbagai jenayah tradisional dalam bentuk moden seperti memeras ugut, menipu, dan menyebarkan fitnah. Perkembangannya yang begitu pantas juga mungkin akan mewujudkan sindrom ketagihan dalam kalangan pengguna internet. Virus komputer yang begitu dibimbangi sejak belakangan ini juga disebarkan melalui internet untuk menghapuskan data-data penting dan mengakibatkan kerosakan komputer. Situasi ini akhirnya akan mengakibatkan operasi sesebuah syarikat atau agensi kerajaan lumpuh kerana sistem komputer tidak berfungsi dan data-data tidak dapat diakses.
(394 patah perkataan)

Back to Top