-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan SPM (Dimensi Keluarga)

Ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat bersukan dalam diri  anak-anak. Huraikan pendapat anda.

            Bidang sukan merupakan salah satu bidang yang penting di negara kita selain bidang pelancongan dan perindustrian. Hal ini demikian kerana, bidang sukan mendatangkan pelbagai faedah kepada masyarakat dan negara. Selain melahirkan masyarakat yang cergas dan sihat,  bidang sukan juga mampu menjana ekonomi yang baik kepada negara dan memberi pulangan yang lumayan kepada ahli-ahli sukan.  Dato’ Lee Chong Wei yang  merupakan pemenang pingat perak  sukan Olimpik dua kali berturut-turut pada tahun 2008 dan 2012 dan Dato’ Nicol David, Ratu Squasy negara yang sudah beberapa kali dinobatkan sebagai Juara Dunia adalah antara ahli sukan yang memperoleh pendapatan yang lumayan hasil daripada bidang sukan yang diceburi. Oleh itu, untuk melahirkan lebih ramai generasi muda yang berminat dalam bidang sukan, ibu bapa hendaklah memberi galakan dan motivasi kepada anak-anak agar menceburkan diri dalam bidang sukan.  Berdasarkan kajian,  80 hingga 85 peratus ibu bapa mampu mempengaruhi anak-anak untuk bersukan. Sekiranya ibu bapa mampu memberikan sokongan dan galakan, sudah pasti matlamat untuk memajukan bidang sukan negara akan tercapai dan Malaysia mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju yang lain dalam bidang sukan,  Persoalannya, apakah peranan ibu bapa dalam memupuk minat bersukan dalam diri anak-anak?

            Usaha pertama yang perlu dilakukan oleh setiap ibu bapa bagi memupuk minat bersukan dalam diri anak-anak ialah menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak. Ibu bapa haruslah menunjukkan semangat kesukanan agar anak-anak juga memiliki semangat yang sama dalam diri mereka. Untuk memupuk semangat bersukan, ibu bapa boleh bermula dengan melakukan senaman atau riadah bersama anak-anak. Ibu bapa boleh berjoging, bermain badminton dan melakukan aktiviti kecergasan di padang terutama pada waktu hujung minggu.  Secara tidak langsung, minat anak-anak terhadap sukan akan bercambah. Apabila anak-anak membesar, minat mereka terhadap sukan akan berkembang. Sebagai contohnya, anak-anak yang telah didedahkan dengan sukan bola sepak dan badminton oleh ibu bapa sejak kecil, sudah pasti mereka akan berminat menceburkan diri dalam sukan badminton.   Jelasnya, ibu bapa harus menjadi suri teladan yang terbaik kepada anak-anak kerana anak-anak akan menjadikan aktiviti sukan sebagai satu amalan ke mana- mana sahaja mereka berada, bak kata pepatah, benih yang baik jatuh ke laut menjadi pulau, terlontar ke udara menjadi kejora, dicampak ke bumi menjadi penawar.

Selain itu, langkah lain yang boleh dilakukan oleh  ibu bapa dalam menggalakkan anak-anak bersukan ialah ibu bapa perlu menyediakan peralatan sukan yang lengkap kepada anak-anak yang boleh mendorong minat anak-anak untuk bersukan. Peralatan-peralatan sukan yang mudah didapati haruslah disediakan seperti raket badminton, bola sepak, kasut bola dan alat-alat keselamatan untuk bersukan. Sebagai contohnya, ibu bapa yang sanggup berkorban dengan memperuntukkan sejumlah besar wang bagi menyediakan gelanggang sukan pelbagai guna seperti gelanggang badminton,  sepak takraw, bola keranjang dan tennis sudah pasti dapat menyuburkan minat anak-anak untuk bersukan dengan menggunakan kemudahan yang tersedia di depan mata mereka. Kasih sayang yang dicurahkan bagai menatang minyak yang penuh  oleh ibu bapa kepada anak-anak sudah pasti mampu membuka mata anak-anak untuk menghargai segala usaha yang dilakukan oleh ibu bapa dan seterusnya  menimbulkan minat yang mendalam untuk bersukan.  Sejarah sukan badminton tanah air  pasti tidak pernah melupakan pengorbanan Dato’ Mohd Siddik  Kamar dalam usaha membantu negara melahirkan jaguh badminton terkenal di persada antarabangsa seperti Misbun Siddik, Razif Siddik, Jailani Siddik, Rashid Shiddik dan Rahman Shiddik. Pengorbanan beliau dengan membina gelanggang badminton di halaman rumahnya sendiri akhirnya berbaloi kerana semua anaknya berjaya menjadi pemain badminton yang terkenal. Tegasnya, usaha ibu bapa menyediakan peralatan sukan yang lengkap dapat melahirkan generasi yang minat untuk bersukan.

Di samping itu, untuk memupuk semangat bersukan dalam diri anak-anak, ibu bapa boleh  membawa anak-anak ke stadium dan tempat-tempat pertandingan yang menganjurkan pelbagai jenis kejohanan sukan sama ada peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa.  Hal ini dapat menimbulkan rasa minat untuk bersukan dalam diri anak-anak  kerana tak kenal maka tak cinta. Anak-anak terbiasa dengan suasana meriah dan penuh dengan semangat kesukanan apabila berdiri bersama lautan penyokong sukan daripada pelbagai lapisan masyarakat dan negara serantau. Anak-anak yang menyaksikan kejohanan sukan secara langsung di stadium  akan bersama-sama bertepuk tangan memberikan sokongan kepada atlet-atlet yang bertanding. Mereka turut bersemangat  apabila berdiri menyanyikan lagu Negaraku bersama-sama  pemain-pemain memenangi kejohanan  sukan yang disaksikan.   Sebagai contohnya, apabila anak-anak sering menyaksikan sukan  bola sepak di stadium sama ada di peringkat negeri, kebangsaan atau antarabangsa bersama-sama ibu bapa,  mereka akan jatuh cinta dan berminat untuk menceburkan diri dalam  sukan tersebut dan berusaha mencuba menjadi yang pemain yang terbaik dalam sukan itu. Jelasnya, usaha ibu bapa membawa anak-anak ke stadium-stadium dan tempat-tempat kejohanan sukan berlangsung, merupakan salah satu langkah yang berkesan bagi melahirkan anak-anak untuk bersukan dengan lebih cemerlang dan menjadi penggiat sukan dan seterusnya melahirkan anak-anak yang cinta dan minat untuk bersukan.

Akhir sekali,  ibu bapa juga hendaklah memupuk minat bersukan dengan membelikan majalah sukan yang diminati oleh anak-anak mereka. Hal ini demikian kerana anak-anak akan lebih berminat untuk menceburkan diri dalam sukan dengan lebih serius. Mereka akan mendapat maklumat yang terkini tentang perkembangan sukan melalui majalah sukan tersebut. Selain itu, ibu bapa juga boleh membimbing anak-anak mereka melayari internet untuk mendapat bahan tentang jenis sukan dan cara-cara atau teknik-teknik terbaik untuk permainan yang diminati.  Internet merupakan sumber ilmu yang boleh digunakan oleh semua lapisan masyarakat tidak kira tua mahupun muda. Ibu bapa perlu mendidik anak-anak melayari internet untuk mencari bahan tentang  cara permainan sukan yang terbaik dan terkenal supaya boleh menjadi contoh dan diikuti apabila bersukan. Sudah terang lagikan bersuluh, hampir semua golongan remaja terpengaruh dengan internet. Oleh hal yang demikian, ibu bapa bolehlah menjadikan internet sebagai salah satu medium utama dalam usaha memupuk minat bersukan dalam diri anak-anak. Hal ini dapat menggalakkan anak-anak bersukan supaya boleh melahirkan anak-anak yang sihat. Ilmu yang diperoleh daripada bahan-bahan internet boleh dijadikan panduan untuk bersukan dengan lebih baik dan bermutu tinggi. Hal ini disebabkan mesej-mesej yang terkandung dalam internet. Justeru, ibu bapa memainkan peranan penting dalam memupuk minat bersukan dengan membimbing anak-anak melayari internet.

Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk melahirkan generasi yang minat bersukan, ibu bapalah yang memainkan peranan penting menggalakkan anak-anak bersukan. Asas pendidikan bermula dari rumah, sudah pasti ibu bapa memainkan peranan penting kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Profesor Diraja Ungku Aziz pernah mengatakan bahawa rumah merupakan universiti pertama bagi anak-anak dan ibu bapa pula merupakan profesor pertama bagi mereka. Jika anak-anak sudah jatuh cinta dengan aktiviti bersukan, kesihatan anak-anak sudah pasti terjamin. Imam Al-Ghazali pernah menyatakan bahawa, ciri yang membezakan anatara manusia dengan haiwan ialah ilmu, maka manusia menjadi mulia kerana ilmunya dan bukan kerana kekuatan dirinya.tegasnya, ibu bapa memainkan peranan yang penting dalam memupuk minat sukan dalam kalangan anak-anak.
Back to Top