-->

Type something and hit enter

Pages


On
 Bahagian A
[30 markah]

(Masa dicadangkan : 45 minit)




Gambar di bawah menunjukkan iklan pelancongan di Malasyia. Huraikan pendapat anda tentang kepentingan sektor industri pelancongan kepada rakysat dan negara . Panjangya huraian hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.

Apabila kerajaan mula mengisytiharkan Tahun Melawat Malaysia pada tahun 1990, usaha ini menunjukkan bahawa kerajaan semakin memberikan perhatian yang serius kepada industri pelancongan kerana langkah ini berpotensi memajukan ekonomi negara. Setiap tahun bilangan pelancong yang datang ke Malaysia semakin meningkat. Malaysia merupakan sebuah negara yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Ramai pelancong sama ada dari luar ataupun dalam memilih negara kita sebagai destinasi pelancongan. Kedatangan pelancong ke negara membawa seribu rahmat dapat meningkatkan ekonomi negara dari segi pengaliran wang asing masuk ke negara kita. Pelancong yang datang dari negara luar harus menukar mata wang negara mereka kepada mata wang Ringgit Malaysia sebelum boleh berbelanja di sini Persoalannya, apakah kepentingan sektor pelancongan kepada rakyat dan negara kita?

            Antara kepentingan sektor pelancongan ialah kita dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di Malaysia kepada para pelancong. Malaysia mempunyai banyak tempat bersejarah yang boleh dilawati seperti Bandar Bersejarah yang terletak di negeri Melaka. Tempat – tempat bersejarah ini dapat mengembangkan ilmu pengetahuan seseorang. Di negara kita pelancong juga boleh bermain sambil melawat tempat – tempat  bersejarah ini kerana kita mengetahui bahawa sekiranya cuma melihat barangan bersejarah amat membosan bagi sesetengah pelancong. Jadi, bagi memanfaatkan pelbagai pihak, selain barangan bersejarah persembahan turut diadakan seperti di Kota A – Famosa bertempat di Melaka Negeri Bersejarah. Di Kota A – Famosa pelancong bukan sahaja dapat menambahkan ilmu sejarah tetapi juga beriadah pada masa yang sama kerana tempat beriadah seperti Bandar Cowboy, Dunia Binatang Safari dan Dunia Air turut disediakan. Tempat – tempat ini sesuai untuk semua golongan masyarakat sama ada kanak – kanak ataupun dewasa. Sekiranya sektor pelancongan menambat hati dan kedatangan para pelancong secara langsung negara mendapat sumber pendapatan tambahan tanpa bergantung kepada sektor perindustrian, pertanian, dan pembalakan sahaja.  Jelasnya, sektor pelancongan dapat mempromosikan tempat pelancongan yang menarik di negara kita serta meningkatkan ekonomi negara.

            Selain itu, sektor pelancongan dapat mempromosikan makanan setempat di negara kita. Malaysia mempunyai beraneka jenis makanan yang digemari oleh pelancong. Negara kita yang mempunyai pelbagai kaum yang berlainan dan masakan yang berbeza seperti masakan Melayu, masakan Cina dan masakan India. Negara – negara Barat seperti England cuma mempunyai satu jenis kaedah masakan seperti kentang goreng, stik dan salad. Negara Itali pula mempunyai masakan seperti spageti, pizza dan telur dadar. Negara kita tidak seperti negara lain yang cuma mempunyai satu kaedah masakan sahaja. Masyarakat berbilang kaum di Malaysia mempunyai kepelbagaian makanan berdasarkan kaum seperti yu sang, bau dan char kuey teow daripada kaum Cina, rendang, ketupat dan nasi lemak daripada kaum Melayu, capati, tosai dan idli daripada kaum India serta tidak kurangnya masakan barat dan masakan enak daripada kaum yang berlainan. Masakan yang tidak pernah dirasai oleh pelancong asing ini akan memberikan mereka kelainan rasa makanan yang mustahil dijumpai di negara asal mereka dan ini akan menarik minat mereka untuk mengunjungi semula Malaysia selepas lawatan pertama mereka. Sekiranya, masyarakat Malaysia cakna dengan kepelbagaian masakan dan makanan tempatan serta mengambil kesempatan dengan kelebihan berkenaan dengan menyajikan menu berkenaan di premis mereka untuk dinikmati pelancong asing, sama ada di gerai-gerai makanan, restoran, dan hotel sudah pasti mereka dapat meningkatkan pendapatan sambil memperkasa sektor pelancongan. Tegasnya, makanan setempat dapat dipromosikan melalui sektor pelancongan untuk menggamit kehadiran pelancong asing.

            Di samping itu, sektor pelancongan dapat memperkenalkan dan mengembangkan industri kraf tangan di Malaysia. Barangan kraf tangan buatan rakyat tempatan bukan sahaja bermutu bahkan harga yang ditawarkan amat berpatutan. Barangan kraf tangan buatan rakyat Malaysia yang diperbuat daripada kain batik, seramik, kayu, perak, kaca dan kulit amat cantik dari segi reka bentuk dan sesuai dijadikan cenderahati kepada pelancong. Pelancong pasti membeli – belah barangan kraf tangan buatan Malaysia seperti batik, kain songket, wau dan lain – lain sebagai buah tangan atau ole-ole buat keluarga atau rakan mereka. Kedatangan pelancong asing ke Malaysia bukan sahaja memajukan industri kraf tangan ke luar negara kita bahkan menjadi periuk nasi kepada pengusaha kraf tangan tempatan.  Sekiranya, promosi yang hebat dilakukan oleh Kementerian Pelancongan Malaysia di samping  promosi agen-agen pelancongan yang terdapat di negara kita, sudah pasti bukan sahaja pengusaha pelancongan sahaja yang menerima kesan dari segi pertambahan pendapatan mereka tetapi  juga penduduk tempatan yang menjalankan perusahaan kecil dan kraftangan juga menerima tempiasnya. Jelasnya, industri kraf tangan dapat dimajukan melalui sektor pelancongan.

            Akhir sekali, sektor pelancongan dapat memperkenalkan budaya Malaysia yang unik lagi istimewa kepada dunia luar. Hal ini demikian kerana Malaysia mempunyai penduduk yang berbilang kaum dan etnik seperti Melayu, Cina, India, Kadazan, Murut, Iban dan lain-lain. Kaum-kaum di negara kita yang mempunyai adat, budaya dan cara pemakanan yang berbeza dan istimewa mampu menarik minat pelancong asing. Sektor pelancongan dapat mempromosikan warisan budaya yang tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas ke serata dunia. Pelancong yang datang ke suatu destinasi pelancongan boleh dihidangkan dengan persembahan kesenian tradisional misalnya wayang kulit, makyung, dikir barat, ronggeng dan kuda kepang. Mereka juga diberi peluang untuk mencuba permainan tradisional seperti sepak raga, galah panjang, congkak, batu seremban dan lain-lain. Pakaian tradisional seperti baju kurung yang diperbuat daripada kain batik dan sari yang diperbuat daripada kain sutera boleh cuba dipakai oleh pelancong asing. Keseronokan pengalaman melancong di Malaysia serta keunikan cenderamata yang dibawa pulang ke negara asal pelancong akan menjadi memori indah yang akan menggamit mereka untuk datang semula ke negara kita. Tegasnya, keunikan budaya masyarakat Malaysia yang berjaya dipromosi melalui sektor pelancongan sebenarnya memberi imej yang sangat baik kepada negara Malaysia.

            Kesimpulannya, sektor pelancongan merupakan salah satu sumber ekonomi yang amat penting dalam negara kita. Oleh itu, kita harus menggunakan kelebihan yang ada pada negara kita dengan sepenuhnya supaya negara kita dapat menjadi pusat pelancongan yang terkenal di dunia dan seterusnya membangunkan ekonomi negara kita. Walaupun masyararakat kita terdiri daripada berbilang kaum, kita harus bersatu padu demi menjaga kepentingan tanah air tecinta kita. Tegasnya, kita perlulah bersatu padu bak kata pepatah, bulat air kerana pembentung, bulat manusia kerana muafakat.
Back to Top