-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan SPM

Kepentingan Amalan Membaca

Masyarakat Melayu sinonim dengan pelbagai jenis puisi tradisional bagi melahirkan perasaan  yang  telah terpahat dalam atma dan sukma mereka. Puisi di atas menggambarkan amalan membaca sangat penting dalam kehidupan seharian kita bagi melahirkan generasi yang berintelektual dalam mencorak masa hadapan. Ketahuilah kita bahawa masa depan menjanjikan cabaran yang sarat dengan muatan cabaran reformasi. Oleh sebab itu,  menerusi amalan membaca juga dapat mencetus kesegaran minda agar tidak wujud modal insan yang dibelenggu dengan cara berfikir yang sempit. Walaupun dunia sudah melepasi pelbagai zaman dalam beberapa dekad, namun budaya membaca tetap mendominasi kemajuan dan keagungan sesebuah bangsa. Sejarah telah mencatatkan bahawa bangsa yang berjaya antara lain dicirikan oleh masyarakatnya yang memiliki budaya literasi. Begitu juga sebaliknya. Sesuatu bangsa yang mempunyai kekuasaan atau kejayaan dalam sesuatu bidang tidak boleh mempertahankan miliknya tanpa budaya ilmu yang mantap. Rakyat Malaysia yang tidak mengetahui kepentingan amalan   membaca perlulah membudayakan amalan yang mulia ini yang mengandungi seribu satu kemuliaan yang tidak dapat dipertikaikan lagi. Persoalannya, apakah kepentingan amalan membaca?

Sesungguhnya amalan membaca mampu menambah pengetahuan kita.  Amalan membaca dapat membantu memberikan nilai tambah dalam diri seseorang sebagai persediaan untuk bersaing dalam era globalisasi ini.  “Setiap  seseorang daripada kita mesti memberikan nilai tambah kepada diri masing-masing,” demikian mantan perdana menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi pernah menukil dalam salah satu ucapan beliau sekitar pertengahan tahun 2005 yang lalu. Ungkapan keramat itu, membawa maksud bahawa nilai seseorang anak pascamerdeka ini akan bertambah andai individu itu berusaha melakukan  anjakan paradigma untuk dirinya daripada terus berada di takuk lama.  Jika ditelusuri, ungkapan ini boleh direalisasikan dengan amalan membaca yang pastinya dapat menyumbangkan idea bernas dalam diri pembaca.  Selain melalui proses pembelajaran secara formal di sekolah, nilai diri akan dapat ditambah dengan banyaknya menerusi amalan membaca bahan-bahan ilmiah seperti Majalah Dewan Bahasa, Dewan Siswa, Kosmik dan sebagainya. Cerdik pandai sering menganggap amalan membaca sebagai jambatan ilmu. Persepsi ini terjelma lantaran amalan membaca yang dapat menghubungkan antara manusia dengan dunia ilmu.  Tegasnya, amalan  membaca sememangnya dapat  menambah ilmu pengetahuan dan menjadi  persiapan untuk kesiagaan  kita bersaing dengan cabaran kemajuan yang terbentang di jagatraya ini.

Seterusnya, mari kita fokuskan lensa pemikiran kita kepada manfaat seterusnya iaitu membaca dapat meningkatkan kepakaran. Kepakaran yang dimaksudkan ialah tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi dalam sesuatu bidang. Membaca dapat mewujudkan koridor kemajuan ekonomi demi meningkatkan tenaga pakar yang berpengetahuan. Sebagaimana yang diketahui masyarakat yang suka membaca merupakan masyarakat yang maju dan kompetetif sehingga dapat mencetuskan gegaran minda sekaligus dapat menjulang negara kita ke puncak jagat. Buktinya kita melihat betapa negara pengeluar minyak yang kaya-raya terpaksa bergantung hampir dalam semua aspek penting kehidupan negaranya kepada negara lain yang lebih maju dari segi keilmuan dan kepakaran. Oleh sebab itu, amalan membaca dapat membentuk masyarakat madani yang berkemahiran dan berkepakaran tinggi. Apabila negara kita sudah mencapai tahap yang maksimum dalam membentuk  individu yang mempunyai kepakaran yang tinggi dalam satu-satu bidang, kita tidak perlu bergantung kepada kepakaran luar lagi. Jelaslah bahawa amalan membaca dapat membekalkan tenaga pakar atau mahir kepada sesebuah negara itu.

Jika dilihat dari aspek yang lain,  membaca merupakan tiang sandaran konkrit untuk berjaya dalam akademik. Namun begitu, cahaya amalan membaca semakin hari semakin malap dalam naluri pelajar. Kontradiksinya, para pelajar tidak mempunyai kesedaran bahawa membaca itu penting dalam kehidupan sedangkan amalan membaca dapat meningkatkan ilmu pengetahuan dan mampu meluaskan horizon pemikiran para pelajar.  Oleh sebab itu, para pelajar perlu menyemai bibit-bibit minat membaca dalam diri kerana membaca merupakan wasilah utama kejayaan seseorang pelajar. Sebagi contoh, adik Nik Nor Madihah telah berjaya memperoleh 20A dalam SPM dengan membudayakan amalan membaca dalam diari kehidupannya sebagai seorang pelajar. Meyedari kepentingan membaca dalam kalangan pelajar, pelbagai usaha telah dilakukan oleh pihak sekolah bagi memperkasakan minat membaca dalam kalangan pelajar seperti mengadakan minggu membaca dan program NILAM. Melalui program NILAM ini jugalah lahirlah tokoh-tokoh pelajar yang berjaya. Selain berjaya dalam akademik, para pelajar juga boleh mengaplikasikan ilmu yang diperolehi melalui membaca dalam kehidupan seharian. Ringkasnya, jelaslah bahawa amalan membaca dapat memberikan pelbagai kemaslahatan kepada para pelajar untuk berjaya. Sesungguhnya, menuntut ilmu tanpa membaca ibarat basikal tanpa roda.

Dengan membudayakan amalan membaca juga, rakyat yang berpengetahuan luas dalam sesebuah negara mampu mencetuskan ideologi dan buah fikiran yang bernas dalam memacu proses pembangunan negara dapat dilahirkan. Hal ini dikatakan dmeikian kerana membaca merupakan acuan untuk membentuk sesebuah tamadun yang gemilang seiring dengan negara-negara yang telah mengecapi modenisasi mapan seperti Jepun. Di Jepun, atas dasar aplikasi dan pengetahuan sains dan inovasi mereka mampu mencipta teknologi yang tidak terdapat di negara-negara lain seperti mesin layan diri yang dapat memenuhi keperluan harian iaitu mesin menjual ketam hidup, telur ayam segar, sayur-sayuran segar dan baju hujan dan barang kemas. Kelebihan mesin layan diri ini dapat beroperasi sepanjang masa iaitu 24 jam sehari. Keadaan ini membolehkan para peniaga dan usahawan tidak perlu bersusah-payah menjaga premis perniagaan mereka kerana mesin layan diri ini juga dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan yang sempurna selain mereka dapat memperuntukkan masa mereka dengan aktiviti yang dapat meningkatkan kemajuan negara mereka. Jelaslah bahawa amalan merupakan ramuan yang efektif untuk membentuk masyarakat yang berproduktiviti tinggi dan seterusnya dapat merealisasikan aspirasi negara untuk bertambah maju.

Secara konklusinya, sudah terang lagi bersuluh bahawa amalan membaca sangat mulia kerana mendatangkan pelbagai kebaikan atau faedah kepada pembaca, keluarga, bangsa dan negaranya. Amalan membaca merupakan permulaan positif sebagai langkah pertama dalam penjanaan dan penyebaran ilmu. Hal ini terbukti berdasarkan peristiwa penuh bermakna dan agung dalam sejarah Islam melalui surah al-‘Alaq iaitu ketika Nabi Muhammad mendapat wahyu yang pertama di Gua Hira’ melalui perantaraan malaikat Jibril yang menyuruhnya membaca. Jelaslah membaca merupakan kunci ilmu yang memberikan impak positif dalam mempengaruhi perkembangan minda masyarakat. Walaupun pada hari ini pelbagai prakarsa telah dilaksanakan untuk memupuk amalan membaca namun, usaha tersebut diumpamakan hujan jatuh ke pasir. Ibu bapa mempunyai tanggungjawab yang besar dalam memupuk budaya membaca sejak kecil lagi kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Pihak kerajaan juga perlu menyediakan pelbagai kemudahan seperti perpustakaan supaya kita dapat membaca dengan selesa. Kempen-kempen membaca juga perlu dipergiat. Jika usaha-usaha memupuk budaya membaca giat dijalankan, negara Malaysia pasti akan menjadi negara yang maju. Oleh itu, semua orang wajiblah membaca dan berusaha meningkatkan budaya membaca agar masyarakat yang celik ilmu dapat dilahirkan. Ingatlah bahawa ‘bangsa membaca, bangsa maju’.
Back to Top