-->

Type something and hit enter

Pages


On
CONTOH CONTOH KARANGAN KESAN-KESAN PENCEMARAN ALAM SEKITAR

Pencemaran alam sekitar yang berlaku melanda pada masa kini telah mendatangkan beberapa keburukan kepada masyarakat dan negara. Banyak masalah yang telah timbul akibat daripada pencemaran alam sekitar.

MENDATANGKAN BANYAK PENYAKIT
Pencemaran alam sekitar yang berlaku boleh mendatangkan  banyak penyakit kepada manusia. Hal ini kerana alam sekitar yang kotor akan menyebabkan pelbagai jenis serangga yang membawa penyakit  seperti nyamuk aedes dapat membiak dengan lebih banyak. Umum mengetahui bahawa gigitan nyamuk aedes ini  boleh menyebabkan penyakit demam denggi. Manakala, udara yang tercemar pula akan menyebabkan masalah pernafasan seperti penyakit asma.

BOLEH MENYEBABKAN BENCANA ALAM
Selain itu, pencemaran alam sekitar juga akan menyebabkan bencana alam. Sebagal contoh, pencemaran daratan boleh menyebabkan banjir lumpur apabila hujan turun dengan lebat. Bencana alam seperti tanah runtuh boleh berlaku apabila kawasan tanah tinggi telah digondolkan untuk membina kawasan perumahan atau kawasan perindustrian. Selain itu, kejadian banjir kilat juga berpunca daripada kegiatan pembuangan sampah ke dalam sungai hingga menyebabkan pengaliran air sungai ke laut terhalang oleh sampah sarap tersebut.


MENYEBABKAN KESEIMBANGAN ALAM SEKITAR TERJEJAS
Pencemaran alam sekitar juga boleh menyebabkan keseimbangan alam sekitar terjejas. Apabila banyak hutan ditebang, kandungan gas oksigen akan berkurangan manakala kandungan karbon dioksida pula meningkat. Pencemaran udara juga akan menyebabkan berlakunya hujan asid. Selain itu menurut kajian, cuaca dunia yang tidak menentu adalah disebabkan oleh kadar pencemaran alam yang semakin bertambah.

MENJEJASKAN SEKTOR PERTANIAN NEGARA
Di samping itu, pencemaran alam sekitar telah menjejaskan sektor pertanian negara. Hasil pertanian didapati semakin menurun dan kualitinya pula menjadi kurang baik. Petani terpaksa menggunakan baja yang banyak untuk meningkatkan hasil dan hal ini boleh menjejaskan kesihatan manusia. Pembiakan hidupan laut seperti ikan dan udang juga semakin berkurangan akibat pencemaran air sungai dan laut.                                                        
SEKTOR PERLANCONGAN TERGANGGU
Pencemaran alam sekitar yang berlaku juga boleh menyebabkan sektor pelancongan negara terganggu. Hal ini kerana banyak tempat menarik telah tercemar dengan sampah sarap. Pantai-pantai yang cantik juga telah tercemar dengan minyak hitam daripada kapal¬kapal laut. Oleh itu, para pelancong tidak mahu datang ke kawasan pelancongan ini dan kerajaan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak untuk membersihkan tempat-tempat pelancongan ini.
Back to Top