-->

Type something and hit enter

Pages


On
 CONTOH KEPENTINGAN RIADAH ATAU BERSUKAN
          BAHAGIAN A   
                              ( 30 MARKAH)                        
 (Masa dicadangkan : 45 minit)

Lihat grafik di bawah dengan teliti. Huraikan pendapat anda tentang faedah-faedah bersukan kepada masyarakat. Panjang huraian  hendaklah antara 200 hingga 250 patah perkataan.



  BERFAEDAH KEPADA KESIHATAN

MENGISI MASA LAPANG

SEBAGAI KERJAYA

MEGERATKAN HUBUNGAN


Sukan bukanlah semata-mata aktiviti fizikal yang dilakukan untuk mengisi masa lapang atau sebagai riadah kecil kerana semasa bersukan proses merembes keluar bahan bahan kumuh yang tidak diperlukan tubuh badan berlaku melalui perpeluhan . Mutakhir ini, pemodenan sukan bergerak seiring dengan kemajuan dunia dan membawa falsafah yang lebih berat. Pertumbuhan pelbagai bidang sukan yang rancak ini digerakkan dengan lebih dinamik dan professional melalui pertubuhan bukan kerajaan dan juga Kementerian Belia dan Sukan. Penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga telah banyak membawa manfaat diri, keluarga, masyarakat dan negara. Ironinya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan dapat menunaikan pelbagai hasrat bukan sekadar pertarungan di gelanggang sahaja tetapi juga boleh menambah dan menyumbang sumber pendapatan individu dan keluarga. Sekiranya aktiviti sukan menjadi budaya dalam kehidupan masyarakat bukan sahaja mereka dapat mengakrabkan hubungan sesama masyarakat, malah kesihatan badan mereka juga sentiasa sihat serta kepada mereka yang mempunyai kemahiran dalam bidang sukan mampu pula menjana ekonomi untuk membantu mengurangkan kos sara hidup keluarga. Persoalannya, apakah faedah-faedah bersukan kepada maasyarakat?

            Salah satu daripada faedah bersukan ialah kegiatan sukan dapat membantu mengekalkan kesihatan fizikal dan mental. Kehidupan zaman moden ini lebih banyak menggunakan tenaga dalaman dan pemikiran. Golongan profesional dan separa profesional pada alaf baru sering berlumba-lumba untuk meningkatkan sumber ekonomi diri dan keluarga sehingga mengabaikan kegiatan fizikal akibat kekurangan waktu untuk tujuan tersebut. Kesibukan semua lapisan masyarakat ini membawa kepada masalah kesihatan fizikal dan mental. Penglibatan golongan kanak-kanak , remaja dan orang dewasa dalam pelbagai kegiatan sukan dapat menyelesaikan pelbagai masalah kesihatan. Kegiatan sukan merupakan  langkah awal bak kata peribahasa Melayu“sediakan payung sebelum hujan” dalam mengawal obesiti, penyakit kronik seperti darah tinggi, diabetis dan penyakit jantung. Kegiatan sukan juga dapat membantu mereka yang  menghidap penyakit untuk kembali pulih. Bahkan juga penglibatan masyarakat dalam bidang sukan juga mampu menangani ketegangan fikiran dan meringankan bebanan mental terutama kalangan pelajar yang . Sesungguhnya kegiatan sukan dapat melancarkan perjalanan darah, mengurangkan lemak yang berlebihan dalam salur darah dan jantung ,membantu perkumuhan dan membuang sisa-sisa yang tidak diperlukan oleh badan. Sekiranya, aktiviti bersukan menjadi amalan masyarakat, sudah pasti bilangan pesakit kronik negara dapat dikurangkan kerana tubuh badan yang cergas, melahirkan otak yang cerdas. Seyogia, mencegah lebih baik daripada mengubati Tegasnya, penglibatan masyarakat dalam bidang sukan merupakan usaha efektif dalam melahirkan masyarakat yang sihat.

            Selain itu, bersukan juga dapat mengisi masa senggang individu. Masa lapang sebenarnya amat berharga bagi  setiap individu atau masyarakat. Seseorang yang melibatkan diri dalam bidang sukan dapat mengisi masa lapang dengan berfaedah kerana masa itu emas , walaupun hanya ada beberapa minit, masa itu sangat berharga . Masa lapang ini sangat bermanfaat jika digunakan untuk bersukan bagi mengembalikan tenaga dan melegakan ketegangan atau stres. Bagi golongan remaja pula, penglibatan dalam bidang sukan dapat menghindarkan diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermoral , gejala vandalism serta hedonisme  dan membuang masa sia-sia seperti melepak , merokok dan terlibat dalam pengambilan dadah. Malah aktiviti riadah ini dapat menarik masyarakat ke arah memanfaatkan masa lapang dengan cara yang lebih baik. Kesannya amat jelas kerana dengan bersukan sukan ahli sukan mampu meningkatkan swadaya masyarakat dan melangkah gagah  dengan yakin sehingga ke peringkat antarabangsa  walaupun terpaksa melalui ranjau pidana  dunia persaingan hari ini. Jikalau aktiviti senggang ini digunakan untuk beriadah sudah pasti negara akan dapat melahirkan atlet negara bertaraf dunia yang mampu mengharumkan nama negara tercinta. Sesungguhnya sukan dapat mendisiplinkan masyarakat memanfaatkan masa dengan lebih bermakna.

            Di samping itu, bersukan merupakan  salah satu instrumen penting untuk mengeratkan hubungan perpaduan dan integrasi masyarakat negara yang berbilang kaum. Hal ini demikian kerana, kegiatan sukan dapat melahirkan semangat kekitaan dalam pasukan untuk meraih kemenangan.  Sifat bersatu padu juga dapat dipupuk melalui penglibatan dalam kegiatan sukan kerana bulat air kerana pembentung, bulat  manusia kerana muafakat. Lantaran itu, hubungan yang erat dapat melahirkan sebuah pasukan yang kuat. Para penyokong juga dapat menyatupadukan masyarakat berbilang kaum di samping berkongsi minat dalam sukan yang sama. Dengan ini, nilai-nilai perpaduan seperti bekerjasama, bertoleransi dan meletakkan kepentingan negara dan pasukan melebihi kepentingan diri dapat dilahirkan melalui penglibatan diri dalam bidang sukan. Sekiranya, amalan bersukan menjadi budaya masyarakat sudah pasti keakraban dan kesepaduan masyarakat akan terjalin dan masalah perkauman akan dapat dielak. Justeru , kegiatan sukan dapat mendidik masyarakat bekerjasama dan bersatu padu serta mengeratkan hubungan antara mereka.

            Akhir sekali, sukan juga mampu memberi ruang untuk menambahkan pendapatan secara individu dan kumpulan. Atlet yang mencapai tahap kemahiran profesional boleh menjadikan sukan sebagai kerjaya dan boleh meningkatkan ekonomi mereka. Penganjuran dan pengusaha peralatan dan prasarana sukan juga mampu menjana pendapatan yang besar. Serentak dengan kegiatan sukan secara serius di peringkat  glokal dan global mampu menjana keuntungan melalui kadar tukaran wang asing kepada negara. Seiring dengan itu, industri hiliran muncul bersama perkembangan sukan yang diceburi. Kemajuan sukan menampakkan hala tuju  anak muda yang berkebolehan mengembangkan bakat dan potensi menjadikan sukan sebagai  kerjaya masa depan mereka. Pemain bola sepak secara professional, pemain badminton  seperti Datuk Lee Chong Wei  dan Shalin Zulkifli masing-masing menjadikan badminton dan  bowling sebagai kerjaya. Apabila budaya bersukan menjadi budaya masyarakat  bukan sahaja tubuh badan mereka sihat, malah mereka dapat  meningkat sara hidup yang kini kian meningkat serta memperkenalkan negara di mata masyarakat dunia. Jelaslah sukan juga dapat menjadi kerjaya yang baru kepada masyarakat dalam menangani kos sara hidup yang semakin meningkat.

Kesimpulannya, penglibatan dalam bidang sukan akan membawa pelbagai faedah kepada masyarakat. Oleh itu , semua lapisan masyarakat amat digalakkan menyertai semua jenis aktiviti sukan kerana bersukan dapat melahirkan masyarakat yang sihat, bersatu padu, berdaya maju dan berdaya saing. Sukan juga mampu mengangkat martabat rakyat dan negara di persada antarabangsa agar mampu duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.  Sesungguhnya , sukan berfaedah kepada individu, masyarakat dan negara. Tegasnya,  kegiatan sukan wajar digalakkan kepada semua lapisan masyarakat.
Back to Top