-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan Bahasa Melayu PT3

Langkah-langkah Mengurangkan Kemalangan Jalan Raya

Dasawarsa ini, isu kemalangan jalan raya yang semakin meruncing sering menjadi fokus perbincangan dan mauduk utama akhbar-akhbar tempatan di Malaysia. Keadaan ini semakin merunsingkan apabila banyak kejadian yang melibatkan kemalangan jiwa berlaku. Justeru, sebelum, nasi sudah menjadi bubur, langkah-langkah pragmatik perlu diimplimentasikan bagi mengatasi masalah ini.

Pertama, penguatkuasaan undang-undang perlu dilaksanakan dengan lebih tegus dan tegas. Peraturan-peraturan jalan raya seharusnyan dikaji semula dan ditambah baik bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara. Penguatkuasaan undang-undang seperti larangan perjalanan bas ekspres pada waktu malam seharusnya dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, bukannya seperti melepaskan batuk di tangga sahaja. Menurut Ibu Pejabat Polis Daerah Bukit Aman, kes kemalangan melibatkan bas ekspres menurun dengan rancaknya sebanyak 15.7 peratus dari tahun 2007 ke 2008 selepas undang-undang tersebut dilaksanakan. Hal ini jelas menunjukkan bahawa dengan adanya penguatkuasaan undang-undang, kadar kemalangan dapat diminimumkan.

Selain itu, pihak kerajaan juga perlu memastikan pengurusan kenderaan awam cekap dan efisien. Kelancaran sesebuah perjalanan itu amat bergantung kepada kecekapan pemandu dan kondisi kenderaan tersebut. Sehubungan dengan itu, pihak pemaju perlu menyediakan perkhidmatan secara berkala dan menjalankan pemeriksaan secara konsisten bagi menjamin kualiti pengurusan sesebuah syarikat kenderaan itu. Proses pemilihan pemandu juga perlu diteliti semula agar hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diterima bekerja. Menurut Menteri Pengangkutan Malaysia, satu system pemilihan pemandu bas ekspres yang standard akan dilaksanakan mulai penggal kedua tahun 2009. Maka jelaslah, pengurusan syarikat kenderaan awam yang mantap amat vital bagi menurunkan kadar kemalangan jalan raya.

Di samping itu, kerajaan boleh melaksanakan kempen-kempen bagi menerapkan kesedaran kepada seluruh warga Malaysia. Modus operandi utama kempen ini dijalankan adalah untuk menimbulkan nilai moral dan sivik serta menyuntik etika dalam kelangan rakyat. Prakarsa ini dapat dijalankan dalam semua peringkat meliputi sekoalh, negeri, mahupun di peringkat kebangsaan. Pendedahan awal kepada kanak-kanak misalnya amatlah wajar kerana pada ketika inilah mereka mudah dibentuk mengikut acuan yang sebenar, bak kata pepatah, “melentur buluh biarlah dari rebungnya”. Maka tidak hairanlah apabila Kementerian Pelajaran sendiri berganding bahu dengan Kementerian Pengangkutan melaksanakan program “Keselamatan Lalu Lintas dan Jalan Raya” yang dianjurkan saban tahun. Justeru, sudah terang lagi bersuluh, kempen-kempen tersebut berupaya untuk menurunkan kadar kemalangan.

Akhirulkalam, isu kemalangan jalan raya ini perlu dipandang serius oleh pucuk pimpinan negara khususnya. Sehubungan dengan itu, semua pihak perlu bekerjasama menggembleng tenaga bagi mengatasi masalah ini secara total. Ingatlah, “pandu cermat, jiwa selamat!”
Back to Top