-->

Type something and hit enter

Pages


On
CONTOH KARANGAN SPM CIRI-CIRI REMAJA BERWAWASAN

                                            Teruja kenari di tepi pulasan,
                                            Pegun nak dara gemersik suara:
                                            Remaja kini tinggi wawasan,
                                           Tonggak kejayaan aspirasi negara.

Pantun di atas jelas menunjukkan bahawa remaja kini merupakan tunjang kecemerlangan sesebuah negara. Mereka merupakan pelapis yang akan menduduki tampuk pemerintahan pada masa akan datang. Sayang dan malang sekali, remaja hari ini tidak sedar akan obligasi yang terbeban di bahu mereka itu. Realitinya, Malaysia memerlukan lebih ramai remaja berwawasan yang mampu mendukung aspirasi negara.
      
Dalam perbincangan ini, saya akan mengutarakan tentang ciri-ciri remaja berwawasan yang diperlukan di negara Malaysia. Remaja berwawasan dan mempunyai akhlak yang mulia boleh dicontohi. Selaras dengan cogan kata, budi bahasa budaya kita, remaja perlulah mempunyai nilai moral yang tinggi. Mereka hendaklah mengamalkan amalan bersopan santun ketika bertutur,berjalan, makan dan minum serta cara berpakaian. Mereka juga mestilah menghormati orang yang lebih tua daripada mereka dengan bertutur dengan nada yang rendah dan membongkokkan badan apabila berjalan di hadapan mereka. Selain itu, remaja yang berwawasan juga sentiasa membantu rakan-rakan mereka yang berada di dalam kesusahan,bak kata peribahasa, berat sama dipikul,ringan sama dijinjing.Perintah agama juga tidak pernah dilupakan oleh remaja berwawasan kerana segala kejayaan bermula apabila kita taat kepada perintah agama. Dengan ini jelaslah bahawa, berakhlak mulia merupakan salah satu ciri remaja berwawasan.
      
Melihat daripada perspektif yang lain, seorang remaja yang berwawasan mestilah mempunyai pengetahuan yang tinggi.  Cogan kata ,membaca jambatan ilmu, kerana ilmu hanya didapati melalui pembacaan bahan ilmiah. Remaja yang berwawasan sentiasa menelaah buku untuk mendapatkan ilmu. Kita sedia maklum bahawa remaja adalah pewaris tampuk pemerintahan negara dan dengan adanya ilmu di dada, mereka pasti dapat menangani segala onak dan duri yang bakal didepani oleh negara kelak. Seterusnya, renaja berwawasan yang berilmu pengetahuan tidak akan mudah terpedaya dengan tipu helah anasir-anasir mazmumah yang sentiasa mencari peluang untuk menjatuhkan anak bangsa ,ibarat duri dalam daging.  Sudah terang lagi bersuluh, dengan mempunyai ilmu pengetahuan, remaja mampu menjadi remaja berwawasan dan negara dapat melahirkan golongan inteligesia yang mampu menggalas aspirasi negara.
      
Bertitik tolak daripada manifestasi tersebut, kriteria remaja berwawasan seterusnya ialah seseorang yang gigih berusaha dan berani mendepani cabaran. Peribahasa yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang ,perlulah disemat di dalam diri setiap remaja .Remaja yang berwawasan sentiasa berusaha untuk mendapatkan  kejayaan dan tidak bersikap pesimistik.Tamsilnya, mereka tidak akan berputus-asa apabila tidak mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan, sebaliknya mereka menjadikan perkara tersebut sebagai permulaan sesuatu kejayaan,  bak kata Adelucia  Longbotton, satu pintu akan tertutup, pintu yang lain akan terbuka. Namun, kadang-kadang  kita melihat dan menyesali pintu yang tertutup itu terlalu lama sehingga terlupa untuk melihat pintu yang telah terbuka. Remaja berwawasan juga tidak pernah mengeluh untuk melaksanakan sesuatu perkara kerana hendak seribu daya,tak hendak seribu dalih. Oleh hal yang demikian jelaslah bahawa, remaja berwawasan sentiasa gigih berusaha.
      
Semangat patriotik yang tinggi merupakan pemangkin kepada kemerdekaan negara yang sudah mencapai angka lima puluh lima tahun pada hari ini. Remaja yang berwawasan hendaklah menanam semangat patriotik di dalam diri kerana George Santayana pernah berkata, manusia yang melupai sejarah, pasti akan mengulanginya semula. Semangat sayang akan negara dapat menyelamatkan tanah tumpah darah ini daripada dijajah oleh kuasa asing semula. Remaja berwawasan tidak akan mudah terpengaruh dalam segala bentuk penjajahan sama ada dari segi mental, intelektual, hiburan dan sebagainya. Mereka juga tidak akan mudah terpengaruh dengan budaya barat yang berbeza sama sekali dengan budaya timur yang kita amalkan selama ini. Jelaslah bahawa,semangat patriotik yang tinggi merupakan ciri remaja berwawasan yang diidam-idamkan oleh negara.
      
Akhirulkalam ,ciri-ciri remaja berwawasan ini mampu dicapai oleh setiap remaja kerana ia merupakan aspek-aspek yang sememangnya sudah diterapkan di dalam diri setiap warganegara Malaysia tidak kira kanak-kanak, remaja, orang dewasa mahupun warga emas. Dengan ini, diharapkan bahawa cita-cita negara untuk mencapai status negara maju pada tahun 2020 dan dapat duduk sama rendah dan berdiri sama tinggi dengan negara atas angin yang moden tidak menjadi seperti angan-angan Mat Jenin.
Back to Top