-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan PT3

USAHA MEMUPUK SEMANGAT KEJIRANAN

Marcapada, isu berkaitan dengan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat saban waktu diwara-warakan dalam media arus perdana di negara kita. Justeru, semua pihak mestilah komited dan beriltizam untuk meningkatkan semangat kejiranan sehingga mencapai objektifnya kerana di mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Persoalannya, apakah usaha-usaha untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia? 2

Pada hemat saya, antara usaha yang paling efektif ialah bergotong-royong. Hal ini demikian kerana, gotong-royong yang diadakan dapat mewujudkan semangat kerjasama dan kekitaan dalam kalangan jiran tetangga. Dengan berbuat demikian, jiran tetangga akan bekerjasama melaksanakan sesuatu tugasan tanpa dibelenggu oleh batasan perbezaan kaum, agama, atau fahaman politik. Sebagai contoh, aktiviti gotong-royong dapat dilaksanakan pada hujung minggu melibatkan semua anggota masyarakat untuk membersihkan kawasan kediaman, masjid, kubur dan tempat-tempat lain. Tegasnya, gotong-royong menjadi wahana yang sangat signifikan untuk memupuk semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia.

Selain itu, amalan ziarah-menziarahi juga merupakan antara langkah untuk memperkasakan semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia. Saya berpendapat sedemikian kerana amalan ziarah-menziarahi yang dipraktikkan berupaya untuk mengeratkan hubungan silaturahim sesama jiran tetangga. Dalam konteks ini, budaya prihatin dan saling menyayangi dapat disuburkan malah sindrom bagai enau dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing juga mampu dikikis. Buktinya, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil sering mengesyorkan pembudayaan amalan ini sama ada di bandar atau di pedalaman bagi membina sebuah masyarakat yang harmoni di negara kita. Jelaslah, langkah memperkasakan semangat kejiranan mempunyai simbiosis yang amat erat dengan amalan ziarah-menziarahi.

Cara-cara untuk menyemai semangat kejiranan dalam kalangan masyarakat Malaysia yang berikutnya ialah mengadakan rumah terbuka. Analoginya cukup mudah. Rumah terbuka yang diadakan pada masa perayaan Hari Raya, Tahun Baharu Cina, Deepavali atau Krismas mampu melahirkan perasaan saling menghormati antara satu sama lain. Hal ini bermaksud, jiran tetangga akan lebih menghormati sensitiviti tetamu berlainan agama yang bertandang ke majlis rumah terbuka mereka khususnya dalam penyediaan juadah dan sebagainya. Saya optimis, daripada bukti yang dipaparkan amat jelas menunjukkan rumah terbuka menjadi medium yang sangat relevan untuk menyemai semangat kejiranan lebih-lebih lagi dalam konteks masyarakat Malaysia yang berbilang kaum.

Kesimpulannya, semua pihak mestilah berusaha untuk meningkatkan semangat kejiranan supaya keharmonian dalam kalangan masyarakat dapat ditingkatkan selaras dengan gagasan 1Malaysia. Usaha yang sistematik dan proaktif mestilah digerakkan mulai sekarang kerana perjalanan yang beribu batu mestilah bermula dengan langkah yang pertama!

(374 patah perkataan)

Back to Top