-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan SPM

KEPENTINGAN SEKTOR PERTANIAN KEPADA NEGARA

Berdasarkan rajah di bawah, berikan pendapat anda tentang kepentingan sektor pertanian kepada negara. Panjangnya karangan anda antara 200 hingga 250 patah perkataan.


KEPENTINGAN SEKTOR PERTANIAN


1. Memastikan bekalan makanan mencukupi

2. Menyediakan peluang pekerjaan

3. Menjana pendapatan negara dan masyarakat

Sektor pertanian pernah menjana pendapatan penting kepada negara sebelum kebangkitan era kegemilangan perindustrian yang dibawa oleh arus pemerintahan Tun Dr Mahadhir Mohamed melalui Dasar Perindustrian. Sebelum tampuk pemerintahan bertukar tangan, Malaysia mengerjakan pelbagai tanaman komersial seperti padi sawah, kelapa sawit, lada hitam dan nanas. Walaupun begitu, kepentingannya tidaklah diabaikan sepenuhnya kerana beliau telah melancarkan Dasar Pertanian Negara yang sebenarnya menjadi garis panduan kepada pembangunan sektor ini. Persoalannya, apakah kepentingan sektor pertanian kepada negara sehingga mendesak kerajaan memajukannya?
Kepentingan perdana sektor ini adalah untuk menjadi sekuriti bekalan makanan yang cukup kepada masyarakat. Malaysia antara negara yang menjadikan beras sebagai makanan ruji. Oleh hal yang demikian, kerajaan berusaha menghasilkan padi dua kali setahun untuk menampung permintaan masyarakat, selain berusaha mengurangkan import beras dari Thailand. Realitinya, kerajaan mahu mengurangkan kebergantungan kepada negara luar, memandangkan padi sawah boleh ditanam di negara ini. Maka, tidak menghairankan apabila kerajaan telah berusaha bagai air mencari jenisnya supaya padi dapat ditanam lima kali setahun sejak tahun ini. Tambahan pula, kadar pertumbuhan penduduk negara kita yang semakin pesat mendesak sektor ini tidak boleh dipandang enteng.

Selain itu, sektor ini mampu menyediakan peluang pekerjaan yang cukup besar kepada rakyat di negara kita. Sejak zaman nenek moyang kita, pertanian merupakan pekerjaan warisan yang menjana ekonomi keluarga, khususnya. Di negara membangun seperti Malaysia, sektor pertanian menyumbang 50 peratus peluang pekerjaan. Perlu diingat bahawa definisi pekerjaan dalam sektor pertanian bukan sahaja bekerja di ladang, malahan meliputi pemprosesan dan pemasaran. Realitinya, masyarakat desa sememangnya bergantung harap kepada sektor ini memandangkan mereka mempunyai tanah yang luas untuk dikerjakan dan tenaga buruh yang mudah didapati. Lagi pula, pekerjaan ini tidak memerlukan kelulusan yang tinggi berbanding kerja profesional dan separuh profesional. Tegasnya, sektor ini boleh diibaratkan bulan jatuh ke riba kepada golongan kurang terpelajar untuk tidak bergelar penganggur.

Bukan itu sahaja, yang lebih penting lagi ialah sektor ini mampu menjana pendapatan yang besar kepada negara dan petani. Seperti yang kita sedia maklum, iklim dan tanih yang sesuai mampu memberikan pulangan yang lumayan. Hasil tani yang dituai oleh petani kecil-kecilan dapatlah dijual kepada pemborong dengan harga yang berpatutan untuk dijadikan penyambung rezeki. Bagi tanaman komersial pula, negara akan menambahkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melalui pengeskportan tanaman seperti kelapa sawit dan lada hitam. Secara tidak langsung, pengaliran wang ke luar negara dapat dikurangkan, di samping menimbangi imbangan pembayaran negara melalui hasil eskport yang semakin bertambah. Ringkasnya, dengan adanya sinergi yang hebat, industri ini mampu menjadi penyumbang terbesar seperti suatu ketika dahulu.

Konklusinya, sektor pertanian perlulah digerakkan kembali dengan menaruh beberapa strategi yang mampan supaya segala kemaslahatannya dapat dinikmati masyarakat Malaysia keseluruhannya. Saya begitu optimistik dengan segala kelebihan yang kita ada, industri pertanian pasti mampu memberi sumbangan yang besar terhadap pembangunan negara. Realitinya, dijangkan pada tahun 2050 sekiranya telaga minyak yang baharu tidak dijumpai, maka hasil petroleum akan kehabisan seterusnya menganggu pengeluaran dalam sektor perindustrian. Akhir kata, slogan ‘Pertanian Satu Perniagaan’ perlulah diselami maknanya dengan lebih mendalam.
Back to Top