-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan SPM Implikasi penggunaan telefon bimbit kepada pelajar.

 Soalan 1
Dimensi           : Diri
Format             : Tiada
Tema             : Dunia Semakin Canggih (Tingkatan 4)
Aras               : Rendah

Penggunaan telefon bimbit seolah-olah menjadi kemestian dalam kalangan pelajar di sekolah walaupun mendatangkan pelbagai implikasi.
Jelaskan implikasi penggunaan alat komunikasi tersebut kepada pelajar.

Kehendak soalan:
a. Pelajar perlu menghuraikan kesan / implikasi penggunaan telefon bimbit kepada
    pelajar sama ada pelajar sekolah atau IPT.
b. Jawapan pelajar mestilah mempunyai kebaikan dan keburukan penggunaan
    telefon bimbit
c. Pelajar mestilah menghuraikan dua kebaikan dan tiga keburukan atau tiga
    kebaikan dan dua keburukan atau dua kebaikan dan dua keburukan.
d. Jika pelajar menghuraikan satu kebaikan dan empat keburukan atau satu
    keburukan dan empat kebaikan, markah maksimum : Baik atas

Cadangan isi
kesan positif:
Isi 1 : memudahkah para pelajar menghubungi ahli keluarga
Isi 2 : memudahkan pembelajaran pelajar

Kesan negatif :
Isi 1 : menjejaskan pelajaran pelajar
Isi 2 : membazirkan masa para pelajar
Isi 3 : memudaratkan kesihatan para pelajar

Kesimpulan :
Ibu bapa perlu memantau penggunaan telefon bimbit dalam kalangan anak-anak – pelajar perlu bijak menggunakan teknologi moden.


KARANGAN CONTOH:

Alaxander Graham Bell merupakan insan yang bertanggungjawab mencipta alat telekomunikasi yang dinamakan sebagai telefon. Ciptaan beliau ini telah dimajukan dan dimodenkan melaui penciptaan telefon bimbit atau dikenali juga sebagai telefor selular. Dalam era yang serba canggih dengan kemajuan sains dan teknologi, telefon bimbit adalah satu kemestian untuk dimiliki oleh semua orang terutamanya pelajar zaman sekarang. Telefon bimbit merupakan satu alat komunikasi yang sangat popular dan semakin meluas dengan kecanggihannya tanpa mengira harganya. Hal ini kerana pelajar zaman sekarang mampu untuk mendapatkan atau memiliki telefon bimbit yang canggih dengan teknologi sekarang. Terdapat pelbagai jenama telefon bimbit di pasaran di negara kita seperti telefon bimbit jenama nokia, samsung, iphone, blackberry dan   lain-lain. Jika diperhalusi, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar ini mendatangkan implikasi yang pelbagai kepada para pelajar. Persoalannya, apakah-apakah implikasi yang akan diterima oleh para pelajar jika mereka menggunakan telefon bimbit dengan bijak atau sebaliknya?

Memang tidak dapat dinafikan bahawa penggunaan telefon bimbit banyak memberikan faedah kepada para pelajar. Salah satu kebaikan yang dimaksudkan ialah telefon bimbit boleh digunakan untuk menghubungi insan tersayang yang berada jauh di mata tetapi dekat di hati. Dewasa ini, terdapat para pelajar yang melanjutkan pelajaran di sekolah yang berjauhan dari tempat tinggal mereka dan mereka akan tinggal di asrama. Mereka terpaksa berenggang dengan ahli keluarga tersayang mereka demi melunaskan tanggungjawab mereka sebagai pelajar dan merealisasikan impian keluarga untuk mencapai kejayaan. Jadi, hanya sebuah telefon bimbit yang dapat menjadi medium untuk mereka melepaskan kerinduan. Mendengar suara ibu dan bapa pastinya membuatkan jiwa pelajar lebih tenang lebih-lebih lagi mereka merupakan insan yang paling mengenali diri anaknya. Apabila para pelajar bakal menduduki peperiksaan, mereka akan menghubungi ibu bapa mereka melalui telefon bimbit untuk mendapatkan kata-kata motivasi. Oleh hal yang demikian, penggunaan telefon bimbit oleh para pelajar pastinya dapat mengukuhkan ikatan silaturahim antara ahli keluarga bagai isi dengan kuku walaupun tinggal berjauhan. Tegaslah bahawa telefon bimbit merupakan medium yang berkesan sebagai alat perhubungan antara pelajar dengan ahli keluarganya.

Lain daripada itu, penggunaan telefon bimbit dapat membantu para pelajar untuk bertanyakan hal-hal yang berkaitan persekolahan. Sebagai seorang pelajar, menyiapkan tugasan yang diberikan oleh guru merupakan satu kewajipan penting bagi seseorang pelajar yang ingin berjaya. Dalam masa yang sama juga, ada pelajar yang perlu berada di luar kawasan sekolah untuk mengharumkan nama sekolahnya dengan menyertai pelbagai pertandingan yang dianjurkan oleh pihak Jabatan atau Kementerikan Pendidikan. Hal ini menyebabkan pelajar tersebut tidak dapat mengikuti aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Oleh itu, pelajar itu akan menghubungi rakan-rakannya melalui telefon bimbit untuk bertanyakan tugasan yang perlu disiapkan waima tidak berada di sekolah. Secara tidak langsung, segala perkara penting yang disampaikan oleh guru ketika pelajar tidak boleh hadir ke sekolah dapat diketahui dengan segera melalui penggunaan telefon bimbit. Budaya tolong-menolong ibarat berat sama dipikul, ringan sama dijinjing antara pelajar sekolah juga dapat dipupuk dalam kalangan pelajar. Ringkasnya, penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar dapat memudahkan urusan pembelajaran mereka.

Malangnya, di sebalik kebaikan telefon bimbit, ada udang di sebalik batu di sebalik penggunaannya. Hal ini dikatakan demikian kerana telefon bimbit dapat memberikan impak negatif terhadap penggunanya terutama kepada para pelajar. Salah satu kesan negatifnya ialah penyalahgunaan telefon bimbit dapat menatijahkan prestasi akademik dalam kalangan pelajar semakin merosot. Hal ini memanglah serius kerana pendidikan merupakan teras kekuatan masyarakat supaya mampu berdaya saing dengan pasaran global pada era globalisasi yang pantas berubah. Misalnya, pelajar telah mengabaikan pelajaran mereka kerana fokus pelajar semasa waktu pengajaran dan pembelajaran telah berkurang. Menurut kajian, rata-rata generasi muda menggunakan aplikasi dalam telefon pintar untuk melayari laman sembang dan aplikasi permainan maya sehingga ketagihan. Secara implisit, prestasi akademik pelajar akan merosot  kerana kekurangan inisiatif dan semangat yang membara bagai hilang kapak berganti beliung selepas ketagihan dalam perisian telefon bimbit yang semakin canggih. Jelaslah bahawa ketagihan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar akan menjejaskan prestasi akademik mereka.

Jika ditinjau dari pandangan perancangan masa, pelajar yang menggunakan telefon bimbit tanpa batasan telah mensia-siakan masa hadapan mereka. Pengurusan masa memanglah penting untuk membentuk sahsiah diri yang berdisiplin dan mempunyai sikap yang menghargai setiap detik yang dikurniai oleh Tuhan. Masa bagai mata pedang yang akan memancung kita jika tidak dimanfaatkan dengan bijak. Jadi, usia remaja perlulah diisi dengan sebaik-baiknya dalam aktiviti yang berfaedah dan bukannya menghabiskan masa berkualiti mereka dengan menatap skrin telefon bimbit. Menurut tinjauan terkini, generasi muda telah menghabiskan sekurang-kurangnya 19 jam seminggu dalam penggunaan peranti mewah seperti telefon pintar, tablet dan sebagainya. Ironinya, pelajar kini lebih cenderung membazirkan masa untuk menghantar khidmat pesanan ringkas(SMS), bersembang dalam talian dan bermain permainan maya yang tidak membawa manfaat dari segi perkembangan jiwa dan minda. Jadi, pengurusan masa penting kerana semakin lama kita melayani perkara yang membazir, semakin jauhlah kita dihanyutkan oleh ilusi tanpa realiti. Izharnya, penyalahgunaan telefon bimbit akan membazir masa dan usia, bak seratus tahun bah melanda kapar tetap tidak berlalu.

Akhir sekali dan tidak kurang pentingnya, penggunaan telefon bimbit dapat memudaratkan kesihatan pelajar. Akibat perkembangan arus perdana tanpa batasan, pelajar kini semakin pasif dalam pergerakan fizikal dan mental. Kebanyakan masa telah dihabiskan di depan telefon bimbit atau tablet kerana tidak ingin ketinggalan dalam arus globalisasi yang pantas bergolek. Natijahnya, kadar metabolisme yang rendah akan menggangu sistem peredaran darah dan proses perkumuhan. Pada era atom ini, kadar radioaktif atau ultraungu telah menjejaskan penglihatan pelajar. Mengikut kajian, masalah penyakit dalam kalangan pelajar seperti penyakit lelah, asma, penyakit mata dan telinga semakin kronik dan seakan-akan tiada penghujung. Mengikut kajian terbaru daripada 31 saintis daripada 14 negara-negara maju termasuk Amerika Syarikat, penggunaan telefon bimbit yang berlebihan dapat mendatangkan penyakit barah otak. Hal ini kerana gelombang elektromagnet yang terhasil daripada telefon bimbit apabila terkena pada sel-sel otak untuk masa yang berlarutan akan menyebabkan mutasi genetik terhadap sel-sel otak tersebut dan seterusnya menyebabkan kanser otak. Jika hal ini berlaku sudah pasti pelajaran dan masa hadapan pelajar akan terjejas kerana tidak dapat hadir ke sekolah seperti pelajar yang tiada masalah kesihatan. Pendek kata, penggunaan telefon bimbit yang terlampau oleh para pelajar akan menjejaskan tahap kesihatan mereka.

           Sebagai penghias penutup bicara, walaupun terdapat banyak kebaikan yang boleh diterima oleh para pelajar daripada penggunaan telefon bimbit, para pelajar juga akan menerima kesan negatif daripada penggunaan telefon bimbit jika tidak digunakan secara berhati-hati. Jika tidak digunakan untuk kebaikan, perkara ini mampu merosakkan masa depan dan fikiran pelajar itu sendiri. Sewajarnya para pelajar yang merupakan tonggak negara pada masa hadapan lebih bijak dalam memikirkan pro dan kontra sesuatu perkara sebelum dilakukan bak peribahasa tepuk dada tanyalah selera. Oleh itu, para pelajar perlu bijak menggunakan apa-apa sahaja gajet atau alat yang dicipta dalam dunia serba canggih ini dengan cara yang betul. Ibu bapa juga perlu menyelamatkan para pelajar daripada ketagih kepada telefon bimbit. Memandangkan penggunaan telefon bimbit dalam kalangan pelajar lebih mengarah kepada status dan bukannya satu keperluan, ibu bapa berhak mengawal penggunaan telefon bimbit. Jika tidak, pelbagai masalah yang tidak diingini akan wujud sebaik sahaja pelajar yang belum keras ubun-ubunnya mula menggunakan telefon bimbitnya. Kita sebagai manusia sepatutnya menjadi tuan kepada alat teknologi dan bukanlah sebaliknya. Diharapkan usaha untuk melahirkan generasi muda yang cemerlang, gemilang dan terbilang di negara kita dalam pelbagai aspek dapat direalisasikan.
Back to Top