-->

Type something and hit enter

Pages


On
Contoh Karangan SPM

Sebagai sebuah negara yang mempunyai masyarakat pelbagai kaum, agama dan budaya yang berlainan, perpaduan amat penting dalam mencapai matlamat pembangunan negara.
Sarankan usaha-usaha meperkukuh perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara kita.

        Sejak 31 Ogos 1957,  penduduk Malaysia yang terdiri daripada masyarakat berbilang kaum hidup bagai aur dengan tebing. Walaupun menyedari hakikat bahawa rambut sama hitam, hati lain-lain, namun masyarakat yang berbilang kaum ini hidup dengan aman dan damai. Menghadapi cabaran yang ditimbulkan oleh perpaduan kaum bukannya mudah. Pelbagai usaha dijalankan ke arah perpaduan termasuk penubuhan Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional, Rukun Tetangga hinggalah kepada Pelan Integrasi Nasional, Sekolah Wawasan, dan Program Latihan Khidmat Negara (PLKN). Persoalannya, apakah usaha-usaha memperkukuh perpaduan kaum dalam kalangan masyarakat di negara ini?

           Antara usaha untuk memperkukuhkan perpaduan kaum di negara ini ialah rakyat Malaysia perlu  menyertai aktiviti kemasyarakatan. Sebagai contohnya, masyarakat boleh mengadakan aktiviti gotong-royong di taman-taman perumahan. Masyarakat yang berbilang kaum akan keluar untuk bekerjasama membersihkan taman-taman perumahan seperti membersihkan kawasan longkang, semak-samun dan sebagainya. Melalui aktiviti kemasyarakatan ini, mereka dapat lebih mengenali antara satu sama lain melalui perbualan dan berinteraksi kerana tak kenal maka tak cinta. Tegasnya, jika kita mengamalkan prinsip berat sama dipikul, ringan sama dijinjing, kita dapat menikmati suasana harmoni dalam kalangan masyarakat.

          Selain itu, kita juga boleh mengamalkan amalan kunjung-mengunjung seperti rumah terbuka rakan-rakan yang berlainan bangsa sempena hari-hari perayaan untuk memupuk semangat perpaduan. Kebudayaan dan adat resam antara kaum dapat difahami dengan lebih mendalam sekali gus dapat menjana tahap kefahaman, bertimbang rasa serta membina masyarakat yang saling menghormati. Oleh itu, sikap buang yang keruh , ambil yang jernih ternyata mampu menjalin hubungkan semangat perpaduan yang tersedia utuh. Tambahan lagi sambutan hari keluarga dan jamuan tahunan yang diadakan oleh organisasi atau pertubuhan kerajaan dapat mempererat hubungan antara pemimpin dengan penduduk tempatan. Usaha ini secara tidak langsung, orang ramai yang berbilang kaum akan lebih mempercayai dan meyakini kewibawaan pemimpin dan saling menghormati antara satu sama lain. Cara ini pasti ini akan mengurangkan pertengkaran dan perselisihan faham antara kaum.

                 Di samping itu, pendidikan juga dapat memupuk perpaduan kaum di Malaysia. Dengan adanya sistem pendidikan yang terbuka kepada semua kaum dan penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar, hal ini mampu membentuk elemen perpaduan sejak dari kecil lagi malahan dapat memupuk semangat kerjasama melalui aktiviti kokurikulum dan kokurikulum. Dengan cara ini, kita akan dapat melahirkan  generasi Malaysia yang lebih bersefahaman, bekerjasama dan bersatu padu serta tidak mempunyai masalah perhubungan dan pergaulan antara kaum yang berlainan.  Pergaulan mesra dan semangat bersatu padu yang dijalin ini sejak di prasekolah lagi sudah mampu menjadi tiang kukuh untuk membuktikan bahawa rakyat Malaysia patuh pada prinsip Rukun Negara. Hal ini sangat penting untuk memupuk perpaduan kaum di Malaysia dalam sanubari anak-anak sejak di bangku sekolah kerana melentur buluh biarlah dari rebungnya. Semua kekangan untuk mempererat perpaduan kaum akan dapat diselesaikan jika anak-anak telah mempelajari cara-cara untuk berinteraksi dengan orang yang berlainan kaum sejak kecil.

           Bagi mempererat perpaduan antara kaum di bumi bertuah ini, media massa pula mempunyai peranan yang tersendiri.  Semua saluran media di Malaysia, tidak kira media cetak atau elektronik, membuat liputan yang begitu bertanggungjawab tentang isu-isu yang membabitkan kaum. Pihak media jarang-jarang menyiarkan berita yang boleh menggugat perpaduan nasional dan kestabilan politik negara. Pihak media harus sedar betapa besarnya peranan dan pengaruh yang ada pada mereka. Justeru, mereka sungguh berhati-hati dalam mengendalikan sesuatu isu sensitif yang menyentuh soal bangsa, agama dan bahasa. Banyak pengajaran yang telah kita terima daripada peristiwa-peristiwa hitam yang pernah melanda negara seperti Peristiwa 13 Mei 1969.

                 Seterusnya,  perpaduan dapat dikukuhkan melalui penglibatan dalam kegiatan sukan. Hal ini demikian kerana melalui bersukan, semua lapisan masyarakat dapat melibatkan diri tanpa mengira perbezaan kaum. Berkongsi minat dalam sukan yang sama akan melahirkan sikap tolong-menolong dan saling menghormati di samping memupuk semangat kesukanan dan semangat berpasukan yang tinggi. Rakyat Malaysia tanpa mengira kaum akan sama-sama memberikan sokongan padu kepada atlet-atlet yang bertanding atas semangat Malaysia Boleh. Tegasnya, kegiatan sukan dapat menyatukan semua kaum dalam sesebuah pasukan.

                Secara tuntasnya, semua pihak haruslah menggembleng tenaga dan bekerjasama untuk memupuk perpaduan kaum rakyat di Malaysia. Hal ini penting supaya negara dapat berkembang maju dengan lebih lancar bawah gagasan  1Malaysia yang diilhamkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak. Oleh itu, kita yang sudah melalui zaman prakemerdekaan yang perit dan pahit haruslah mengisi kemerdekaan dengan penuh semangat perpaduan kaum. Semangat perpaduan harus disemai dan diingati sampai bila-bila agarWawasan 2020 menjadi realiti, bukannya fantasi semata-mata.
Back to Top