-->

Type something and hit enter

Pages


On
Kepentingan Pengangkutan Awam Kepada Negara Kita
Dalam Bajet Tahun 2011, Perdana Menteri memangku Menteri Kewangan telah membentangkan bahawa Transit Aliran Berkapasiti Tinggi (MRT) akan dibina bermula pada tahun hadapan dan dijangka akan siap sebelum tahun 2020. Belanja untuk membina sistem MRT dianggar akan mencecah RM 40 bilion. Senario ini memanifestasikan bahawa kerajaan sedang berusaha untuk meningkatkan mutu sistem pengangkutan awam di negara kita. Setakat ini hanya kira-kira 32% pengguna jalan raya tempatan menggunakan pengangkutan awam manakala di negara maju seperti Jepun dan negara-negara Eropah lebih daripada 70% pengguna jalan raya ialah penumpang pengangkutan awam. Dalam konteks ini, pengangkutan awam merupakan unsur utama bagi penduduk bandar-bandar besar di dunia. Untuk mencapai negara maju, semua pihak perlu sedar akan kepentingan pengangkutan awam kepada negara kita.
Kita sedia maklum bahawa salah satu kemaslahatan pengangkutan awam adalah dapat mengelakkan kesesakan lalu lintas, terutamanya di bandar-bandar besar terutama di Lembah Klang seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya dan Shah Alam. Kesesakan lalu lintas merupakan duri dalam daging dan mimpi ngeri kepada penduduk bandar. Ketika pergi ke atau balik dari pejabat, mereka terpaksa berjam-jam di jalan raya akibat kesesakan lalu lintas. Sehubungan dengan itu, peningkatan mutu perkhidmatan pengangkutan awam dapat menarik lebih banyak penumpang sehingga penggunaan kenderaan sendiri akan berkurangan di jalan raya. Secara tidak langsung, kesesakan lalu lintas dapat diminimumkan. Sehubungan dengan itu, pihak berkuasa perlu menetap lintasan khas sebagai laluan kenderaan awam seperti bas dan teksi. Alat pengangkutan awam yang tidak mengalami kesesakan lalu lintas dapat menarik pengguna untuk menggunakan pengangkutan awam. Walhasilnya, pembangunan dalam sistem pengangkutan awam di tanah air dapat membendung kesesakan lalu lintas yang semakin kronik.
Selain itu, pengangkutan awam yang bermutu turut memperkasakan industri pelancongan. Di rantau Asia Tenggara ini, industri pelancongan negara kita masih ketinggalan berbanding dengan negara Thailand dan Singapura. Salah satu sebab ialah pengangkutan awam di Bangkok dan Singapura sangat canggih dan memudahkan pelancong ke sesuatu destinasi. Sebaliknya sistem pengangkutan awam di Kuala Lumpur masih belum mencapai taraf negara maju. Di Hong Kong, Singapura dan Taiwan, penumpang hanya perlu membeli sekeping Kad Penumpang untuk menaiki MRT, bas malah Feri. Sistem pengangkutan yang canggih, selesa, mesra , bersih dan selamat dapat memberikan imej yang baik kepada pelancong ke negara kita. Malangnya, bas ekspres dan bas persiaran di negara kita sering terlibat dalam kemalangan yang dahsyat. Tambahan pula, sesetengah pemandu teks yang biadab dan meminta tambang yang berlebihan akan menjejaskan industri pelancongan di negara kita. Tegasnya, pengusaha pengangkutan jalan raya tanah air kita perlu meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kerana perkhidmatan pengangkutan awam yang berkualiti dapat mendorong industri pelancongan negara kita.
Lebih-lebih lagi, sistem pengangkutan awam yang baik dapat menjanakan pembangunan ekonomi negara. Tanpa disedari bahawa pengangkutan awam yang berkualiti dapat meningkatkan produktiviti negara. Hal ini demikian kerana pekerja dapat sampai di pejabat atau kilang tanpa lewat dengan adanya sistem pengangkutan yang menepati jadual waktu. Saban hari banyak orang lewat ke medan kerja kerana mengalami kesesakan lalu lintas. Hal ini merupakan satu pembaziran kerana para pekerja telah letih dan penat setelah tiba di tempat kerja. Jika negara kita memiliki sistem pengangkutan yang canggih terutamanya MRT, LRT, Komuter dan sebagainya, pekerja kita dapat sampai di destinasi tempat kerja dengan cepat dan tepat pada masa. Nescaya, mereka lebih bersemangat dan memiliki daya produktiviti yang lebih tinggi. Daya pengeluaran yang tinggi dapat memangkinkan pembangunan ekonomi negara supaya negara kita dapat duduk sama rendah, berdiri sama tinggi dengan negara maju. Gara-garanya, pengangkutan awam yang canggih berkait rapat dengan produktiviti negara .
Tambahan pula, pembangunan sistem pengangkutan awam dapat meminimumkan pencemaran udara di negara kita. Beberapa dasawarsa ini, kualiti udara negara kita semakin merosot sehingga negara kita dilanda jerebu. Salah satu faktor utama adalah kenderaan di jalan raya semakin banyak. Atas promosi pengeluar automobil dan syarikat kewangan, rakyat suka memiliki kenderaan sendiri. Mereka tidak suka menggunakan pengangkutan awam. Sesungguhnya rakyat kita perlu dicelikkan supaya menyedari bahawa menaiki pengangkutan awam merupakan tindakan mesra alam. Jika orang ramai menggunakan perkhidmatan bas, LRT dan sebagainya, kenderaan yang ada di jalan raya akan berkurangan sehingga asap yang mengandungi toksik dapat dikurangkan terutama karbon monoksida, sulfur dioksida dan lain-lain lagi. Ternyata, pengangkutan awam yang canggih lebih mesra alam, khasnya MRT yang akan dibina. Natijahnya, orang ramai perlu digalakkan supaya menaiki pengangkutan awam untuk meningkatkan kualiti alam sekitar kita.
Secara tuntasnya, sudah terang lagi bersuluh, pengangkutan awam yang berkualiti merupakan elemen yang penting untuk menjamin pembangunan negara kita. Sehubungan itu pihak berkuasa dan pengusaha pengangkutan awam perlu bersinergi bagai aur dengan tebing untuk memartabatkan mutu pengangkutan awam di tanah air kita. Sistem pengangkutan yang canggih dapat menjanakan pembangunan negara kita ke arah cemerlang, gemilang dan terbilang.
Back to Top