-->

Type something and hit enter

Pages


On
 HURAIKAN LANGKAH-LANGKAH YANG PERLU ANDA LAKUKAN UNTUK MENCAPAI KECEMERLANGAN DALAM PEPERIKSAAN.

Tidak dapat dinafikan bahawa setiap murid pasti mempunyai keinginan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Kecemerlangan ini hanya akan dapat dicapai sekiranya pelajar-pelajar berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapainya kerana jika ada kemahuan di situ ada jalan. Kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah sesuatu yang susah untuk dicapai sekiranya murid itu sendiri mempunyai azam yang tinggi untuk mencapainya. Murid-murid tidak sepatutnya mengganggap perkara ini sesuatu yang remeh atau mudah kerana keputusan peperiksaanlah yang akan menjamin masa hadapan seseorang pelajar. Oleh itu, pelajar janganlah menyesal pada masa hadapan disebabkan tidak dapat memperoleh keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan bak kata peribahasa Melayu “ sesal dahulu pendapatan , sesal kemudian tidak berguna.” Oleh itu, saya sebagai seorang calon Sijil Pelajaran Malaysia, saya harus berusaha mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan kerana kejayaan saya amat ditagih oleh kedua-dua ibu bapa saya dan guru-guru yang berhempas pulas menjajar saya. Persoalannya, apakah modus operandi dan perancangan dan persediaan awal yang sepatutnya saya lakukan untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan nanti?

            Langkah pertama akan saya ambil ialah sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di dalam kelas. Apabila saya memberi perhatian ketika seseorang guru sedang mengajar, sudah tentu sesuatu pembelajaran  tersebut akan cepat diserap masuk ke dalam minda saya. Bahkan seorang pakar psikologi pernah mengatakan bahawa “Lima puluh peratus kejayaan pelajar-pelajar  adalah disebabkan kerana mereka memberikan sepenuh perhatian ketika proses pengajaran dan pembelajaran sedang dijalankan.” Oleh sebab itu saya akan berusaha untuk  menumpukan perhatian semasa proses pengajaran dan pembelajaran  guru di dalam kelas. Bahkan juga saya akan cuba menjadi pelajar  aktif dan terlibat dalam setiap sesi  soal jawab sepanjang sesi pengajaran dan pembelajaran guru dijalankan agar saya faham apa sahaja yang ingin disampaikan oleh guru. Berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan oleh Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malasyia mendapati bahawa kebanyakan pelajar cemerlang dalam peperiksaan adalah disebabkan oleh pelajar-pelajar yang sentiasa mengemukakan soalan sekiranya terdapat sesuatu topik atau tajuk yang kurang difahami oleh mereka.. Jika saya selalu bertanya dan menumpukan perhatian di dalam kelas semasa proses pengajaran dan pembelajaran guru, sudah pasti saya memahami topik yang diajar oleh guru kerana malu bertanya sesat jalan. Sebaliknya, jika saya tidak menumpukan perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas, sudah pasti saya tidak akan faham topik yang diajar oleh guru dan saya akan rugi. Tegasnya, saya akan sentiasa memberikan perhatian ketika guru sedang mengajar di kelas agar saya menjadi pelajar yang berjaya dalam pelajaran.

            Selain itu, saya akan menguruskan masa dengan bijak dan baik agar saya dapat belajar dengan konsisten. Oleh sebab itu, saya akan menyediakan jadual waktu belajar dengan jiwa saya dan saya akan pastikan saya akan mengikutinya dengan tegas sekiranya saya ingin mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Hal ini demikian kerana berdasarkan satu kajian, jadual waktu belajar dapat membantu para pelajar menguruskan masa secara berkesan dan mereka akan mempunyai masa yang mencukupi untuk mengulangkaji pelajaran dengan lebih menyeluruh dan bersiap sedia untuk menghadapi peperiksaan. Bahkan juga, dengan menyediakan  jadual waktu saya akan dapat memastikan saya dapat menyeimbangkan waktu saya seperti masa untuk berehat, masa untuk mengulangkaji pelajaran, masa untuk beriadah  untuk menjaga fizikal dan emosi saya sentiasa stabil. Dengan adanya jadual peperiksaan yang baik, saya dapat mengelakkan stres dan kemurungan yang akan menyebabkan jiwa saya tidak sempurna. Sekiranya saya dapat mengikut jadual waktu belajar yang telah saya tetapkan sudah pasti saya akan sentiasa bersedia untuk menghadapi peperiksaan sebaliknya jika saya tidak melakukannya sudah pasti saya akan gagal mendapat keputusan yang cermerlang. Apabila saya gagal mendapat keputusan cemerlang pasti saya akan kecewa oleh itu situasi berkenaan perlu saya elakkan sebelum nasi sudah menjadi bubur dan saya perlu menyediakan payung sebelum hujan sebelum peperiksaan menjelma. Tambahan pula, kebanyakan pelajar yang berjaya biasanya terdiri daripada pelajar-pelajar yang telah membuat persiapan awal sebelum peperiksaan dijalankan. Manakala pelajar-pelajar yang tidak membuat persiapan awal kerana mereka terlalu leka membuang masa  dan tidak berpegang kepada pepatah “masa itu emas” dan “masa lalu tidak akan kembali”, maka mereka tidak dapat menghabiskan semua tajuk-tajuk sebelum tiba peperiksaan dan ini haruslah dielakkan. Jelasnya, pengurusan masa yang cekap akan memberi saya masa yang cukup untuk membuat persediaan awal supaya saya dapat mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan yang akan saya duduki nanti.

            Seterusnya, saya akan mengikuti kelas tuisyen untuk mendapat ilmu tambahan. Hal kerana di pusat tuisyen, guru-guru yang membimbing saya terdiri daripada guru-guru berpengalaman. Ada dalam kalangan mereka merupakan pemeriksa kerta dan mereka arif cara menjawab soalan yang betul sebagaimana yang dikehendaki skema pemarkahan. Seyogia, saya tidak akan segan silu bertanya guru di pusat tuisyen berkaitan  topik-topik pelajaran yang kurang saya fahami semasa belajar di sekolah  bak kata peribahasa Melayu “ malas berkayuh perahu hanyut” , dan “segan bertanya sesat jalan.” Tambahan pula, jika terdapat sesuatu topik itu diajar dua kali, maka saya akan mudah mengingati topik berkenaan dan saya juga boleh mengikuti program tuisyen di sekolah kerana dengan cara ini  membantu saya untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan. Saya juga akan menyertai sebarang program kecemerlangan yang dianjurkan oleh pihak sekolah seperti Minggu Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris, teknik menjawab soalan dan lain-lain lagi. Sekiranya saya menyertai program yang dianjurkan oleh pihak sekolah, mahupun di pusat tuisyen sudah pasti saya akan didedahkan dengan pelbagai jenis soalan dan latihan yang kerap kali akan ditanya dalam peperiksaan. Jelasnya, penyertaan saya dalam tuisyen dan program kecemerlangan merupakan salah satu langkah bagi saya untuk berjaya mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan.

Di samping itu, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang baik akhlaknya dan rakan-rakan berkenaan mempunyai keinginan untuk berjaya dalam peperiksaan kerana pepatah Arab ada mengatakan jika berkawan dengan penjual minyak wangi saya akan mendapat wangiannya tetapi jika saya berkawan dengan tukang besi kamu akan mendapat percikan bahangnya . Seyogia, saya perlu bijak memilih kawan kerana kawan yang baik akan memandu saya ke arah kecemerlangan. Dengan cara pemilihan kawan juga, saya tidak akan dipengaruhi oleh rakan-rakan yang bermasalah dan seterusnya terlibat dalam gejala sosial yang negatif. Bahkan juga, saya akan dapat membezakan antara kaca dengan permata dan sentiasa memikirkan masa depan saya serta matlamat hidup saya untuk menjadi pelajar berjaya dan berguna kepada masyarakat dan negara. Melalui pergaulan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pendidikan mereka, saya akan dapat bertukar-tukar pendapat serta ilmu dengan mereka.. Secara tidak langsung, pencapaian keputusan peperiksaan saya akan meningkat hasil daripada perbincangan dan tunjuk ajar daripada rakan-rakan.  Pergaulan dengan rakan-rakan yang bijak dalam pembelajaran akan dapat menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya. Saya akan mempunyai semangat untuk belajar dengan lebih bersungguh-sungguh agar diri saya tidak akan diasingkan dari kumpulan tersebut serta tidak akan berasa tersisih dan terpulau apabila dalam menyelesaikan sesuatu perbincanga. Saya juga dapat bergantung harap kepada rakan–rakan yang baik ini apabila saya tidak berdaya untuk menghadapi dan menyelesaikan  sesuatu cabaran dalam hidup. Mereka tentu  akan dapat membantu saya untuk memotivasi diri ke arah kecemerlangan dalam pelajaran. Tegasnya, saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia agar saya tidak akan tersilap langkah dalam membuat sebarang keputusan dalam hidup saya.

            Akhir sekali, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya untuk mengulangkaji dan membuat latihan setiap masa  di samping  berdoa kepada Tuhan agar saya  dapat membalas jasa mereka dengan belajar bersungguh-sungguh. Allah berfirman dalam Al Quran, “Tuhanmu  hanya akan menolong dan memberkati hidup anak yang taat kepada ibu bapa.” Kenyataan ini pasti benar kerana orang-orang tua mempunyai lebih banyak pengalaman dalam menghadapi kehidupan yang penuh dengan ranjau dan duri. Saya akan sentiasa patuh pada nasihat dan asuhan ibu saya kerana saya sedar bahawa syurga terletak di telapak kaki ibu. Misalnya, ibu bapa saya selalu menasihatkan saya untuk belajar bersungguh-sungguh dan membuat latihan dan ulangjaji setiap masa. Mereka juga telah membelikan saya banyak buku latihan untuk saya  sempurnakan semasa membuat ulangkaji pelajaran. Oleh sebab itu, saya akan berusaha secara gigih untuk memperoleh kejayaan yang cemerlang dengan menggunakan buku-buku yang telah dibeli oleh mereka. Saya akan cuba untuk membuat persediaan awal untuk menghadapi peperiksaan contohnya mengulangkaji dan membuat latihan sebanyak mungkin semenjak saya berada di tingkatan empat lagi dengan menggunakan buku-buku yang dibeli oleh ayah dan ibu saya. Hal ini kerana apabila saya membuat latihan dengan banyak terutama soalan-soalan mirip peperiksaan atau soalan sebenar SPM, soalan-soalan yang saya usahakan berkenaan mampu membantu saya untuk menjawab soalan SPM sebenar.  Sebagai mana yang kita sedia maklum, soalan peperiksaan masih dalam format yang sama. Contohnya, soalan rumusan, soalan pemahaman, soalan tatabahasa dan sebagainya tidak lari daripada bertanya topik yang sama saya pelajari. Cuma perbezaan soalan berkenaan hanya pada bentuk soalan sahaja. Sekiranya saya dapat menjawab soalan-soalan pelbagai berdasarkan latihan-latihan yang terdapat dalam buku soalan sudah pasti saya mampu menjawab soalan-soalan semasa dalam peperiksaan nanti. Tegasnya, saya akan mematuhi segala nasihat ibu bapa saya untuk mengulangkaji dan membuat latihan setiap masa  di samping  berdoa kepada Tuhan agar saya  dapat membalas jasa mereka dengan belajar bersungguh-sungguh.

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah saya simpulkan bahawa untuk mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan bukanlah mudah tetapi boleh saya capai dengan membuat persediaan menghadapi peperiksaan lebih awal. Di samping itu, saya perlulah mengikuti langkah-langkah yang telah saya aturkan di atas seperti menumpukan perhatian semasa guru mengajar di dalam kelas, membuat jadual waktu yang sesuai dengan jiwa saya, mengikuti kelas tuisyen dengan sebaik-baiknya , bergaul dengan rakan-rakan yang baik akhlaknya, terutama rakan-rakan yang mempunyai matlamat untuk berjaya dengan cemerlang dalam peperiksaan, dan mematuhi nasihat kedua-dua ibu bapa agar saya sentiasa mengulangkaji dan membuat latihan setiap masa. Sekiranya, langkah-langkah berkenaan saya laksanakan, saya pasti saya akan berjaya dalam peperiksaan kerana usaha tangga kejayaan. Oleh itu, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk mencapai kecemerlangan tanpa berputus asa ibarat genggam bara api biar sampai jadi arang.
Back to Top