-->

Type something and hit enter

Pages


On
 Berdasarkan sedutan lagu Roslan Madun bertajuk Nazam Ibu dan ayah, senikatanya amat   menusuk kalbu pendengar kerana keseluruhan lagu berkenaan mengambarkan kasih sayang ibu bapa terhadap anak kesayangan mereka. Tidak ada ibu bapa di dunia ini yang tidak sayang akan anak mereka. Mereka sanggup berkorban apa-apa sahaja untuk memastikan anak-anak sentiasa selamat dan sihat, serta membesar dalam suasana kondusif. Ibu bapa juga sanggup berkorban dan bersengkang mata berjaga siang dan malam semata-mata untuk menjaga saya sebagai seorang anak  terutama apabil asaya menghadapi kesakitan. Bagi ibu bapa, tiada detik yang paling menggembirakan mereka melainkan ketika melihat anak-anak mereka membesar sebagai seorang insan yang berguna dan berjaya dalam kehidupan di dunia. Sebagai seorang anak yang bertanggungjawab, saya perlu sentiasa menghargai pengorbanan ibu bapa saya dan sebaik mungkin saya akan cuba membalas jasa mereka walaupun mereka tidak pernah mengharapkan sebarang balasan daripada saya sebagai seorang anak. Sebagai seorang anak, saya juga bertanggungjawab menggembirakan kehidupan ibu bapa saya dan akan sentiasa menjaga nama baik mereka kerana saya sedar tanpa ibu bapa, saya tidak akan berada di dunia ini. Seyogia, sebagai seorang anak saya akan berusaha membalas jasa mereka dan memastikan mereka sentiasa berbangga mempunyai anak seperti saya. Namun, saya sedar jasa mereka tidak boleh dibayar walaupun harta saya berjuta. Sekiranya saya gagal menjalankan tanggungjawab saya sebagai seorang anak penyesalannya akan saya rasai sepanjang kehidupan saya terutama jika ayah dan ibu sudah tiada di alam nyata. Persoalannya, apakah langkah-langkah yang harus saya lakukan untuk memastikan mereka bangga saya sebagai anak mereka.

     Langkah utama yang akan saya lakukan untuk memastikan ibu bapa saya bangga saya sebagai anak mereka adalah dengan belajar bersungguh-sungguh sehingga mencapai kejayaan yang cemerlang. Ibu bapa saya pasti akan gembira apabila saya mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan dalaman sekolah atau dalam peperiksaan awam. Untuk mencapai kejayaan dalam peperiksaan , saya akan menumpukan sepenuh perhatian saya semasa guru sedang mengajar. Sekiranya saya tidak memahami sesuatu tajuk dalam pelajaran tertentu, saya tidak akan malu bertanya kepada guru saya kerana pepatah menyatakan bahawa malas berkayuh perahu hanyut, segan bertanya sesat jalan. Selain itu , saya akan mengulangkaji pelajaran secara berkumpulan bersama-sama rakan sekelas ketika ada masa yang terluang. Saya juga akan menyediakan jadual belajar secara sistematik dan efisyen. Semua kerja rumah yang diberikan oleh guru akan saya siapkan mengikut ketetapan masa  yang diberi oleh guru. Saya juga akan sentiasa membuat persediaan lebih awal dengan mengulangkaji pelajaran sebelum menghadapi peperiksaan yang sebenar kerana pepatah menyatakan sediakan payung sebelum hujan. Kejayaan yang akan saya peroleh hasil usaha saya yang bersungguh-sungguh ini dan sudah tentulah saya  akan menaikkan nama baik ibu bapa saya dan saya akan menjadi kebanggaan mereka. Bahkan juga reputasi ibu bapa saya akan dihargai dan menjadi contoh dalam kalangan masyarakat. Jika saya gagal menjadi seorang insan yang berjaya pabila saya dewasa, sudah pasti ibu bapa saya akan sedih dan beranggapan diri mereka gagal menjalankan tanggungjawab mereka sebagai seorang penjaga mendidik saya sebagai seorang anak. Jelasnya, saya akan belajar bersungguh-sungguh untuk memperoleh keputusan yang cemerlang untuk menjaga nama baik ibu bapa saya.

     Selain itu, untuk memastikan ibu bapa saya bangga saya sebagai seorang anak mereka adalah dengan bergaul dan berkawan dengan rakan-rakan yang baik dan dapat membimbing saya menjadi seorang insan yang berguna kepada masyarakat apabila dewasa kelak. Hal ini demikian kerana, saya akan memastikan diri saya tidak terlibat dengan rakan-rakan yang bermasalah yang boleh mempengaruhi saya terjebak dalam kancah gejala sosial seperti merempit, melepak , ponteng sekolah ,melakukan vandalime dan mempengaruhi melibatkan diri dalam aktiviti penagihan najis dadah. Saya akan sentiasa berpegang pada kata bijak pandai Islam yang menyatakan bahawa “jika kita berkawan dengan seorang tukang besi, baju kita akan tercarik kerana terkena percikan api, tetapi jika kita berkawan dengan seorang penjual minyak wangi, tubuh badan kita akan turut berbau harum”. Saya juga akan membezakan antara rakan yang baik dengan rakan yang tidak baik.  Saya akan berkawan dengan rakan-rakan yang mengutamakan pelajaran agar saya dapat bertukar-tukar pandangan dan ilmu dengan mereka. Hal ini penting bagi menimbulkan persaingan yang sihat dalam diri saya, agar saya mempunyai semangat dan motivasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ibu bapa saya pasti bersyukur sekiranya sebagai seorang anak saya tidak melakukan sesuatu yang boleh menconteng arang ke muka mereka. Apabila saya dan rakan-rakan berjaya dalam pendidikan bukan sahaja ibu bapa saya dan ibu bapa rakan-rakan saya sahaja gembira tetapi masyarakarak setempat juga tutur gembira dan beranggapan kami sebagai model dan idola kepada anak-anak mereka. Jelasnya , jika saya bergaul dengan rakan-rakan yang berakhlak mulia dan mempunyai visi dan misi berjaya dalam pelajaran akan memandu kami berjaya di dunia dan akhirat  sebagaimana yang diharapkan setiap ibu bapa.

     Di samping itu , bagi memastikan saya menjadi anak kebanggan mereka, saya akan menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya. Setiap ibu bapa pasti berasa bangga seandainya anak-anak yang lahir mengamalkan nilai-nilai murni dan berbudi bahasa dalam kehidupan. Kecemerlangan yang dicapai oleh anak-anak dalam bidang akademik bukan jaminan untuk ibu bapa gembira sekiranya anak-anak yang cemerlang ini tidak memiliki akhlak yang terpuji dan berbudi bahasa. Sebagai seorang anak, saya akan sentiasa menghormati ibu bapa dan bercakap dengan lemah lembut terhadap mereka. Saya juga akan sentiasa mendengar nasihat mereka dan tidak sekali-kali menjadi anak derhaka seperti cerita si Tanggang. Akhlak akan seiring dengan kejayaan yang saya miliki . Sebagai seorang murid sekolah pula, saya akan mematuhi peraturan-peraturan yang ditetapkan oleh pihak sekolah. Saya akan mengelakkan diri daripada terlibat dalam masalah disiplin seperti ponteng kelas , tidak menghormati guru dan tidak menyiapkan kerja sekolah. Saya sedar sekiranya saya melanggar peraturan sekolah dan terlibat dengan salah laku di sekolah, ibu bapa saya akan di panggil dan mereka akan berasa malu akibat perbuatan saya ini. Oleh itu, saya akan sentiasa menghormati guru-guru di sekolah dan menghormati orang yang lebih tua daripada saya apabila berjumpa dengan mereka di mana-mana sahaja. Hal ini demikian kerana masyarakat pasti bertanya “Anak siapakah yang berbudi bahasa itu?” Secara tidak langsung, ibu bapa saya akan dipandang tinggi oleh masyarakat kerana mendidik anaknya dengan baik. Hadis Riwayat Al-Tarmizi menyatakan bahawa ibu bapa yang baik terdiri daripada ibu bapa yang melahirkan anak-anak yang berakhlak mulia. Sekiranya saya bersikap hidung tinggi, kasar budi bahasa sudah pasti ibu bapa saya dipandang serong kerana tidak pandai mendidik saya sebagai insan mulia. Sudah terang lagi bersuluh tanggungjawab saya menjaga akhlak dan tingkah laku saya sendiri agar tidak mencemarkan maruah ibu bapa saya.

     Tambahan lagi , saya akan mamastikan ibu bapa saya bangga saya sebagai seorang anak adalah dengan manjalinkan hubungan yang baik dengan ahli keluarga , jiran tetangga dan masyarakat setempat. Sebagai seorang anak yang baik, saya sentiasa menjalinkan hubungan dengan ahli keluarga dan saudara mara yang jauh dan dekat sama ada di sebelah ibu mahupun di sebelah bapa walaupun mereka telah meninggal dunia. Saya akan meneruskan jalinan kasih sayang dengan ibu bapa saudara dan sepupu-sepupu saya termasuklah mereka yang mempunyai hubungan bau-bau bacang dengan saya. Hubungan yang terjalin ini dapat mengeratkan ikatan kekeluaargaan dan tali persaudaraan yang mungkin hampir terputus kerana tinggal berjauhan serta tidak mengenali antara satu sama lain. Sebagai contohnya, saya akan membawa ibu bapa saya menziarahi sanak saudara dan kaum kerabat saya pada musim perayaan atau majlis kenduri-kendara. Saya yakin hubungan saya ini dapat menjaga nama baik ibu bapa saya kerana menjalinkan hubungan baik dalam kalangan keluarga. Selain itu, saya juga akan menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga seperti selalu bertegur sapa dengan mereka, menziarahi mereka sekiranya mereka sakit , membantu mereka apabila mereka memerlukan bantuan  dan mengunjungi rumah mereka pada hari perayaan. Sebagai seorang anggota masyarakat, saya akan menyertai setiap program kemasyarakatan yang dianjukan oleh masyarakat di kawasan tempat tinggal saya. Ibu bapa saya pasti gembira apabila saya melibatkan diri dalam program kemasyarakatan kerana mereka tidak perlu berasa bimbang sekiranya saya akan bergaul dengan rakan-rakan yang tidak baik. Penglibatan saya dalam program kemasyarakatan juga membuktikan saya menjadi lebih matang dan berminda terbuka dan tidaklah seperti katak di bawah tempurung. Jika saya gagal menjalin hubungan baik dan berkomunikasi dengan masyarakat sudah pasti saya dianggap sebagai sampah masyarakat. Tegasnya, nama baik ibu bapa dapat dijaga dan dapat dipelihara sekiranya saya menjalinkan hubungan yang baik dengan masyarakat setempat. Bak kata pepatah,  “hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa.”

     Akhir sekali, saya akan sentiasa berpegang teguh pada ajaran agama demi arag mereka bangga saya sebagai anak mereka. Sebagai anak yang baik, saya akan sentiasa mengamalkan ajaran agama dalam kehidupan saya agar saya mempunyai benteng keimanan yang kukuh dan ampuh serta dapat mengelakkan diri daripada terjebak dan terpengaruh oleh perkara-perkara yang tidak baik. Sekiranya saya berpegang teguh pada ajaran agama, saya dapat membezakan perkara yang salah dan benar. Hal ini amat penting untuk menentukan kejayaan saya pada masa hadapan. Saya akan sentiasa menjaga nama baik ibu bapa dan tidak menghampakan harapan mereka terhadap saya , kerana saya sedar, “siapalah saya tanpa ibu bapa”. Saya akan mempraktikkan didikan agama yang saya terima agar saya mempunyai matlamat hidup yang jelas. Saya sedar akan kepentingan masa hadapan saya. Untuk meningkatkan nilai kerohanian dalam diri , saya akan menghadiri kelas-kelas agama atau kelas fardhu ain serta majlis-majlis ilmu agar dapat membentuk jiwa saya ke arah melakukan perkara-perkara baik. Hal ini penting untuk melawan serangan pemikiran yang boleh menjerumuskan saya untuk melakukan perkara yang tidak baik kerana agama merupakan pendinding diri saya daripada melakukan kemungkaran yang ditegah agama. Jika saya tidak mempunyai pengetahuan agama yang jitu, sudah pasti saya akan hampir dengan aktiviti kemungkaran yang dicela agama dan masyarakat. Tegasnya, didikan agama yang saya terima hasil asuhan ibu bapa akan saya praktikkan dalam kehidupan saya supaya saya  dapat membentuk keperibadian yang baik dalam diri saya sekali gus dapat menjaga nama baik ibu bapa saya.

            Berdasarkan perbincangan di atas, dapatlah disimpulkan saya menjadi faktor utama untuk memastikan saya sebagai anak kebanggan mereka. Hal ini demikian kerana menjaga nama baik ibu bapa atau menggembirakan mereka menjadi satu tanggungjawab sebagai seorang anak.  Oleh itu, saya ingin menyeru agar semua remaja dan anak-anak sentiasa menjaga nama baik masing-masing dan jangan sesekali melukakan perasaan ibu bapa mereka atau melakukan sesuatu yang boleh menjatuhkan imej mereka. Kita perlu ingat bahawa harta benda boleh dicari tetapi ibu bapa tiada galang gantinya. Tegasnya, berbuat baiklah kepada ibu bapa selagi hayat mereka masih ada dan sebelum terlambat kerana sesal dahulu pendapatan, sesal kemudian tidak berguna.
Back to Top